“Allah SWT tidak pernah jemu mendengar doa dan permohonan kita. Tetapi yang pelik mengapa kita pula yang merasa jemu untuk berdoa dan meminta kepada-Nya.” Kata Ustaz Tuan Ibrahim di dalam kuliah maghrib semalam.
Nasihat ini ringkas tetapi benar-benar mengesankan. Otak ligat berputar memikirkan betapa benarnya ungkapan ini. Ya, kebenaran yang tidak dapat disangkal.
Allah SWT sangat kasih kepada orang yang selalu meminta dan berharap kepada-Nya. Di dalam al-Quran Allah SWT menyebut berkenaan sifat pemurah-Nya dalam memperkenankan doa:
“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60)
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada di atas kebenaran.” (al-Baqarah: 186)
Doa adalah penawar kekecewaan, harapan dan kekuatan. Adanya doa bermakna masih ada tempat pergantungan iaitu kepada Allah SWT. Setelah habis daya dan upaya, usaha dan ikhtiar, maka di sana ada satu lagi kekuatan yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja iaitu menadah tangan dan berdoa. Inilah kekuatan yang tidak ternampak oleh pancaindera tetapi kita boleh merasakannya.
Doa bukan milik eksklusif individu atau golongan tertentu, tetapi ia adalah milik setiap orang. Sesiapa sahaja boleh berdoa, mintalah, pasti Allah akan menerimanya jika permohonan itu disertakan dengan keikhlasan, bersungguh-sungguh dan selagi ia masih dalam batasan syariat. Maka, berhina dirilah dengan sentiasa memohon kepada-Nya.
Namun peliknya, setelah Allah SWT memberi jaminan bahawa doa hamba-Nya tidak akan disia-siakan, lalu ada segolongan yang tidak mengendahkan tawaran istimewa ini. Ya, ada yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT. Mungkin kerana merasakan sudah cukup sempurna dalam kehidupan. Ada pula yang merasakan kejayaan yang diperolehi, kesenangan yang dimiliki, adalah hasil daripada usaha sendiri. Tidakkah kelihatan seperti satu kesombongan?
Bagaimana kita tergamak beranggapan demikian. Hakikatnya tidak bergerak satu zarah melainkan dengan izin Allah SWT. Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut contoh orang yang menyangka apa yang dimilikinya hasil daripada kepandaiannya sendiri. Allah SWT berfirman:
“Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (al-Qasas: 78)
Oleh itu, sentiasa beringat. Jangan sombong diri. Hidup ini tidak selamanya menongkat langit. Kita tidak selalu berada di atas. Bila-bila masa kita boleh tersungkur ke bawah. Mengingati Allah pada waktu senang, maka pasti Dia akan mengingati kepada kita pada waktu susah.
Allahu al-musta`an...
0 comments:
Post a Comment