Sahabat Sejati

Monday, 13 May 2013

al-Ithaar ‘ala al-Nafs, kenangan itu di Jempol


“Datang dari mana, boleh pakcik tahu?” sapa lelaki tua itu kepada kami berdua.

Saya dan rakan sedang khusyuk menikmati pemandangan di tepi jalan. Hamparan sawah padi yang terbentang sungguh mengasyikkan menyebabkan saya meminta rakan yang memandu berhenti di tepi jalan. Tidak sedar bila pakcik itu datang dari belakang.

“Dari Kuantan,” saya menjawab sambil menyuakan tangan untuk bersalam. Cheong juga sama.

“Oo...ada hal apa datang ke Jempol pagi-pagi ni?” soalnya lagi sambil tersenyum mesra.

“Sebenarnya kami ke Seremban dua hari lepas, ada kerja di sana. Hari ini dah nak balik ke Kuantan, sengaja bertolak awal pagi cadangnya nak mengambil gambar di sepanjang perjalanan.” saya menerangkan. Pakcik itu mengangguk-angguk.

“Suka betul saya tengok sawah padi kat sini, tu yang berhenti sekejap, maklumlah kat tempat saya tak ada sawah,” saya menambah lagi. Memang di tempat saya tiada sawah padi. Kadang-kadang rasa cemburu juga dengan rakan-rakan yang bercerita keseronokan berkejaran petak sawah di kampung mereka.

Saya memang sukakan sawah padi. Seingat saya dari zaman sekolah rendah saya menyimpan impian untuk turun petak sawah. Bahkan ia menjadi impian yang terpendam sehingga hari ini. Bukan saya tidak pernah melihat sawah padi di depan mata setiap kali saya bermusafir ke pelusuk negara dalam program-program kebajikan, tetapi sekadar dari atas kenderaan. Hati kecil saya selalu berkata tiap kali melalui kawasan sawah padi, “bila agaknya dapat berlari di atas permatang sawah, berkelah di pondok tepi sawah sambil menyaksikan panorama petang atau pun menghalau burung-burung yang datang memakan padi”. Pasti menyeronokkan!

“Kamu dah sarapan pagi?” Soal pakcik tadi kepada kami.

“Err… belum lagi” saya menjawab.

“Memang cadang nak singgah sarapan dalam perjalanan nanti,” sampuk rakan saya di sebelah. Saya mengangguk mengiyakan.

Mendung di Pekan Juasseh

“Kalau begitu singgahlah dulu di kedai pakcik. Tak jauh mana seberang jalan tu aje.” Pakcik yang dikenali dengan panggilan pakcik Ramli mengajak kami.

Kami berdua berpandangan mencari keputusan. Akhirnya tanpa sebarang kata saya dan Cheong bersetuju untuk bersarapan di kedai pakcik Ramli.

Saya dan Cheong mengikut pakcik Ramli ke kedainya. Beliau menceritakan sesuatu kepada kami, saya cuba untuk menangkap butir-butir perkataannya yang sedikit bercampur dengan loghat Negeri Sembilan.

Setibanya saya dan Cheong di kedai pakcik Ramli, kami dihidangkan dengan nasi lemak sambal kerang beralaskan daun pisang bersama daging bakar yang masih panas. Aroma wangi dari nasi lemak yang terhidang membuka selera saya. Manakala dua biji telur separuh masak melengkapkan hidangan pagi. Kopi susu panas, menyegarkan mata serta menghilangkan kesejukan tubuh badan kami di pagi yang mendung berkabus itu.

Ahh...berat pula sarapan pagi ini.

Sambil menikmati sarapan kami berbual-bual, pelbagai soalan lagi ditanya dan kami menjawab dengan keramahan.

Selesai makan, saya dan Cheong bertanyakan harga untuk membayar.

“Tak apa… tak perlu bayar,” kata pakcik Ramli.

Saya terkejut. Cheong juga begitu.

“Eh, jangan begitu, pakcik kan berniaga,” rasa bersalah pula, segan pun ada.

