Sahabat Sejati

Wednesday, 1 May 2013

Kita dihargai, Alhamdulillah


Kata orang, manusia mudah dipujuk hatinya dengan penghargaan. Ada benarnya. Hanya dengan sedikit penghargaan, kita dapat merasakan bahawa kita adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Tidak kisah bagaimana bentuk penghargaan, samada ucapan atau pemberian berupa barangan. Yang pastinya dengan penghargaan itu akan lenyaplah penat, lelah, ketidakpuasan hati dan sebagainya.

Kita adakan sambutan hari guru, untuk ibu kita adakan hari ibu, hari polis, hari bapa, hari wanita dan banyak lagi semata-mata untuk menghargai jasa dan penat lelah mereka.

Hari ini tanggal 1 Mei, pastinya tarikh ini menjadi satu kegembiraan kepada semua yang bergelar pekerja kerana dapat menikmati cuti sehari. Siapa yang tidak seronok mendapat cuti? Saya tidak tahu pula jika ada orang yang menerima cuti dengan perasaan sedih dan membosankan. Untuk saya, jika boleh tidak cukup cuti sehari, kalau dapat ditambah menjadi dua atau tiga hari. Bermacam-macam aktiviti boleh dilakukan seperti bersantai bersama keluarga atau pun boleh tidur sepuas-puasnya.

Sejarah hari Pekerja

Mari kita selak lipatan sejarah mengenai sambutan Hari Pekerja...

Idea gembira untuk menggunakan perayaan cuti proletariat sebagai cara untuk mencapai hari bekerja lapan jam dicetuskan di Australia. Para pekerja mengambil keputusan pada tahun 1856 untuk mengajurkan sehari pemberhentian sepenuhnya bersama dengan mesyuarat-mesyuarat dan hiburan sebagai demonstrasi demi hari bekerja lapan jam. Hari bagi perayaan ini ditetapkan pada 21hb April. Pada mulanya, pekerja Australia itu mengajurkan ini hanya bagi tahun 1856. Tetapi perayaan pertama ini membawa kesan yang sangat kuat pada golongan proletariat Australia, menghidupkan mereka dan membawa pemberontakan baru, sehingga keputusan diambil untuk mengulangi perayaan tersebut setiap tahun.

Di Amerika Syarikat, perarakan Hari Buruh yang pertama telah diadakan pada 5 September, 1882 oleh Pusat Kesatuan Buruh di bandaraya New York untuk memperingati pencapaian serta sumbangan tenaga pekerja di sana. Namun banyak kesatuan pekerja yang lebih radikal mahukan tarikh 1 Mei sebagai hari buruh. Pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa 1hb Mei patut menjadi hari berhenti bekerja antarabangsa.  (Wikipedia)

Pada hari itu, seramai 350,000 pekerja Amerika Syarikat telah mengadakan mogok. Sempena mengingati tarikh ini, 1 Mei kemudiannya diabadikan sebagai Hari Pekerja Sedunia.

Sejak 1 Mei 1886, satu prinsip umum telah ditetapkan iaitu seorang pekerja hanya bekerja lapan jam sehari dan masa tambahan selain itu dikira kerja lebih masa. Namun prinsip waktu kerja selama lapan jam sehari itu bukanlah diterima secara automatik oleh majikan di seluruh dunia, melainkan dengan perjuangan demi perjuangan yang dilakukan oleh para untuk mendapatkan hak tersebut. Sehinggalah pada tahun 1919 barulah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberikan hak waktu kerja selama lapan jam sebagai piagam sejagat.

Di negara kita pula, pengiktirafan Hari Pekerja 1 Mei disambut lebih lewat lagi. Sambutan ini pernah ditentang keras oleh pihak pemerintah kerajaan Perikatan waktu itu. Hanya pada tahun 1972, kerajaan Malaysia bersetuju mengisytiharkan 1 Mei sebagai hari Pekerja. Bermula dari tarikh itulah ianya disambut saban tahu sehinggalah ke hari ini.

1 Mei 2013

Saya diantara mereka yang mendapat penghargaan pada hari ini, begitu juga dengan isteri saya. Buktinya, kami berdua mendapat cuti pada hari ini dan sedang berehat-rehat dirumah bersama anak-anak.

Alhamdulillah,walau apa pun kerja dan tugasan kita, baik guru, jurutera, pegawai eksekutif, ataupun pekerja kilang, peniaga kecil-kecilan atau penyapu sampah di tepi jalan, semuanya adalah pekerja. Bahkan kita lebih berbangga kerana bersusah payah sendiri memerah keringat mencari rezeki yang halal. Tentunya segenap kepuasan apabila kita mendapat upah atas usaha tersebut. Inilah yang memberikan nilai dalam melakukan pekerjaan.

Di dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:

"Sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang pekerja apabila dia melakukan sebaik-baiknya." (Riwayat Imam Ahmad)

Sebaliknya jika kita tidak menghormati pekerjaan yang dilakukan, sering merungut, curi tulang dan sebagainya, maka fikir-fikirkanlah bagaimana upah yang diperolehi. Memang kita mendapat imbuhan setiap bulan tetapi dibimbangi ia telah hilang keberkatan.

Firman Allah SWT:

"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu'min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah: 105)

Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja yang taatkan Allah dan Rasul-Nya!

1 comments:

Nur_Ma"Khairatun Hisan" >Cikgu Akma Kasim said...

Assalamualaikum salam ziarah…selamat mengundi..

Post a Comment