Saya diserkap kerinduan yang mendalam. Semua kenangan menggamit sanubari. Merenung wajah-wajah yang dirakam pada foto itu, mengundang sebak dan sayu. Ada di antaranya sudah pulang menemui Penciptanya. Mungkin bagi sesetengah orang, ia bukanlah sesuatu yang perlu disedihkan. Ia proses kehidupan yang biasa. Dari tanah kita berasal, kepada tanah jua kita kembali. Sesiapa pun pasti akan menempuh keadaan ini tanpa kecuali. Demikian taqdir yang telah tersurat oleh Sang Pemilik kehidupan.
Adakalanya perasaan itu sukar untuk difahami. Terasa ada kerinduan yang terlalu sulit mahu diungkapkan dengan kata-kata. Kadang-kadang ia menusuk sehingga menyesakkan dada. Sukar untuk saya gambarkan, seperti saya terkurung di dalam penjara batu yang sempit dan gelap-gelita. Semuanya kelam dan suram tanpa sedikit cahaya.
Pandangan saya kembali merenung. Pemandangan berbeza dengan pandangan puluhan tahun yang lalu. "Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan dan dibesarkan. Benar sungguh peribahasa ini. Terlalu banyak kenangan yang terukir di sini. Kampungku tidaklah seindah mana, malahan mungkin bagi sesetengah orang tiada apa yang istimewa. Tetapi bagi saya yang lahir dan membesar di sini, ia sentiasa mendamaikan hati yang resah. Namun, rasanya hari demi hari, kampung tercinta ini semakin lenyap dari diari hidup saya. Apabila ayah dan emak sudah meninggal dunia, adik-beradik semua berpindah membina kehidupan masing-masing, tiada siapalah lagi yang tinggal di kampung.
Denai kecil di belakang rumah bonda ada memori yang terpahat padanya. Saya sering melaluinya untuk ke rumah jiran atau menuju ke sungai untuk melabuhkan joran. Sungai tidaklah lebar mana, cuma suasananya yang redup dilingkungi pokok-pokok hijau sentiasa mengamankan perasaan. Sambil memancing saya dihiburkan dengan suara burung dan nyanyian mergastua, hati menjadi girang tatkala melihat telatah sang tupai yang lincah meniti dari satu dahan ke dahan yang lain.
Boleh dikatakan setiap petang saya ke situ. Jika tidak memancing, saya akan memanjat pokok yang banyak kedapatan di sepanjang tebing sungai. Saya memanjat perlahan-lahan sehinggalah ke cabang yang paling atas. Saya dapat melihat panorama yang indah. Merenung di kejauhan puncak bukit, awan yang bak kapas memutih dan kawanan burung yang berterbangan. Selalu saya menjerit dari atas pokok kepada burung-burung agar membawa saya terbang bersama mereka. Biarpun jeritan saya tidak pernah bersahut, namun saya senang melakukannya. Hampir santak senja barulah saya pulang dengan seribu kepuasan. Ia seakan terapi kepada jiwa dan perasaan.
Namun, sekarang pokok-pokok tersebut sudah banyak yang menyembah bumi dek kerana telah berusia. Tidak kurang juga yang tumbang ditolak jentera besi untuk diganti dengan hutan batu. Demikianlah tiada yang kekal di dunia ini kecuali DIA yang Maha Hidup. Sungai itu juga sudah tidak seperti dulu. Terkejut saya melihat airnya yang dulu cukup dalam, kini mengalir separas keting sahaja. Apakah saya yang semakin tinggi atau sungai itukah yang semakin berkurangan airnya?
Pohon kuini misteri
Berhampiran denai itu pula terdapat dua batang pokok kuini yang ada sejarahnya tersendiri. Tidaklah sejarah besar, cuma ada kenangan pada diri saya yang menyebabkan seringkali saya tersenyum tatkala mengingatkannya. Sebenarnya di sekeliling rumah arwah ayah terdapat banyak pokok kuini yang berdaun lebat serta pokok buahan yang lain. Tetapi, pokok kuini yang di tepi denai ini unik sedikit. Ia tumbuh berdekatan dan kedua-dua batangnya condong ke arah bertentangan. Jika dilihat dari jauh seakan bercantum seperti huruf ‘V’.
Setiap kali melintasi pokok kuini ini saya akan memecut laju tanpa menoleh ke kiri atau kanan kecuali jika berteman. Cerita orang tua-tua pokok kuini tersebut ada penunggu. Di tengah-tengah ‘V’ pokok ini ada hantu yang duduk di situ. Entahlah hantu apa, tidak pernah pula ada yang cuba memberitahu, saya pula tidak pernah bertanya. Tidak pasti dari mana cerita itu bermula. Yang saya tahu ia diriwayatkan dari mulut ke mulut sehinggalah kepada generasi saya. Zaman itu, apa sahaja yang datang daripada mulut orang tua diterima tanpa sebarang bantahan. Jika orang tua kata ‘A’, maka ‘A’lah kata kami. Kalau budak-budak zaman sekarang, orang tua kata ‘A’, mereka akan jawab ‘A sampai Z’. Hebatnya budak-budak zaman sekarang.
Masih segar di mata saya, pemandangan kami adik-beradik melalui denai tersebut ketika pulang daripada menonton televisyen di rumah jiran. Waktu itu peti televisyen hanya dimiliki oleh beberapa buah rumah, itu pun dikalangan mereka yang agak berada sahaja. (Beberapa tahun selepas itu arwah ayah membeli sebuah peti televisyen versi hitam putih, tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan saya merasa ‘kembang’)
Pernah sekali, satu malam ketika pulang daripada menonton televisyen di rumah jiran, arwah ayah menarik kami semua ke pokok kuini tersebut untuk menunjukkan apa yang ada. Terbayang bagaimana kami semua menjerit ketakutan persis tersampuk histeria. Entahlah betapa lucunya wajah masing-masing ketika itu apabila arwah ayah menyuluh ke tengah-tengah di antara dua batang kuini tersebut. Kalau ketika itu mudah dengan teknologi kamera seperti hari ini...
“Hah, tengok! Berapa banyak hantu yang ada!” Kata arwah ayah kepada kami semua yang masih dalam ketakutan. Sebenarnya arwah ayah ingin membuktikan kepada kami semua bahawa cerita yang kami dengar itu hanyalah sekadar cakap-cakap sahaja. Banyak yang ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita. Tetapi nak buat macamana pemikiran budak-budak, cepat percaya.
Dalam takut-takut saya turut mencuri pandang. Apa yang saya lihat? Tiada apa-apa pun, hanya tanah yang berwarna hitam dan sedikit rumput yang tumbuh di celah kedua batangnya. Selepas daripada itu, sedikit demi sedikit kepercayaan turun-temurun itu terhakis walaupun ketakutan masih belum reda.
Sekarang pokok kuini itu telah pun tiada, denai kecil juga telah pun hilang tanda. Namun yang masih kekal ialah nostalgia yang sentiasa basah di dalam lipatan kenangan. Sudah pasti kenangan kepada kedua orang tuaku yang telah lama mendahului. Mudah-mudahan Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan redha-Nya kepada mereka. Andai ada perkiraan amal kebaikan daripada pondok kecil abuikhwan yang tidak seberapa ini, mohon dihadiahi kepada keduanya. Bukan membalas jasa kerana tidak mungkin jasa mereka mampu dibalas selamanya. Tetapi sebagai tanda tulus kasih seorang anak kepada orang tuanya.
Sesungguhnya hati ini sering berbisik: “Jika masa itu mampu kudakap kembali, pastiku rangkul seeratnya.”
0 comments:
Post a Comment