Sahabat Sejati

Tuesday, 8 November 2011

Fikiran boleh kena `culik`?

Soalan:

Jiran saya hilang segala ingatannya kerana terbabit dalam suatu kemalangan jalan raya, tetaoi anehnya dia masih boleh balik ke rumah. Setelah pulih beliau merasakan kemungkinan fikiran beliau telah diculik. Ada sahabat bercerita tentang saudaranya sakit, mengadu fikirannya kosong, dia diculik dan kemudian meninggal dunia selepas itu. Saya sendiri mengalami keadaan sedemikian, pada suatu pagi, sedang saya berjalan-jalan, tiba-tiba pandangan dan fikiran saya jadi kosong. Soalan saya, bolehkah fikiran kita diculik, bagaimana ia boleh menjadi kosong dan bagaimana hendak menghindarkannya. Terima kasih.

Jawapan:

PERKARA yang anda kemukakan, adalah permasalahan yang biasa berlaku dalam mana-mana masyarakat manusia. Masalah hilang fikiran (ingatan), sama ada seluruhnya, separuhnya, seperempat daripadanya atau sebahagian kecil daripadanya, adalah perkara biasa, yang banyak aspek boleh dianalisis natijahnya.

Semuanya tidak ada kena mengena dengan culik menculik akal fikiran manusia.

Fikiran bukan macam manusia. Manusia boleh diculik, tetapi fikiran tidak boleh diculik. Yang bolehnya, fikiran itu sendiri hilang. Ini dipanggil hilang fikiran.

Perihal mengenai fikiran seseorang itu, selalu diungkapkan dalam masyarakat kita dengan istilah, ‘hilang fikiran’, ‘serabut fikiran’, ‘kusut fikiran’, ‘fikiran buntu dan terganggu’, ‘lupa’, ‘sewel’, ‘nyanyuk’ dan sebagainya.

Ini menunjukkan permasalahan yang berkaitan fikiran adalah masalah lazim yang dihadapi manusia, dalam berbagai-bagai peringkat umur.

Fikiran boleh hilang semua sekali dengan berlakunya kemalangan, seperti yang anda nyatakan dalam soalan di atas. Mungkin kerana hentakan kuat di kepala sehingga bergegar otak yang boleh mengubah mekanisme yang menyimpan maklumat, serta berlaku kerosakan kepada struktur fikiran dan simpanan maklumat terganggu.

Contoh senang yang boleh berkongsi fakta. Dalam telefon mudah alih, kita ada alat kecil penyimpan maklumat yang dipanggil chip atau gadget. Di dalamnya disimpan pelbagai maklumat, khususnya pelbagai nombor, SMS dan sebagainya.

Jika telefon kita termasuk air, terhempas atau terhentak dengan agak kuat, maka maklumat didalamnya akan hilang.

Akal manusia juga seumpama itu. Kadang-kadang kita terlupa. Ada maklumat yang disimpan dalam ingatan, tetapi kita lupa.

Untuk mengingatkan kembali maklumat seperti ini, biasanya kita beristighfar ke hadrat Allah SWT atau berselawat ke atas Nabi Muhammad saw beberapa kali, insya-Allah maklumat itu akan datang semula.

Malah ada kalangan kita yang menghafal al-Quran dan hadis-hadis Nabi, tetapi lupa. Malah ada yang lupa seluruhnya.
Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya (mafhumnya): “Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan lupa.”

Bukan sahaja kita orang biasa yang lupa. Hatta di kalangan Rasul-Rasul Allah, ada yang lupa. Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, mengenai kisah Nabi Musa as. dengan pembantunya, dalam perjalanan mencari insan yang istimewa.

Kedua-duanya terlupa kisah ikan yang mereka bawa, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran (madhumnya): “Maka apabila mereka berdua (Musa dan pembantunya) sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelungsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.” (al-Kahfi: 61)

Ertinya, Nabi Musa juga terlupa atau terhilang daripada ingatannya akan perkara tersebut.

Nabi Adam as. pernah terlupa, seperti kisahnya dalam al-Quran (mafhumnya): “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.” (Thaha: 115)

Itulah sifatnya manusia, ia ada fikiran, ada ingatan, tetapi kadang-kala ia terlupa.

Merujuk kepada persoalan yang anda timbulkan, itulah sifat manusia. Dalam banyak perkara sering terlupa, lupa biasa, lupa yang agak serius dan ada kalangan lupa yang sangat serius.

Kita sering terlupa kecil-kecilan, lupa maklumat-maklumat mudah, lupa pesanan orang, itu adalah lupa biasa. Tetapi lupa hingga hilang seluruh ingatan, ia adalah penyakit.

Maka hendaklah kita sering beristighfar ke hadrat Allah SWT, kita banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan mohonlah ke hadrat Allah supaya dihindari kita termasuk dalam golongan yang lupa, khasnya lupa ke hadrat Allah SWT.

Ingatlah bahawasanya, kita milik Allah dan kepada Allah jua kita akan kembali. Sekian, wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment