Sahabat Sejati

Monday, 28 November 2011

Kenangan masih basah: Petang itu...


Petang yang redup mencetuskan suasana yang tenang dan damai , sesekali pohon-pohon yang sederetan di tepi pagar sekolah meliuk-liuk di terpa angin petang. Gugusan bukit-bukau yang menghijau di kejauhan menambah damai alam.

Saya melabuhkan punggung di kerusi batu di tepi padang, membiarkan deru angin menyentuh seluruh badan. Masa bagaikan berhenti melayan bayu yang berpuput lembut.

Sepasang anak mata saya sorotkan ke arah rakan-rakan yang riang menyambut ibu bapa dan keluarga yang datang berkunjung. Suara tawa riuh mereka memukul gendang telinga, sedikit mencalar perasaan. Hati berdetik dan terusik.

“Fuhhs...” saya melepaskan sebuah keluhan pendek meredakan perasaan.

Daun-daun kering yang gugur berterbangan di tiup angin petang, melayang-layang sebelum singgah ke bumi. Cahaya suria yang terserak berbalam-balam melukis garis antara celah-celah ranting dan daun yang rimbun.

Teringat kepada hadis Rasulullah saw:
Abu Usman ra berkata: "Pada suatu hari Salman ra. dan aku sedang duduk di bawah sepohon kayu. Beliau mengambil sebatang ranting kering dari pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur. Kemudian kata beliau kepadaku: "Hai Abu Usman! Mengapa kamu tidak bertanya kenapa aku berbuat demikian ini?" Sahutku,"Sila khabarkanlah padaku."

Kata beliau,"Beginilah Rasulullah saw melakukan di hadapanku semasa aku bersamanya di bawah sepohon kayu. Baginda mengambil ranting kering pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur lalu baginda saw bersabda: "Wahai Salman! Mengapa kamu tidak bertanya kenapa aku berbuat demikian ini?" Sahutku, "Sila khabarkan kepadaku kenapa baginda buat begini." Sabda Baginda, "Bahawasanya apabila seorang Islam mengambil wudhu dengan sempurna, kemudian dia laksanakan solat lima kali sehari maka dosa-dosanya gugur seperti mana daun-daun ini gugur."

Lantas baginda membaca ayat dari surah Hud ayat 114:
"Dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk(dosa). Itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat".

Tanpa sedar, hampir sejam saya termenung sendirian di atas bangku batu itu. Bangku tempat saya melabuhkan diri mencari secebis damai diri. Semenjak di tingkatan satu hingga tamat pengajian di sekolah menengah, kerusi batu di tepi padang itu menjadi teman saya mengelamun. Mengenang masa lalu yang telah menjadi memori, menghitung perjalanan hidup kini serta membayangkan masa depan yang masih kabur dan tidak pasti.

Saya menggeliat, mengendurkan otot-otot yang tegang. Terasa keselesaan menghambat keseluruh tubuh.

Hari pertama

Terkenang hari pertama di asrama, bungkam. Sayu melambai tangan kepada keluarga yang menghantar.

Sebelum ini saya tidak pernah berpisah lama dengan keluarga. Inilah detik permulaannya.

Sebelum tidur melayan perasaan di dalam gelap. Malam terasa amat panjang. Bagai tidak tertahan air mata yang keluar, teresak-esak di atas katil bertingkat dua. Membayangkan hidup yang terpaksa berpisah jauh dengan ibu bapa dan keluarga. Inilah permulaan hidup berdikari yang perlu saya lalui.

Malam pertama yang terasa amat panjang, bersama air mata yang tumpah ketika usia tiga belas tahun telah pun menjadi kenangan. Masa beredar bagaikan terlalu laju namun kenangan itu masih tersimpan kukuh di sanubari.

“Hahh!!” Tiba-tiba satu suara menyergah dari belakang.

Tersentak. Saya segera berpaling, seraut wajah yang cukup dikenali.

“Apa yang dimenungkan tu? Jauh nampaknya,” sapanya lembut.

“Ohh...abang Hadi, tak ada apa-apa,” saya menjawab seraya menghulur tangan untuk bersalam.

Beliau tersenyum.

“Sengaja melayan perasaan, seronok tengok emak ayah datang jumpa anak-anak, keluarga saya jauh.” Jawab saya kepada pelajar tingkatan enam atas itu yang saya anggap seperti abang sendiri. Beliau selalu mengajak saya ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari sekolah, ‘sepuntung rokok orang asli’ sahaja jaraknya.

“Ini mesti teringat keluarga di kampung, betul tak?” Sambungnya lagi, menduga.
Saya hanya mengangguk.

Lebih terasa tatkala pada hujung minggu melihat rakan-rakan yang dikunjungi ibu bapa dan keluarga dengan pelbagai juadah. Terdetik rasa rindu pada keluarga yang jauh di kampung.

Tetapi kami perantau di usia muda hanya mampu memerhati sahaja. Ahh, bukankah ini kehidupan seorang penuntut ilmu. Berjauhan dengan keluarga, kekurangan belanja, kerinduan yang sesekali datang menjengah mengetuk pintu hati dan seribu satu cabaran yang kadangkala amat menekan.

“Janganlah bersedih, anta semua hebat-hebat. Boleh merantau jauh untuk menuntut ilmu.” Kata abang Hadi seperti memujuk.

“Jom! Kita minum Air Batu Campur di gerai tepi pagar tu, tak apa ana belanja.”

Hari ini

Sesekali teringat kenangan lama semasa zaman belajar dahulu membuatkan saya tersenyum sendirian. Terlalu banyak kenangan yang tersimpan kukuh di kotak minda. Mahalnya pengalaman hidup yang nilainya hanya dimengertikan oleh si empunya diri. Tentunya setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang sukar dilupakan. Seandainya dapat dirakam setiap episod pengalaman hidup, mungkin boleh dijadikan satu skrip filem yang panjang untuk ditonton semula bersama isteri dan anak-anak. Agar mereka mengerti bahawa hidup ini tidak mudah. Apa yang dicita memerlukan pengorbanan dan menempuh kesakitan, jika tidak usah diharap kejayaan akan menyusul. Seumpama pepatah zaman berzaman: “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.”

Itulah yang sering saya ingatkan kepada anak-anak, kejayaan seiring dengan pengorbanan. Semoga mereka semua memahaminya.

Dalam kehangatan hidup hari ini, sesekali ingatan saya terbang jauh mengenang kembali hari-hari sukar yang ditempuh semasa bergelar penuntut ilmu dahulu. Di situlah saya membesar menjadi remaja, menjadi anak muda. Ada ketikanya pahit dan ada kalanya manis, semuanya mengajar erti ketabahan dan jauh sekali berputus asa. Mana mungkin saya dapat melupakannya, kerana saya hari ini adalah sebahagian corak kehidupan semalam. Semalam yang mematangkan saya dan membentuk saya menjadi manusia yang punya peranan. Semuanya terisi kemas dalam lipatan sirah diri yang abadi.

Salam kerinduan buat teman-teman seperjuangan yang tidak pernah kenal erti menyerah kalah ketika bergulat di medan menuntut ilmu. Semoga nostalgia yang dilalui akan sentiasa tersemat di sanubari.

abuikhwan@kembara mencari hamba

0 comments:

Post a Comment