Sebuah kapal dalam pelayaran menuju ke satu destinasi. Di dalamnya ramai penumpang yang mengikuti pelayaran ini. Setelah berhari-hari membelah lautan, suatu hari kapal ini singgah di sebuah daratan dan memberi peluang kepada para penumpang untuk pergi berjalan-jalan melihat suasana di daratan. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kejemuan setelah sekian lama di lautan membiru.
“Wah! Menarik sungguh pulau ini,” mereka amat terpesona dengan kecantikan dan keindahan pulau tersebut.
Pasir pantai yang memutih, dedaun kelapa melambai-lambai apabila ditiup angin, air yang jernih serta ikan-ikan yang berenang di celah-celah batu karang.
“Jangan berjalan terlalu jauh, nanti tidak mendengar siren amaran untuk belayar semula,” pesan kapten kapal sebelum melepaskan mereka semua turun.
“Baik, kami semua ingat pesanan tuan,” mereka semua berjanji akan taat pada perintah kapten kapal tersebut.
Golongan pertama yang turun berlabuh meninjau-ninjau sekitar pulau tersebut. Mereka sekadar mencari keperluan untuk bekalan pelayaran seterusnya. Mereka berjalan-jalan tetapi tidak berani terlalu jauh kerana bimbang akan ketinggalan, di kepala mereka sentiasa ingat akan pesanan tadi. Mereka tahu pulau itu hanyalah persinggahan sementara, sedangkan destinasi utama masih jauh perjalanannya. Mereka balik semula ke kapal sebelum siren dibunyikan. Alhamdulillah, mereka gembira.
Ada satu lagi golongan yang turut bersiar-siar di pulau tersebut. Mereka terpegun dengan keindahan yang memukau pandangan mata. Tanpa disedari mereka asyik berjalan dan terus berjalan. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi siren kapal dari kejauhan. Barulah mereka tersedar yang mereka telah berjalan agak jauh. Lantas mereka bergegas pulang ke kapal, tetapi kerana terlewat, tempat duduk mereka habis dipenuhi penumpang yang lain. Mereka seperti kecewa, walaupun sempat naik ke kapal.
Manakala golongan ketiga adalah yang paling malang. Mereka begitu ghairah dengan keadaan pulau tersebut. Walaupun siren kapal berbunyi berkali-kali , tetapi dek kerana terlalu jauh berjalan, mereka tidak mendengarnya. Sehinggalah siren berbunyi untuk kali terakhir, mereka masih terleka menikmati keindahan dan berhibur semahunya di pulau tersebut. Akhirnya kapal pun membongkar sauh, belayar meninggalkan mereka. Setelah jauh berlalu, barulah mereka tersedar dan berlumba-lumba kembali ke pelabuhan. Kapal telah pun belayar, walaupun dipanggil berkali-kali ia tetap tidak kembali lagi. Akhirnya penyesalan yang tidak terhingga.
Sekadar analogi
Kisah pendek ini hanya satu analogi.
Ada di antara manusia seolah-olah terlupa bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara. Sedangkan hidup pasti akan menemui kematian.
Ada yang menyedari bahawa kehidupan ini adalah satu amanah, lalu mereka menggunakan seluruh kehidupannya untuk mengabdikan diri kepada Allah. Apabila bekerja, berkeluarga serta setiap aktiviti yang dilakukan selaras dengan kehendak Allah SWT. Mereka ingat bahawa semuanya akan dihitung dan dipertanggungjawab kelak.
Ada yang terleka dengan kehidupan ini, namun akhirnya mereka disedarkan kembali. Mereka sempat kembali ke pangkal jalan. tetapi nikmat yang diperolehi tidak sama dengan golongan yang pertama tadi. Terdetik juga sedikit penyesalan, “Kalaulah kami patuh dan taat sejak dari mula, tentu kami juga mendapat nikmat seperti mereka.”
Golongan ketiga menjalani kehidupan di dunia ini tanpa pantang-larang. Falsafah mereka “hidup hanya sekali nikmatilah sepuasnya”. Maka segalanya dibolot tanpa ada kira-kira. Tatkala kematian menghampiri mereka barulah datang penyesalan. Namun semuanya telah terlewat, walaupun menangis dan merayu hanyalah sia-sia. Merekalah golongan yang rugi.
Tentukan pilihan anda
Akhir kehidupan terbentang dua jalan. Tiada yang ketiga.
Bahagia dan sengsara.
Bahagia adalah syurga, sengsara adalah neraka. Sedangkan kedua-duanya kekal abadi.
Semestinya setiap orang mahukan kebahagiaan. Kerana bahagia itu adalah kesenangan dan kenikmatan. Bahagia adalah seribu perkara yang menggembirakan.
Tiada siapa mahukan sengsara. Kerana sengsara adalah penderitaan, sengsara itu kesakitan dan kepayahan. Sengsara adalah seribu perkara yang tidak menyenangkan.
Bahagia atau sengsara, kita sendiri membuat pilihan. Gunakan akal untuk menilai.
Jangan tersilap membuat pilihan.
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا. فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا . وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.” (as-Syam: 7-10)
3 comments:
Assalamualaikum,
alhamdulillah..suka bce post nie..
moga terus menulis mengetuk hati2 insani..
I-Allah, doakan agar tidak kering ilhamnya...
entry yg menarik
Post a Comment