Sahabat Sejati

Wednesday 30 November 2011

Disebalik hijrah itu...


Melangkah kaki ke tahun baru umpama membuka buku catatan baru. Manakala buku catatan lama yang sarat terisi dengan aktiviti kehidupan selama setahun telah pun ditutup. Sebanyak mana amal yang dilakukan baik atau buruk, kita sendiri yang menilainya.

Berbahagialah mereka yang banyak melakukan kebajikan dan kerugian yang besar bagi mereka yang amal keburukannya melebihi kebajikan. Sedangkan semuanya akan dibuka kembali di hadapan Allah SWT untuk dihitung, apakah ganjaran yang selayaknya. Syurga atau neraka.

Tentunya di tahun baru ini pelbagai perancangan dan azam telah dibuat. Berjaya atau tidak azam itu bergantung kepada iktiar dan kesungguhan berserta dengan taqdir Allah SWT. Justeru berusaha dan berdoa agar setiap perancangan dikurniakan kejayaan.

Sambutan tahun baru hijrah ini amat besar maknanya. Pastinya ia sangat berbeza dengan tahun baru masihi. Tahun baru hijrah mengambil semangat roh penghijrahan junjungan mulia Rasulullah saw. Penghijrahan dari bumi kelahiran baginda, Makkah yang ketika itu pekat dengan kekufuran dan kemungkaran kepada satu kehidupan yang lebih bermakna, dibawah roh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kata Syeikh Dr Mustafa as-Siba’ei bahawa hijrah adalah antara peristiwa besar yang merubah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea hijrah ini tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini.

Sesungguhnya hijrah bukan sesuatu yang biasa-biasa, ia juga bukan peristiwa yang berlaku secara semberono. Ianya adalah perancangan rapi Allah SWT yang sarat dengan peristiwa-peristiwa penting, agar umat terkemudian dapat mengambil pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Kita boleh berfikir, Allah Maha Berkuasa menghijrahkan Rasulullah saw dengan mudah, tanpa perlu menghadapi 1000 kesusahan. Sebagaimana mudahnya Allah SWT memperjalankan Rasulullah saw dalam peristiwa Isra` dan Mikraj. Tetapi Allah SWT tidak menghendaki demikian, kerana perancangan Allah itu ada hikmah dan sebab-sebab yang memberikan pengajaran untuk dikaji oleh umat hari ini.

Tidak dinafikan, sememang Rasulullah mendapat perlindungan Allah, tetapi Rasulullah juga mendapat ancaman dari pemuka-pemuka Quraisy dan terpaksa menempuhnya dengan segala kepayahan. Begitu rapi perancangan para musuh untuk menghapuskan baginda seterusnya melenyapkan cahaya Islam yang bertapak, namun perancangan hijrah baginda yang diilhamkan oleh Allah SWT lebih tersusun dan terancang. Benar, mereka merancang, Allah jua merancang tetapi perancangan Allah adalah yang Maha Terbaik.

Mengapa Abu Bakar tidak Umar

Ketika Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, izinkan aku berhijrah.”

Jawab Rasulullah: “Silakan wahai Umar.”

Namun, tatkala Abu Bakar as-Siddiq memohon keizinan untuk berhijrah, Rasulullah menyatakan: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Allah belum memberikan keizinan untuk kita berhijrah.”

Umar al-Khattab setelah Rasulullah memberi keizinan kepadanya untuk berhijrah, beliau masuk ke Masjidil Haram lalu melakukan tawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah. Selesai bertawaf Umar al-Khattab bersembahyang sunat dua rakaat di belakang Makam Ibrahim. Kemudian beliau berdiri di pintu Kaabah dan berteriak:

“Wahai orang-orang Quraisy! Hari ni aku ingin berhijrah. Sesiapa yang mahu menyatimkan anaknya dan menjandakan isterinya, silalah tunggu aku di hujung kota!”

Jika difikirkan logik akal, alangkah baiknya jika Rasulullah berhijrah bersama Umar al-Khattab, tentu tiada siapa yang berani mengganggu Rasulullah.

Taqdir Ilahi, Abu Bakar yang menjadi teman hijrah Rasulullah.

Inilah pertanyaan yang dilontar oleh Syeikh Said Ramadan al-Buti di dalam tulisannya, mengapa Abu Bakar as-Siddiq yang dipilih untuk berhijrah bersama Rasulullah, dan bukannya Umar al-Khattab yang terkenal dengan kebengisannya.

Katanya, sesungguhnya Allah SWT mahu menyempurnakan ketauhidan Rasulullah iaitu dengan meletakkan segenap pergantungan dan harapan serta penyerahan hanyalah kepada-Nya semata-mata. Supaya nanti tidak ada orang akan berkata, Muhammad selamat berhijrah ke Madinah kerana ada Umar al-Khattab.

Ketika itu pergantungan bukan lagi kepada Allah tetapi kepada Umar al-Khattab.

Islam adalah wahyu

Sebenarnya proses penyempurnaan ketauhidan Rasulullah saw ini tidak bermula dengan peristiwa hijrah. Bapanya meninggal ketika baginda masih di dalam kandungan, supaya tidak ada orang akan berkata baginda belajar Islam dari bapanya. Selepas itu ketika berusia 6 tahun ibunya pula meninggal, supaya tidak ada orang akan berkata Muhammad belajar Islam dari ibunya. Kemudian baginda dijaga pula oleh datuknya, tetapi juga tidak lama ekoran kematian datuknya. Supaya tidak ada orang akan berkata baginda belajar Islam dari datuknya.

Selepas itu baginda dijaga pula oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Lama baginda dijaga oleh bapa saudaranya, tetapi Abu Thalib tidak memeluk Islam sehingga penghujung hayatnya. Hikmah Ilahi, supaya tidak ada orang yang akan berkata Muhammad belajar Islam dengan bapa saudaranya. Mana mungkin ada orang belajar Islam dengan orang yang tidak memeluk Islam.

Demikianlah sebaik-baik perancangan Allah SWT.

Sempena tahun baru Hijrah ini marilah kita semua mengambil sebanyak mungkin pengajaran darinya untuk dijadikan panduan dalam kehidupan hari ini. Mudah-mudahan kita semua menjadi umat yang berjaya di dunia, serta di akhirat kelak.

0 comments:

Post a Comment