Sahabat Sejati

Friday, 25 February 2011

Lebih hebat dari batu dan besi

Rasulullah SAW telah bersabda memberitahu tentang kejadian bumi ini, diperingkat awal dataran bumi ini dalam keadaan tidak mantap, tanah-tanih yang bergelombang bagaikan cecair. Lalu Allah SWT telah menciptakan gunung-ganang sebagai pasak kepada bumi, dengan itu dataran bumi menjadi kukuh dan dapat dihuni oleh manusia dan lain-lain makhluk.

Setelah itu malaikat bertanya kepada Allah SWT, selain dari gunung-ganang yang pejal itu, masih adakah lagi yang lebih kukuh dan kuat dari batu-batu pejal? Allah SWT memberitahu malaikat, bahawa selain dari batu ada makhluk lain lagi yang lebih kuat, iaitu besi.

Besi mempunyai sifat yang sangat keras mengatasi kekerasan batu, kerana itu manusia mencipta berbagai jentera besar daripada besi yang mampu meruntuh gunung batu dan dihancur lumat.

Malaikat bertanya lagi kepada Allah SWT, apakah makhluk yang lebih kuat dari besi? Allah SWT memberitahu malaikat bahawa api lebih mempunyai kekuatan untuk mengatasi kepejalan besi. Dengan kepanasan yang tinggi besi dapat dicairkan.

Kemudian malaikat bertanya lagi, apakah makhluk yang gagah dan kuat boleh mengatasi kehebatan api? Maka Allah SWT memberitahu bahawa air lebih berupaya mengatasi api, terbukti air mampu memadamkan api.

Malaikat terus bertanya, apakah makhluk lain yang boleh mengatasi kekuatan air? Lalu Allah SWT memberitahu malaikat-Nya, sesungguhnya angin adalah makhluk Tuhan yang lebih kuat dari air. Sebab itu bila Allah jadikan sekumpulan angin yang kuat bernama taufan, ia boleh menggelorakan lautan sehingga air laut melimpah membanjiri daratan, melanda dan memusnahkan segala yang ada di permukaan bumi.

Malaikat masih tidak jemu dan ingin tahu masih adakah makhluk Tuhan yang lebih hebat dari segala kejadian itu, Allah SWT memberitahu malaikat bahawa masih ada makhluk yang lebih dari hebat semua makhluk yang disebut di atas. Dia ialah seseorang yang bersedekah secara senyap, sehingga apabila tangan kanannya menghulur, tangan kirinya tidak mengetahui.

Apakah maknanya? Itulah orang yang bersedekah dengan penuh KEIKHLASAN kerana Allah SWT. Kekuatannya menahan rahsia sedekah dianggap lebih hebat dan gagah dari batu dan besi.

Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir." (al-Baqarah, Ayat : 264)

Sayyid Qutb berkata: “Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.

“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.

KEIKHLASAN, satu perkataan yang singkat namun sangat besar maknanya.

3 comments:

||aLeaSaRa|| said...

alhamdulillah suka sggh sini dpt byk ilmu....terima kasih berkongsikan artikel ini utk kami semua ye

abuikhwan said...

semoga bermanfaat..

KKS fsktm said...

mohon ijin copy paste utk saya sebarkan ditempat saya..

Post a Comment