“Tak apalah bukannya selalu, entah bila pula masanya kamu dapat singgah di kedai pakcik ni. Mungkin sekali ini sahaja,” pakcik Ramli bersuara perlahan. “Jangan lupa doakan pakcik dan keluarga sentiasa di dalam kebaikan.”

Sebelum bertolak pulang kami dibekalkan pula sedikit buah tangan berupa buah-buahan dari kebun pakcik Ramli. Walaupun berkali-kali kami cuba menolaknya, tetapi bersungguh pakcik Ramli mahu kami menerimanya.

Bagaikan terasa kehangatan ukhuwwah ketika saya memeluk pakcik Ramli sebelum berangkat meneruskan perjalanan pulang. “Semoga Allah SWT memberikan rahmat kebaikan kepada pakcik Ramli sekeluarga.”

Itulah doa yang dipanjatkan


Ukhuwwah yang terjalin erat di Jempol

al-Ithaar `ala al-Nafs

Sesungguhnya Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri (al-ithaar ‘ala al-nafs). Manakala serendah-rendah nilai yang masih boleh dikategorikan sebagai ukhuwwah adalah pada salaamatus-sadr iaitu berlapang dada.

Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkeinginan terhadap apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya”. (al-Hasyr: 9)

Diceritakan dalam satu riwayat:

Ada salah seorang sahabat yang kedatangan seorang tamu, kemudian sahabat tersebut bertanya kepada isterinya: “Apakah kamu memiliki sesuatu untuk menjamu tamu”. Isterinya pun menjawab: “Tidak ada, hanya makanan yang cukup untuk anak-anak kita”. Lalu sahabat tersebut berkata: “Sibukkanlah anak-anak kita dengan sesuatu (ajak main), kalau mereka ingin makan malam, ajak mereka tidur. Dan apabila tamu kita masuk (ke ruang makan), maka padamkanlah lampu. Dan tunjukkan kepadanya bahwa kita sedang makan bersamanya. Mereka duduk bersama, tamu tersebut makan, sedangkan mereka tidur dalam keadaan menahan lapar.

Tatkala pagi, pergilah mereka berdua (sahabat dan isterinya) menuju Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam. Lalu Rasulullah saw memberitakan (pujian Allah SWT terhadap mereka berdua), “Sungguh Allah merasa kagum dengan perbuatan kalian berdua terhadap tamu kalian). Maka Allah SWT menurunkan ayat 9 surah al-Hasyr)” (HR Bukhari dan Muslim)

Di dalam satu riwayat lain yang dinukilkan, dari Abdullah bin Mush’ab Az Zubaidi dan Hubaib bin Abi Tsabit, keduanya menceritakan, “Telah syahid pada perang Yarmuk al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr. Mereka ketika itu akan diberi minum, sedangkan mereka dalam keadaan tenat, namun semuanya saling menolak. Ketika salah satu dari mereka akan diberi minum dia berkata, “Berikan dahulu kepada si fulan”, demikian seterusnya sehingga semuanya meninggal dan mereka belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat lain, perawi menceritakan: “Ikrimah meminta air minum, kemudian ia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harits sedang melihatnya, maka iapun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harits)”. Namun belum sampai air itu kepada al Harits, ternyata ketiganya telah meninggal tanpa sempat merasakan air tersebut (sedikitpun). (HR Ibnu Sa’ad dalam ath Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr)

Inilah tauladan yang terpuji iaitu keteguhan ikatan persaudaraan di antara orang-orang yang beriman. Lihatlah, pengorbanan mereka walaupun diri mereka sendiri di dalam kesukaran, namun mereka tetap mengutamakan kepentingan dan keselesaan saudara-saudara mereka. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri, kerana terlalu mendalam rasa kasih dan cinta sesama mereka berteraskan keimanan kepada Allah SWT.

Inilah nilai ukhuwwah dalam Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw:

"Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya saya juga telah merasai percikan nilai ukhuwwah yang benar-benar dipuji oleh agama kita, al-ithaar ‘ala al-nafs iaitu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri.

Alhamdulillah...

0 comments:

Post a Comment