Sahabat Sejati

Tuesday, 21 May 2013

Fikir-fikir: Ibrah dari seekor lalat


“Apahal pulak lalat ni, asyik hinggap kat aku je, aku dah mandi la pagi tadi...” Dengus rakan saya di hadapan.

Kami sedang menikmati sarapan pagi di warung di bawah pohon ceri yang merimbun itu sebelum bertolak ke Temerloh untuk menghadiri satu program tarbawi di sana. Program ini yang membincangkan persediaan pendakwah muda dalam menghadapi cabaran masa kini. Tajuk yang menarik, serta pembentang kertas kerja seperti al-Fadhil Tuan Guru Mokhtar Senik yang sangat saya minati kupasan ilmunya, rugi pula jika tidak menghadirinya.

“Sedap juga nasi lemaknya,” kata Muaz yang pertama kali makan di situ.

“Tambahlah lagi, banyak lagi dalam periuk kat dapur tu,” saya mengsyorkan dalam nada bergurau.

Selalu juga saya dan rakan-rakan yang lain singgah di warung itu jika melalui jalan tersebut. Dek kerana terdapat beberapa batang pokok ceri yang merimbun berhampiran warung itu, para pengunjung menggelarnya ‘warung ceri’ sehingga menenggelamkan nama asalnya Warung Kak Long.

Sesekali angin yang bertiup perlahan menjadikan pagi itu amat mendamaikan.

“Ehh, ada lagi,” sekali lagi Hafiz merungut.

Terasa lucu pula dengan gelagatnya, menepis kiri dan kanan menghalau lalat yang cuba hinggap dipipinya.

“Lalat sesat ni agaknya, seekor je.” Sahut Baihaqi pula yang duduk di sebelahnya.

“Hafiz, enta ni nak bagitau kat lalat tu atau kat kitorang yang enta dah mandi pagi.” Sambungnya lagi sambil ketawa kecil. Saya yang mendengar kata-kata Baihaqi tidak dapat menahan lucu turut sama ketawa, begitu juga Muaz yang duduk di sebelah saya.

“Hafiz, enta tahu tak, kajian sains mengatakan bahawa jangka hayat seekor lalat adalah 14 hari.” Saya pula bersuara setelah ketawa reda.

“Habis tu, apa kaitan dengan lalat yang nak hinggap kat hidung aku ni?” Hafiz bertanya kembali. Sepasang anak matanya disorotkan kepada saya.

“Err...enta tak payahlah bimbang sangat mungkin hari ini hari yang ke 13 lalat tu hidup. Ataupun hari ini hari yang ke 14, kejap lagi nak sampai ajalnya. Bagilah ‘can’ kat dia puas-puas melihat dunia ni.” Saya pula mengusik.

“Mungkin juga tu, biarkanlah ‘dia’ hinggap kat hidung enta sekejap, tak rugi apa pun.” Muaz menambah usikan, mengisi perisa gurauan.
 
Kami sama-sama ketawa. Eratnya jalinan persahabatan atas dasar ukhuwah fillah.

Ibrah seekor lalat 


Lalat.

Rasanya semua orang tidak suka dengan serangga yang satu ini. Mendengar namanya sahaja sudah menjadikan mereka mencebik bibir kebencian, saya pun sama. Kalau tengok kedai makan yang banyak lalat, ‘minta maaf siang-siang’ memang takkan singgah. Lalat punya pasal, lalat memang dibenci.

Lalat biasanya dikaitkan dengan kekotoran. Suka benda-benda yang kotor dan hinggap di tempat-tempat yang kotor (walaupun sebenarnya lalat hinggap tidak kira tempat, kotor atau bersih). Lalat tergolong dalam kategori agen bawaan penyakit. Ini berpunca daripada tabiatnya yang sentiasa mencari makan dan bergelumang di tempat-tempat kotor. Kuman-kuman yang melekat pada anggota lalat akan berpindah kepada makanan manusia apabila lalat singgah di situ.

Antara penyakit yang disebabkan oleh lalat adalah seperti disentri, cirit birit, demam kepialu, keracunan makanan, taun, dan juga penyakit kulit. Pendekata, lalat memang terpandang sebagai simbol negatif bagi ramai orang.

Tahukah anda bahawa lalat juga disebutkan di dalam al-Quran?

Allah SWT berfirman:
“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain daripada Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (al-Hajj: 73) 

Di dalam ayat ini Allah SWT membuat satu misal perbandingan iaitu menggambarkan kebodohan orang-orang yang menyembah benda-benda yang bukan sahaja tidak dapat memberikan sebarang pertolongan bahkan juga tidak dapat membela dirinya sendiri. Lemahnya mereka itu dibandingkan lebih lemah dari seekor lalat yang kecil. Sesungguhnya ayat ini menjadi peringatan yang besar kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran.

Diceritakan dalam satu hadis:
"Dari Tariq ibn Shihab, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: “Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah? Baginda saw bersabda: “Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah.”

Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala: “Berkorbanlah walaupun seekor lalat.” Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain, ia berkata: “Aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” (HR Imam Ahmad)

Jangan ikut “Iman lalat” 


Saya teringat zaman budak-budak dulu, orang tua-tua menyebut “jangan ikut iman lalat”. Saya tertanya-tanya, “lalat ada imankah? Macam mana iman lalat ni?”

Selepas itu barulah saya tahu, rupa-rupanya ia hanyalah kata-kata perumpamaan sahaja. Bahasa orang dulu-dulu penuh dengan bunga dan kiasan, menegur dengan penuh hikmah dan bijaksana. Lembut dan bersahaja tetapi menusuk jauh ke dalam.

“Iman lalat” bermaksud seseorang yang melakukan kebaikan tetapi dalam masa yang sama melakukan perbuatan yang tidak baik, baik dan buru bergandingan. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang, ada pula yang bersembahyang tetapi selalu bercakap bohong dan bermacam-macam lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan “iman lalat.”

Usamah bin Syarik meriwayatkan pada satu masa kami duduk di tempat kediaman Rasulullah saw, diam dan menunduk laksana patung.

Tiba-tiba datanglah beberapa orang yang bertanya kepada baginda: “Ya Rasulullah, siapakah di antara hamba Allah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab: “Yang terbaik budi akhlaknya.”

Perbuatan yang tidak baik sama sekali bukan dari ajaran Islam. Sesungguhnya orang yang terbaik keIslamannya ialah yang terbaik akhlaknya. Namun begitu, ada di antara orang Islam yang tidak mengindahkan bentuk-bentuk ibadat yang dituntut oleh Islam. Maksudnya ada orang yang memperlihatkan diri sebagai orang yang baik dalam melaksanakan perintah agama apabila berada di hadapan orang ramai, tetapi dalam masa yang sama mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak dapat diterima malahan dikeji oleh akhlak yang mulia dan iman yang benar. (Nad`uzubillah)

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mencampur-adukkan antara yang benar dan yang salah...” (al-Baqarah: 42) 

Rasulullah saw dengan tegas memperingatkan orang-orang yang mencampur-adukkan perbuatan-perbuatan dosa dengan ibadat dan iman. Sifirnya jelas, melaksanakan ibadat dan iman kerana hanya meniru atau mengikut semberono sahaja dapat dilakukan oleh orang-orang yang tidak dapat menyelami jiwa ibadat. Ataupun orang yang tidak berhasrat atau bercita-cita meningkatkan diri setinggi tuntutan-tuntutan ajaran yang ada dalam ibadatnya.

Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (al-Ankabuut: 43) 

Oleh itu, apabila seseorang itu beribadat sedangkan daripada ibadatnya itu tidak dapat membantu dirinya untuk berubah kepada kebaikan maka tiada hasil daripada ibadatnya. Bagaimana kita dapat menggolongkan seseorang itu di kalangan yang bertaqwa dan beriman jikan ia melaksanakan beberapa bentuk ibadat namun masih lagi berbuat kejahatan dosa?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi, Rasulullah saw bersabda: “Akhlak yang baik mencairkan dosa seperti air yang mencairkan gumpalan salji, sedangkan perbuatan yang buruk merosakkan amal soleh seperti cuka merosakkan madu.”

Nah! Inilah akibat daripada iman lalat. Ia akan memakan kebaikan sedikit demi sedikit sehingga kebaikan kita menjadi kosong tanpa sedar. Bagaimana agaknya jika kita datang mengadap Allah dengan perasaan bangga kerana membawa amal yang banyak, kita sangka begitu. Tetapi tanpa sedar rupanya kebaikan yang kita bawa telah habis kerana dihakis oleh keburukan yang juga kita lakukan. Tentu kita merasa kecewa dan menyesal. Sedangkan penyesalan pada hari itu tiada berguna walau sedikit pun. Marilah kita mengambil peringatan. (tentunya ia lebih mengingatkan diri saya).

Jadi, marilah kita sama-sama sentiasa mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita dan memohon keampunan kepada Allah SWT di atas setiap kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memelihara kita semua daripada keimanan yang rosak dan rapuh persis “iman lalat” itu.

Namun, janganlah kita terlalu membenci lalat, kerana ia juga ciptaan Allah SWT. Setiap ciptaan Allah tidak mungkin sia-sia. Pasti ada guna dan manfaatnya, tinggal kita sahaja yang perlu merenung dan memikirkannya.

Teringat dalam satu kem ibadah apabila ada seorang pelajar bertanya tentang hikmah penciptaan lalat.  “Apakah kegunaan lalat? Saya tidak nampak apa-apa pun yang boleh kita ambil manfaat daripada lalat,” katanya.

Saya menjawab:

“Antara hikmah penciptaan lalat ialah untuk menghina orang yang bongkak dan sombong. Perhatikan, lalat tidak mengenal manusia berpangkat raja, menteri mahupun rakyat biasa. Lalat akan hinggap dengan penuh selamba.”

Setuju?

Senyum.

0 comments:

Post a Comment