'Tiada kelebihan melainkan dalam perkara taqwa'
Tiada sedikit pun niat mahu menghina. Apakah layak untuk manusia menghina sesama manusia? Tentunya tidak! Apatah lagi jika penghinaan tersebut disertakan dengan perasaan sombong dan bangga diri. Sememangnya perbuatan menghina datangnya daripada sifat sombong kerana merasakan diri memiliki kelebihan berbanding orang lain.
Kita adalah sama sahaja di sisi-Nya. Sabda Rasulullah saw:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Lihat kisah pengusiran iblis daripada syurga. Hanyalah kerana ada sedikit sifat kesombongan asal kejadiannya. Tatkala ia diperintahkan sujud iaitu menghormati Nabi Adam as, maka ia engkar kerana kejadiaannya daripada api sedangkan Nabi Adam as daripada tanah. Maka kerana sifat sombong dengan kejadiannya itu, ia dilaknat oleh Allah SWT sehingga hari kiamat.
Dimanakah kita melihat letak duduknya kemuliaan seseorang itu? Pada rupa paras? Pengaruh dan pangkat? Atau pada longgokan harta? Jika kita mengakui keadaan ini, maka kita telah memandang dengan pandangan mata manusia yang silap dan jahil.
Tidak! Hakikatnya, kemuliaan bukan terletak pada semua itu. Tetapi kemuliaan itu hanyalah terletak pada nilai taqwa yang dimiliki. Taqwa adalah satu konsep yang terbuka, sesiapa pun boleh mengambilnya. Walau siapa pun dia, hatta orang biasa atau raja, orang papa atau berada, orang cantik atau jelek, orang jahil atau cerdik. Dia mulia jika bertaqwa. Bahkan, Semakin tinggi ketaqwaan maka semakin mulia ia dalam pandangan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (al-Hujurat: 13)
Bukan menghina
Sebenarnya saya menjadi keliru dan kehairanan.
Apa yang berlegar di benak anda jika seseorang menawarkan produk menghilangkan sakit-sakit sendi sedangkan dalam masa yang sama anda dapati dia sendiri dalam keadaan bertongkat kerana sengal-sengal sendi. Atau ada yang menawarkan ubat melangsingkan badan, tetapi anda lihat badannya sendiri tidak berapa hendak langsing. Tentu anda tidak akan percaya samada pada produk, atau pada si penawar produk tersebut.
Itulah kisahnya, tak serupa tetapi hampir sama.
Ketika saya sedang berjalan-jalan di pasar minggu bandar Kuantan, tiba-tiba saya disekat oleh seorang perempuan muda yang menawarkan sejenis krim kecantikan yang berfungsi untuk menghilangkan bintik-bintik hitam, jeragat dan sebagainya. Dalam hati saya berkata: "Alamak, kulit muka aku tak cantiklah ni, banyak jeragat dan bintik-bintik hitamke? Padan pun dipilihnya aku..."
Yalah, dalam ramai-ramai yang lalu-lalang saya yang dipilihnya. Tentu kulit muka saya tidak berapa hendak cantik yang menyebabkannya menawarkan produk tersebut. Saya agaklah.
“Kecil hati pula rasanya...” sambil tersenyum.
Beliau meminta saya menghulur tangan untuk menyapu krim tersebut. Secara lembut saya menolak dengan memberinya alasan yang boleh diterima. Takkanlah saya mahu membiarkan dia memegang tangan saya sambil menyapu krim tersebut. Ahh, bikin malu, jatuhlah reputasi dan kredibiliti. Lagipun saya bukan jenis yang suka pakai itu ini, tempek sana dan tempek sini. Setakat pakai minyak atar bolehlah.
Tiba-tiba dia memanggil rakannya seorang lelaki untuk menyapu krim tersebut. Aduyai, macam tu pula. Kena sapu juga ke? Macam tadi juga saya menolak dengan baik sambil berulang kali mengucapkan terima kasih. Bukannya apa, sebenarnya saya jadi keliru. Antara tidak percaya kepada produk yang ditawarkan dengan si penawar produk tersebut. Sebabnya, sudah saya terangkan di atas tadi.
Sengaja saya memuqaddimah tulisan ini dengan panjang lebar. Bimbang jika ada yang tersalah erti. Manalah tahu jika ada yang beranggapan saya mahu menghina seseorang. Sedangkan saya tiada langsung niat menghina seseorang melalui tulisan ini. Tidak sekali-kali! Saya sekadar mahu memberikan pandangan, menyatakan sesuatu yang saya rasa satu kesilapan yang tidak patut dilakukan.
Saya tahu, mungkin dia seorang yang jujur dan berusaha sendiri mencari rezeki. Cuma apa yang saya mahu sampaikan ia adalah satu strategi pemasaran yang sangat silap. Betul-betul silap. Kalaulah dia dibayar komisyen berdasarkan jumlah krim yang terjual, entahlah. Berapakah yang akan diperolehi. Bukan tidak boleh berniaga, tetapi carilah yang sesuai yang tidak boleh mendatangkan fitnah dan penghinaan kepada diri sendiri.
Kadang-kadang kita terlupa, memang berdosa orang yang membuat fitnah, tetapi lagi berdosa jika kita sendiri yang membuka jalan fitnah tersebut.
Sama juga, kita dilarang menghina tetapi kita juga dilarang membuka ruang penghinaan terhadap diri kita. Itukan maruah kita!
Maafkan saya...
0 comments:
Post a Comment