Sahabat Sejati

Sunday, 28 September 2014

Spa semulajadi, hebat Penciptanya


Saya suka melihat pokok-pokok dan bukit bukau. Saya suka melepaskan pandangan kepada rimbunan hutan hijau di kejauhan. Ketika melihatnya saya terasa jiwa dan fikiran menjadi tenang. Menyedut nafas dalam-dalam dan menghembusnya dengan seribu kepuasan. Mungkin ia pelik bagi sesetengah orang, mungkin juga ia sesuatu yang biasa. Terpulang kepada siapa mahu menafsirkannya. 

Ketika zaman budak-budak dahulu, tidak sedikit pokok-pokok yang menjadi tempat saya melepaskan resah. Ia bagaikan spa semulajadi yang berkesan. Saya memanjat, dan biasanya saya akan memanjat terus ke pucuk yang paling tinggi. Menghirup udara segar, merenung panorama indah di kejauhan, berbalam-balam kehijauan bukit-bukau, gumpalan awan yang memutih bak kapas dan kawanan burung yang berterbangan. Selalu saya menjerit dari atas pokok kepada burung-burung agar membawa saya terbang bersama mereka. Biarpun jeritan saya tidak pernah bersahut, namun saya senang melakukannya. Akhirnya tanpa saya sedari, resah dan gelisah yang bersarang itu berlalu dengan sendiri. Hampir santak senja barulah saya pulang dengan seribu kepuasan. 

Teringat pula pengalaman sewaktu mendaki gunung Tahan beberapa ketika dahulu. Tatkala menjejak kaki di puncaknya, saya melihat sesuatu yang ajaib di hadapan anak mata. Hembusan angin sejuk menemani bersama gumpalan awan putih dan puncak hijau yang berbukit-bukit. Tidak berkedib kedua anak mata saya menikmati panorama yang sangat luar biasa itu. Saya terpegun, seolah-olah mahu melayangkan diri terbang jauh, kemudian hinggap di pepohon nan hijau sayup mata memandang. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut mengenai pohon-pohon. Semuanya sebagai tanda untuk kita berfikir dan mengambil pengajaran. Di antaranya Allah SWT berfirman: 
“Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Luqman: 27) 

Ayat ini menerangkan betapa luasnya ilmu pengetahuan milik Allah SWT. Tidak terjangkau difikiran seorang makhluk sebanyak mana ilmu Allah, bahkan diambil segala pohon dan lautan kemudian ditambah lagi dengan tujuh lautan, maka belum cukup untuk menulis keberadaan ilmu-Nya. 

Kita tidak berilmu. Hakikatnya kita menumpang sedikit ilmu yang dianugerahkan oleh-Nya. Ibarat selautan, maka tidak sampai setitis ilmu pengetahuan yang kita miliki. Hairan, bagaimana jika ada yang merasa sombong dan angkuh dengan ilmu yang dimiliki. Sepatutnya dengan apa yang dimiliki akan menjadikannya semakin tunduk dan bersyukur. Sesungguhnya ayat ini benar-benar memahamkan kita akan keagungan, kekuasaan dan sifat-sifat Allah SWT. 

Hebatnya ciptaan, hebat lagi Penciptanya 

 'Alhamdulillah, tenang masuk hutan'

Apakah yang dirasakan tatkala melihat ciptaan Allah yang hebat dan indah itu. Telah tundukkah hati kepada-Nya. Terasakah di dalam hati kerdil hamba menyaksikan luasnya bumi dan segala isinya. Awan yang tergantung dan langit yang terbentang. Cakarewala yang tidak mampu kita jangkakan penghujungnya. Apakah kita terpesona dengan segala hasil ciptaan-Nya sehingga melupakan kepada sang Pencipta. Seumpama kita menerima hadiah tetapi melupakan yang memberi hadiah tersebut. Hinggakan ucapan terima kasih pun tidak kita lafazkan. Maka, apakah yang mahu digelarkan kepada orang ini..? 

Kita diciptakan sebagai hamba yang semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Pencipta. Justeru, setiap kali melihat keindahan alam ini, hatta melihat kepada sempurnanya ciptaan diri kita maka pujilah Allah dan bersyukurlah di atas anugerah yang besar ini. 

“Dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan?” (az-Zariyat: 21)

4 comments:

paridah said...

assalam...subhanallah indahnya ciptaan Allah yg dpt dilihat dgn berada ditempat tinggi...wah ada pengalaman mendaki gunung tahan ya...kak setakat naik bt fraser jer n terpesona sekali melihat jaluran banjaran titiwangsa...sungguh sempurna kurniaan Allah utk hamba2-Nya.

Kakzakie said...

Nikmati semua ini bukan dgn mata semata-mata sebaliknya gunakan mata hati kita sama. Sungguh setiap kejadian Allah ada hikmah terindah utk kita nikmati. Subhanallah...

Lama sungguh akak tak jejak kaki ke hutan. Masa belajar dulu adalah. Tapi sekarang ni Gunung Ledang pun hutannya dah tak sesegar masa kakak belajar dulu bila baru-baru ini kakak bwa anak-anak mandi di airterjunnya...

Manusia juga yg merosakkan keindahan semua ini kan.

abuikhwan said...

kak paridah: subhanallah, memang indah. kadang-kadang kita sahaja yang gagal menghargai keindahan itu. apa pun pengalaman mendaki gunung tahan sesuatu yang tidak dilupakan akan keseronokannya itu..

abuikhwan said...

kakzakie: betul, kita sering terpesona dengan melihat kecantikan pada sesuatu, sedangkan mata hati sepatutnya melihat siapakah yang mencipta sesuatu yang cantik tersebut. tapi kita sering terlupa.

sama2lah kita menjaga alam ini...

Post a Comment