Baca di sini Part 7
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Hari-hari di Kampung Permatang berjalan perlahan, tenang seperti arus anak sungai yang tidak pernah mendesak. Setiap pagi aku turun membantu Pak Andak di sawah. Di sinilah denyut hidup kampung bernafas, antara bau daun yang dibasahi embun dan suara burung yang memanggil pagi.
Menjelang petang, langit membakar lembayung jingga yang tumpah di kaki langit. Angin meliuk-liukkan padi yang semakin menguning, seolah-olah seluruh hamparan itu sedang berzikir lembut. Di atas permatang yang panjang, aku dan Busu berlari-lari kecil, tawa kami berbaur dengan desir angin. Layang-layang merah yang kuikat sendiri terbang tinggi, mengepak seperti burung yang baru belajar percaya pada sayapnya.
Pada saat itu, di tengah sawah lama, aku terasa seakan seluruh dunia menjadi sebuah kenangan yang sedang dilukis perlahan.
![]() |
| foto hiasan |
“Abang! Abang tengok! Layang-layang ni naik lagi tinggi!” jerit Busu sambil berlari.
Aku ketawa kecil. Dalam riang Busu, aku rasakan dunia ini menjadi sedikit lebih ringan. Entah kenapa, zaman ini yang asing telah mula menyatu dengan nadiku.
Namun ketenangan itu tak kekal lama. Dari celah semak di pinggir sawah, muncul tiga bayang tubuh sasa. Langkah mereka kasar. Wajah mereka bukan wajah ingin bersahabat.
“Busu.. mari sini,” kataku perlahan, tangan menyentuh bahunya.
Dia terhenti. Layang-layang masih tergantung di angkasa, tapi benangnya mula melonggar dek tangan yang mula bergetar.
Alang, anak ketua kampung yang pernah aku dengar sebagai pemuda yang sukar dijangka, melintasi kami di pinggir bendang. Tatapannya tajam, tapi aku memilih diam.
Bukan kerana takut.. tetapi kerana aku tidak mahu mengubah apa-apa. Aku tetamu di masa ini. Sekali aku campur tangan dalam sejarah, mungkin seluruh jalan waktu akan berubah.
“Apa ke budak dua orang ni main macam tak tahu adab?” ujar Alang, suaranya serak. “Ini kawasan aku. Siapa suruh main sini?”
Wajahnya angkuh seperti biasa. Di kiri dan kanannya dua pemuda lain, kuncu setia, ketawa terbahak-bahak debgan nada yang menjengkelkan.
Aku melangkah ke hadapan. Biar tubuhku jadi perisai buat adik kecil ini.
“Maaf, Alang. Kami tak tahu ini kawasan larangan,” aku cuba menahan nada, cuba untuk berbahasa. Menahan diri dari berlaku onar walau dadaku sedang marah.
Dia mendekat, mata tajam menikam pandang. “Kau ni siapa sebenarnya? Asal usul kau tak pernah orang kampung tahu. Pak Andak kutip kau dari mana?”
Aku diam. Kata-kata yang hendak kujawab terhenti, apa yang boleh aku katakan? Aku dari abad ke-21, terperangkap dalam dunia mereka?
Tidak mungkin!
Busu, yang masih kecil, menyentuh hujung bajuku. “Jangan ganggu abang aku..” suaranya perlahan, tapi cukup membuatkan Alang tergelak besar.
“Heh! Tengok ni, nak jadi hero konon,” sindir Alang.
Seketika kemudian, dia melangkah pantas, tangan kasarnya menyentap layang-layang dari tangan Busu dan melemparkannya ke tanah. Tapaknya memijak layang-layang merah itu, senyum puas terukir di bibirnya. Aku sudah tak mampu diam. Lengan kiriku pantas menarik tangan Alang dari bahu Busu.
“Cukup!”
Alang merenungku tajam. “Berani kau?”
Aku tahu.. aku akan menyesal, tapi tanganku terangkat, menepis lengan Alang. Tubuhnya tersentak ke belakang. Sunyi sesaat. Kuncunya terkejut. Wajah Alang merah padam. Nafasnya kencang.
“Kau tahu siapa aku?” Alang bertanya seraya menepuk-nepuk dadanya dengan nada bongkak,
“Esok.. kau akan tahu padahnya..” katanya perlahan. Dia berpaling. “Mari!” Menggamit kuncu-kuncunya pergi.
Langkah mereka menjauh, tetapi amaran itu tak hilang dari dada. Layang-layang itu koyak. Tapi Busu memungutnya, dan tersenyum tipis.
“Tak apa bang.. kita buat baru.”
Aku usap rambutnya. Dalam hati, aku tahu, gelora zaman ini tidak sekadar ombak tenang. Akan ada badai. Dan aku.. kini bukan lagi sekadar tetamu masa. Aku sedang menjadi sebahagian daripada sejarahnya.
Bersambung Part 9..


1 comments:
Semoga tidak ada insan disakiti..kadang kala kita akan saksikan kesomongan manusia yang egois..rialiti ada berlaku..semoga nanti aman-aman saja kehidupan di Kampung Permatang
Post a Comment