Sahabat Sejati

Thursday, 16 May 2013

Guru, umpama mesin pencetak manusia


Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua warga pendidik walau dimana pun mereka berada. Mudah-mudahan mereka semua sentiasa dipermudahkan segala urusan dan mendapat balasan kebaikan atas ilmu yang telah disampaikan.

16 Mei adalah tarikh yang menjadi bukti pengiktirafan terhadap jasa para guru. Tidak kiralah sama ada mereka guru sekolah rendah, menengah, tadika, pusat pengajian tinggi hatta guru yang mengajar membaca al-Quran di kampung, mereka semua banyak berjasa dalam membimbing dan mendidik anak bangsa. Mereka umpama mesin pencetak manusia yang mencorakkan alam. Tentunya corakan yang mahu dilakarkan penuh warna-warni dan keindahan.

Seringkali mendengar ungkapan, “Guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, “Guru adalah suluhan cahaya ilmu pengetahuan”, “Keberkatan ilmu terletak pada redha seorang guru”, dan berbagai-bagai lagi gambaran kata-kata pujian untuk guru. Saya katakan memang selayaknya mereka diberikan pujian dan penghormatan tersebut kerana peranan yang amat besar serta sukar yang dipikul di bahu mereka.

Sabda Rasulullah saw:
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Riwayat At-Thabrani) 

Diceritakan satu kisah, Imam Syafie tatkala menyelak helaian bukunya dengan cukup teratur dan berhati-hati tanpa sebarang bunyi kerana takut mengganggu gurunya yang sedang mengajar. Kata Imam Syafie: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).“

Saiyidina Ali pernah berpesan: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”

Bayangkan kehidupan kita tanpa manusia yang mengajar huruf dan angka. Dimanakah agaknya kita sekarang? Bagaimanakah perjalanan kehidupan yang akan dilalui? Tentu sukar dan banyak kekurangannya. Hidup ini memerlukan ilmu, maka daripada gurulah kita memperolehinya. Oleh itu, menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menghormati dan memuliakan guru sebagaimana ketulusan mereka menabur ilmu kepada kita tanpa jemu.

Kata Imam Al-Ghazali: “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…”

Selamat Hari Guru!

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat alhamdulillah guna mozilla baru blh baca blog ni.kalau kwn lain saya bw guna google je..tapi blog shbt saya akan buka guna mozilla :)

alhamdulillah bangga sbnrnya dgn mereka yg bergelar guru.serius dulu saya mmg nak jadi guru..ramai fmly kata saya ada kebolehan dan bakat mengajar.tapi saya tak rasa mental n emosi kuat utk berdepan dgn pelbagai kerenah murid...dgn sikap parents yg suka menyalahkan guru..owh saya tak boleh he3...

mmg tabik spring potato ler pada semua yang bergelar guru ^^

abuikhwan said...

jd guru yg terbaik untuk anak-anak.
tabik spring potato tu yg mahal tu...

Post a Comment