Sahabat Sejati

Thursday, 10 July 2025

Kenangan masih basah: Bila dahan pokok tak setia

foto hiasan ~ sumber

Langit tak selalunya cerah. Dan budak yang selalu panjat pokok pun ada harinya jatuh tergolek macam nangka busuk. 

Hari tu aku ingat lagi. Pokok jambu air belakang rumah. Daun dia lebat, buah dia merah meranum, aku tak fikir panjang, terus panjat macam biasa. Langkah yakin, genggaman kuat, siap menyanyi lagu ciptaan sendiri. Tapi dahan yang aku sangka gagah rupanya tua dan rapuh… dan krakkkk! 

Tak sempat fikir apa-apa, dunia berputar. Langit bertukar tanah. Aku jatuh. Bunyi taklah kuat sangat, tapi egoku pecah berkeping-keping. Lutut calar, siku luka, pipi comot dengan tanah. Tapi itu semua bukan masalah besar. Yang paling sakit, mak aku nampak.

“HAH! Dah kena! Dah cakap dahhh.. panjat lagi panjat! Nanti patah baru tahu!” Itu dialog mak sambil tangan capai minyak gamat. Pedihnya bukan main. Tapi aku tahan, sambil sengih dan minta ampun. 

Petangnya, aku duduk termenung bawah pokok. Merenung ke atas macam seorang pendekar kalah perang. Tapi jauh di hati, aku tahu, esok aku akan panjat lagi. Cuma mungkin.. pelan-pelan dan tengok dulu dahan mana yang setia. 

Itulah aku. Budak kampung yang percaya pokok adalah sahabat, Dan setiap calar luka adalah medal keberanian zaman kanak-kanak.

1 comments:

Etuza said...

Entry blog benar-benar membawa saya mengimbau kenangan zaman kanak-kanak..saya antara yang ligat naik pokok..mukin kerana saya kurus dan rinagn masa itu..hehe..

Post a Comment