“Cuba tengok ni,” unjuk sahabat saya di sebelah pada skrin telefon bimbitnya.
Hari masih awal lagi, tidak ramai pelanggan yang minum di warung bawah pokok ceri yang rendang itu. Sekali-sekala saya singgah minum pagi bersama rakan sebelum ke pejabat.
“Ada apa?” Tanya saya sambil melihatnya.
Tertera ayat satu hingga tujuh dari surah Yaasin dalam tulisan rumi. Di akhir pesanan ringkas itu terdapat arahan agar si penerima mengirim pula kepada tujuh orang lain, nanti orang yang menghantarnya akan mendapat sesuatu yang tidak disangka-sangka. Entahlah, dapat apa tidak pula dinyatakan.
“Siapa yang hantar?” Saya memulangkan kembali telefon bimbitnya.
“Entahlah, tak pernah tengok nombor ni,” jawabnya bersahaja sambil menghabiskan baki air di dalam cawan.
“Senanglah macam tu ya, anta kirimlah pada orang lain pula,” saya mengusiknya.
Macam-macam.
Kisah yang sama
Saya mengimbau kembali kisah yang hampir sama.
Suatu petang, sedang saya berbual-bual kosong dengan jiran di hadapan pintu pagar rumah saya. Tiba-tiba berhenti sebuah motosikal memecah suasana petang yang hening dan damai. Penunggang dan pembonceng yang saya kenali, mereka adalah penduduk taman saya juga, suami isteri. Tetapi saya jarang berbual dengannya, sesekali jika berselisih.
Lalu si suami menghulurkan sampul surat kepada saya dan rakan di sebelah sambil tersenyum. Saya melihat di dalam raga motosikalnya masih banyak lagi sampul surat yang sama.
“Baca ya,” katanya dan terus berlalu, mungkin mahu menghantar kepada orang lain pula.
“Surat jemputan kahwin ke?” Tanya sahabat saya. Kami sama-sama membuka sampul untuk mengetahui isi kandungannya
“Laa... surat berantai rupanya, ada lagi ingatkan dah pupus,” saya bersuara dengan nada agak terkejut, begitu juga dengan rakan di sebelah.
Kandungan surat berantai tersebut kononnya dari Sheikh Ahmed, penjaga makam Rasulullah. Beliau mendakwa bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan menyampaikan pesan kepadanya.
Rasulullah kononnya memberi satu statistik bahawa seramai 60,000 orang Islam akan mati tanpa iman pada akhir zaman. Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan, sekiranya surat ini tidak diedarkan sebanyak 20 salinan, akan mendapat bala. Untuk menguatkan lagi, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini palsu. Di datangkan pula contoh-contoh yang menjurus kepada perkara di atas.
Manakala bagi yang mengedarkannya sebanyak 20 salinan, akan mendapat laba dan keuntungan. Maka di datangkan pula beberapa contoh untuk meyakinkan pembaca.
“Ada juga yang percaya benda-benda begini,” saya menggeleng-gelengkan kepala.
Entahlah.
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978
SURAT SHEIKH AHHMED PALSU, KHURAFAT DAN DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD
Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings of St. Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).
Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun. Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW di Madinah antara tahun 1967 hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheikh Ahmad antara tahun 1881 hingga 1979.
Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).
Bekas menteri besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.
Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Kadi Daerah Kinta meminta beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).
Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah “melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa yang telah pun dikirimkan risalah ini”.
(Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).
Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978, dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, menyebar surat ini “termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam."
Lagipun, “surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan SHEIKH AHMAD sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda."
Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8, surat ini “paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat.
Sesungguhnya ulama’ sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan murtad walaupun tanpa sedar si pengirim.”
HENTIKAN MENGHANTAR EMAIL YANG BOLEH MENJADIKAN KITA SESAT TANPA KITA SEDARI. INSAFLAH, SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KITA
0 comments:
Post a Comment