Tanpa sedar, lebih 1430 tahun Rasulullah saw telah meninggalkan kita. Masa yang beredar menjarakkan kita dengan ungkapan kasihnya...ummati, ummati, ummati...
Kalimah yang menggambarkan betapa sayangnya baginda kepada kita semua.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash ra.; Sesungguhnya Rasulullah saw membacakan ayat Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
“Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku maka ia adalah dari golonganku dan barangsiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang” (Ibrahim: 36)
Kemudian membaca kata-kata Nabi Isa as:
“Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu; dan jika Engkau mengampunkan mereka; maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Maidah: 118)
Maka Rasulullah mengangkat tangannya dan berdoa: “Ya Allah, ummatku...ummatku” dan Rasulullah menangis. Allah berfirman: “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan Tuhanmu Maha Mengetahui, tanyakan kepadanya apakah yang menyebabkan dia menangis.”
Jibril mendatangi Rasulullah dan bertanya. Rasulullah memberitahu bahawa Allah Maha Mengetahui (tentang apa yang ditangisi)
Allah berfirman: “Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakan sesungguhnya Kami meredhaimu pada umatmu dan Kami tidak menganiayaimu.” (Muslim)
Nah! Betapa besarnya kecintaan baginda, apakah kita mengerti dan merasai hakikatnya.
Namun, di manakah Rasulullah di sudut hati kita, adakah di tempat yang paling tinggi di dalam hati?
Sedalam manakah perasaan cinta kita kepada Rasulullah,adakah sama dengan cinta kita kepada isi dunia?
Bagaimanakah gejolak rindu kita kepada Rasulullah, mungkin secalit sahaja berbanding rindu kepada kekasih hati?
Rasakanlah persoalan ini di dalam hati.
Ada yang tidak ambil kisah tentang Rasulullah saw. Ada yang menganggap soal Rasulullah saw hanyalah pada ajarannya bukan kepada peribadinya. Tidak kurang yang menganggap ia bukan perkara pokok, tidak perlu diperbesar-besarkan. Sedangkan baginda diutus sebagai penunjuk jalan, sumber kebenaran dan penyelamat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat.
Renungkanlah sabdanya ini...
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]
Apakah yang kita fikirkan jika seorang lelaki rindukan seorang calon isteri, sedangkan calonnya belum ada!!?
Mungkin kita akan berkata lelaki itu tidak waras, mana mungkin seseorang merindui kepada seseorang yang tidak wujud.
Namun Baginda telah merindui kita sebelum kita ada.
Baginda melihat perkuburan, menginsafi bahawa dirinya tidak kekal dan akan kembali kepada Dia. Pastinya baginda tiada peluang untuk bertemu dengan saudara-saudaranya.
Siapakah saudara-saudaranya itu? Tidak lain dan tidak bukan, KITALAH WAHAI SAUDARA DAN SAUDARI…
Renungkanlah, andai masih ada lagi sedikit perasaan halus di sudut hatimu...
Duhai Rasulullah
Tiada lukisan yang dapat melukis akhlaqmu
Tiada kata yang seindah dan selembut bicaramu
Engkaulah tauladan dan ikutan
Engkaulah keistimewaan di mata sahabatmu
Demikian keistimewaan di hati kami
Meskipun dikau insan biasa...
Selawat dan salam ke atasmu ya Rasulallah, syafaatkan kami di hari pertemuan kita.
Dengan ikhtiar perjuangan yang tidak seberapa ini, ibarat tenggelam timbul di lautan kefasiqan.
Moga terenjis jua belas ehsanmu duhai Rasulullah, agar mengakui kami ini umatmu.
Ameen ya Rabbal ‘Aalameen.
2 comments:
Subhanallah..
menangisi..menginsafi...
syukran ustaz
semoga bermanfaat...
Post a Comment