Sahabat Sejati

Monday, 7 November 2011

Seteguh hati milik Ibrahim


Firman Allah SWT:
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah.” (al-Kauthar: 2)

Qurban menurut bahasa memberi maksud hampir atau dekat. Manakala dari sudut istilah pula ialah menyembelih haiwan tertentu pada hari Nahar, 10 Zulhijjah, dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zuhijjah) dengan niat.

Asal mula qurban berpangkal dari peristiwa yang berlaku di antara Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as. Baginda tergolong di kalangan orang yang berada. Nabi Ibrahim as. telah berqurban 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Malaikat dan orang biasa merasa kagum dan takjub dalam hal tersebut.

Kata Nabi Ibrahim as.: “Semua yang menjadi qurbanku itu belum menjadi apa-apa bagiku (tiada ertinya bagiku). Demi Allah, jika aku dianugerahi seorang anak lelaki, tentu aku persembahkan pula di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah Ta`ala.”

Masa berlalu, maka beliau telah pun terlupa akan kata-katanya. Sesampainya di Tanah Suci, beliau memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan seorang anak, lalu Allah mengabulkan permohonannya.

Ketika anaknya meningkat usia boleh berusaha bersamanya (ada yang mengatakan berusia 7 tahun, manakala ada pendapat mengatakan 13 tahun), maka dikatakan kepada Nabi Ibrahim, di dalam mimpi: “Tunaikanlah nazarmu!”

Kata Ibnu Abbas ra.: “Ketika pada malam Tarwiyah dia tidur, bermimpi ada orang berkata: “Wahai Ibrahim, tunaikanlah nazarmu!”

Kisah Qurban

Menurut Imam Qurtubi di dalam tafsirnya: Sesungguhnya Ibrahim bermimpi pada malam Tarwiyah (8 Zulhijjah) bahawa seseorang berkata: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk menyembelih anakmu.” Ketika subuh tiba Ibrahim berfikir, apakah ia mimpi dari Allah atau dari syaitan. Maka dinamakan hari itu hari Tarwaiyah. Pada malam kedua ia bermimpi lagi dengan mimpi yang sama, lalu diingatkan kepada janji yang pernah dilafazkan. Ketika subuh sudah tiba, sedarlah ia bahawa mimpi itu dari Allah. Maka dinamakan hari itu hari `Arafah. Kemudian Ibrahim bermimpi lagi pada malam ketiga. Maka ia tekad untuk menyembelih anaknya. Hari tersebut dinamakan hari Nahar (hari menyembelih). Ketika Ibrahim melakukan penyembelihan, Jibril as. mengucapkan: Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Manakala Ismail mengucapkan: Laa ilaaha illallaahu, wallaahu akbar. Sedang Ibrahim mengucapkan: Allahu akbar, walillahilhamd. (Tafsir al-Qurtubi XV: 102)

Disebutkan juga didalam tafsir al-Qurtubi: Ketika syaitan mengetahui bahawa Ibrahim telah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya, ia mendatangi Hajar dan bertanya: “Apakah kamu tahu ke mana Ibrahim membawa anaknya Ismail?” Hajar menjawab: “Tidak tahu.”

Lalu syaitan menjelaskan: “Ia pergi untuk menyembelih anaknya.” Hajar menjawab: “Tidak mungkin, ia sangat sayang epada anaknya itu.” Syaitan menyatakan: “Ia menyangka bahawa Tuhannya menyuruh untuk menyembelih anaknya itu.” Hajar menjawab lagi: “Jika benar Tuhan menyuruhnya, maka ia telah berbuat baik dengan mentaati perintah Tuhannya.”

Syaitan pergi lalu menemui Ismail, katanya: “Tahukah kemana ayahmu hendak membawa kamu?” Ismail menjawab: “Saya tidak tahu.” Kata syaitan: ”Ayahmu membawa engkau untuk disembelih, kerana ia menyangka bahawa Tuhan menyuruhnya.” Jawab Ismail: “Kalau begitu biarlah ia melaksanakan perintah Allah. Saya juga patuh dan taat pada perintah Allah.”

