Rasulullah saw bersabda: “Seseorang itu menurut agama sahabatnya. Maka hendaklah diperhatikan seseorang yang hendak kamu jadikan sebagai teman.” (Riwayat al-Bukhari)
Benar-benar sulit untuk mencari sahabat yang baik, sebagaimana benar-benar sulit untuk menjadi sahabat yang baik.
Bagaimanakah seorang sahabat yang baik?
Tentunya sahabat yang baik tidak cemburu dengan kejayaan sahabatnya. Sebaliknya sahabat baiklah yang paling banyak membantu untuk mencapai kejayaan.
Sahabat yang baik tidak pernah mempengaruhi sahabatnya untuk melakukan perkara-perkara yang buruk dan sia-sia, tetapi sahabat yang baik adalah orang yang sentiasa menasihati sahabatnya untuk berbuat kebaikan.
Sahabat yang baik adalah orang yang dicari ketika sedih dan gembira. Sahabat yang baik menjadi tempat meluahkan perasaan yang tidak dapat diluahkan kepada sahabat biasa.
Adakah sahabat yang sebegini di zaman manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kepentingan diri? Entahlah, mungkin ada. Tetapi terlalu payahdan sukar, satu dalam seribu, mungkin. Beruntunglah mereka yang telah menemuinya.
Bagi seseorang yang hendak mengetahui serta memperbaiki kecacatan dan keaiban dirinya ialah melalui sahabat yang jujur dan bersikap benar dalam segala-galanya. Sahabat yang sebegini akan menegur kesilapan dan keaiban sahabatnya dengan dengan penuh kejujuran dan kasih sayang.
Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab bertanya kepada Salman al-Farisi tentang sesuatu keaiban yang terdapat pada dirinya. Tetapi pertanyaan tersebut enggan dijawab oleh Salman kerana khuatir akan menyinggung hati dan perasaan Umar. Umar sebaliknya semakin menggesanya untuk menerangkan akan hal yang sebenarnya. Lantas Salman pun berkata, “Adalah aku mendengar bahawa engkau ada menghimpunkan dua lauk dalam satu hidangan dan pada engkau ada dua pakaian yang engkau pakai, satu siang dan satu pada malamnya.”
Umar terus bertanya lagi, “Adakah lain-lain lagi yang engkau dengar selain kedua-dua perkara itu tadi?”
“Tiada lagi selain itu,” jawab Salman.
Umar berkata, “Adapun dua perkara yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya aku akan berusaha mengubahnya.”
Diriwayatkan Rasulullah saw pernah bersabda: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Allah akan mengurniakannya sahabat yang soleh, jika ia lupa akan diingatkannya dan jika diingatkannya akan menolongnya.”
Anda telah menemui sahabat yang baik?
3 comments:
Assalamualaikum..
“Semua orang pasti menginginkan sahabat sejati, namun tidak semua orang berhasil mendapatkannya. Banyak pula orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya”
masih lagi belum menemuinya.....
cari dan terus mencari sahabat sejati, I-Allah...
Post a Comment