Sahabat Sejati

Sunday, 27 February 2011

Bolehkah dilakukan amalan memanggil roh?

Soalan:

Amalan memanggil roh atau memuja roh orang yang telah mati agar datang berinteraksi, masih diamalkan dan berlaku dalam masyarakat. Saya sendiri diajak oleh rakan menghadiri sesi memanggil roh melalui spirit of the coin. Digunakan satu cermin besar yang diletakkan di atas meja dengan sekeping duit syiling di atasnya. Lalu dipanggil roh melalui syiling tersebut. Setelah menyeru beberapa kali , syiling itu bergerak dan jari-jari kami pun bergerak sama. tiba-tiba seorang daripada kami tidak sedarkan diri dan mula berinteraksi dengan kami atas nama dia roh polan bin polan. Dia memberitahu kami perkara-perkara ghaib dan yang menakjubkan. Apakah itu yang benar datang dan bolehkah amalan ini diteruskan. Mohon penjelasan agar kekeliruan ini dapat ditangani.

Jawapan:

AMALAN sedemikian bukan perkara baru, sudah lama wujud. Setahu saya, amalan ini adalah mainan orang-orang barat yang ditiru oleh orang-orang kita. Amalan ini memang wujud sehingga ke hari ini. Persoalan memanggil roh atau pemujaan roh, berasal daripada amalan masyarakat manusia purba zaman berzaman dengan keyakinan mereka sendiri bahawa roh orang yang telah mati, boleh balik dan boleh dipanggil balik.

Malah ada roh-roh itu yang dijadikan pemujaan. Mereka menyembah roh dan meminta pertolongan daripada roh tersebut, termasuk menolong mengubat penyakit orang yang masih hidup.

Malah ada agama ciptaan manusia, yang menyembah roh, khususnya roh datuk nenek mereka.
Islam melarang perbuatan sedemikian. Hanya Allah sahaja yang disembah dan diminta pertolongan daripada-Nya.

Dalam Islam, bagi persoalan roh, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib melainkan pada Rasul yang diredhai sahaja yang mengetahui perkara ghaib.

Hal ini jelas pada firman-Nya (mafhumnya): "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (al-An`aam: 59)

Adapun manusia yang meninggal dunia, rohnya ditempatkan di alam roh atau alam al-barzakh. Terkurunglah roh itu di alam roh yang amat luas hingga ke hari dibangkitkan semula semua manusia di akhirat nanti.

Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat." (al-Mukminuun: 100)

Perjalanan hidup manusia adalah perjalanan yang boleh dikatakan jalan sehala.

Roh kita tidak boleh berpatah balik ke belakang. Daripada alam roh sebelum jasad manusia dijadikan, mereka tinggal di alam roh. Apabila saatnya roh dihantar ke alam dunia, roh berada di alam dunia dan tidak oleh balik ke alam sebelumnya.

Dan apabila mereka masuk ke kubur, roh berada di alam kubur dan tidak boleh balik di dunia. Di alam barzakh mereka tinggal sampai hari kiamat dan tidak boleh berpatah balik.

Istilah barzakh di dalam al-Quran bermaksud 'tembok penghalang' ataupun 'penghadang' daripada ditembusi.

Jika dipercayai bahawa roh manusia yang telah mati boleh balik dengan begitu mudah ke alam dunia dan yang dipanggil balik itu pula kadang-kadang roh orang Islam, kadang-kadang ada yang bukan Islam, semuanya boleh balik, maka seolah-olahnya tembok penghalang itu tidak wujud.

Dan dengannya juga apakah boleh dikaitkan tidak ada seksa kubur sementara dalam kubur, sesiapa pun boleh balik dengan mudah.

Pada kita, jika dipanggil balik itu orang kafir, maka bolehkah dia melepaskan diri daripada seksa kubur, atau keseksaan di alam barzakh? Jika boleh balik, mengapa mereka balik semula ke alam akhirat selepas pemujaan?

Maka jika ini sudah jadi amalan dan keyakinan, semua agama seolah-olahnya tidak betul. Seolah-olahnya Islam tidak betul kerana Islam mengatakan ada seksa kubur dan roh tidak boleh balik berdasarkan firman Allah dalam al-Quran.

Maka jika fahaman ini dipegang, maka akan rosak semua agama.

Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa amalan pemujaan roh tidak harus dilakukan. Amalan memanggil roh adalah karut.

Besar kemungkinan yang datang berinteraksi dengan kumpulan pemujaan tersebut, adalah makhluk-makhluk jahat dan kotor, makhluk halus yang terdiri daripada iblis, ifrit atau syaitan yang akan menyesatkan manusia.

Saya mendapat maklumat, bahawa ada sebuah sekolah di negara jiran, telah berlaku kegemparan kerana berlaku histeria yang amat dahsyat. Diketahui umum histeria itu berlaku setelah ada amalan atau praktis memanggil roh melalui spirit of the coin kerana mereka ingin bertanya roh itu, apakah soalan-soalan dalam peperiksaan yang mereka ingin memasukinya.

Hasil daripada pemujaan itu, berlaku histeria kepada salah seorang yang berada di situ akhirnya merebak dan berlaku kegemparan yang begitu dahsyat.

Oleh itu, seperti yang saya sebutkan bahawa yang datang dalam majlis pemujaan tersebut hanyalah terdiri daripada makhluk-makhluk jahat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

3 comments:

Nurfarahana Abdul Aziz said...

tak nak terjebak langsung dalam perkara2 macam ni...nanti seumur hidup mnyesal...

::nuRuLaDHar:: said...

teringat kes mase asrama dulu...ade membe main macam ni...takot!

abuikhwan said...

tak sempat nak main masa kat asrama dulu...

Post a Comment