Kemudian syaitan mendatangi pula Ibrahim dan berkata: “Hendak ke mana engkau, Ibrahim? Wallaahi, aku fikir syaitan telah mendatangi dalam mimpimu dan menyuruh untuk menyembelih anakmu.” Ibrahim mengetahui yang berkata itu adalah syaitan, lantas ia menjawab: “Pergilah engkau wahai musuh Allah. Demi Allah, saya akan melaksanakan perintah Tuhanku.” Maka syaitan berlalu kerana tidak berhasil menggoda Ibrahim, Ismail dan Hajar. (Tafsir al-Qurtubi XV: 105 – 106)

Seterusnya dinyatakan: Ketika Ismail akan disembelih oleh ayahnya (Ibrahim) berkata: “Wahai ayahku, ikatlah aku kuat-kuat supaya tidak goncang. Dan sinsinglah kainmu supaya darahku tidak memercik padanya, lantas nanti ternampak oleh ibuku, ia akan menjadi sedih kerananya. Dan percepatkan melalukan pisau ke atas leherku, agar kematianku lebih mudah terasa olehku. Tutuplah wajahku, agar engkau tidak melihatku sehingga menimbulkan kasihan kepadaku. Dan supaya aku tidak melihat pisau, agar tidak terkejut kerananya. Dan bila ayah kembali kepada ibuku, sampaikanlah salamku kepadanya.” (Tafsir al-Qurtubi XV: 104)

Allah SWT berfirman:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (seorang anak yang) yang tergolong dari orang-orang yang soleh. Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang amat sabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, engkau akan mendapati daku termasuk dari orang-orang yang sabar.” Setelah keduanya berserah diri (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), dan Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (as-Saffat: 100 – 108)

Sesungguhnya ujian ini adalah ujian yang nyata, iaitu ujian yang nyata di antara ihklas dan tidak ikhlas. Ternyata ujian amat sulit sekali. Akhirnya, Allah SWT menukarkan dengan seekor sembelihan yang besar yang dibawa oleh Jibril as.

Ada riwayat mengatakan ‘sembelihan yang besar’ itu adalah domba yang dahulu dikorbankan oleh Habil kepada Allah SWT dan domba tersebut tetap hidup di syurga, sehinggalah ia ditebus dengan Nabi Ismail as.

Demikianlah kerelaan dua hamba Allah yang taat melaksanakan perintah Tuhannya, lalu peristiwa korban ini diabadikan menjadi sunnah sehingga ke akhir zaman.

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw ketika ditanya oleh para sahabat: “Apakah qurban itu, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sunnah bapa kamu Nabi Ibrahim.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Ibrahim adalah khalil

Ibrahim adalah seorang Rasul yang tergolong Ulul `Azmi yang digelar Khalilullah, yang terkenal sangat cinta kepada Allah.

Khalil bukan kekasih biasa. Khalil dengan cintanya yang disebut khullah, adalah cinta pada kesempurnaan Esa dan Cinta. Dalam cinta yang bernama Khullah itu tiada yang dua.

Cinta biasa adalah cinta antara al-habib dan al-mahbub, dengan cinta yang bernama al-hubb. Tetapi khullah antara khalil adalah cinta tinggi yang tidak boleh dikongsi.

Nabi SAW telah bersabda: “Kalaulah aku ingin mengambil dari kalangan manusia itu seorang khalil, nescaya akan kuambil Abu Bakar sebagai khalilku. Akan tetapi sahabatmu ini (yakni Rasulullah SAW) adalah khalil kepada Allah SWT”

Di sinilah titik besar pada cinta dan pengorbanan.

Maka, berkorbanlah andai itu mampu meraih cinta-Nya...

0 comments:

Post a Comment