Ingin rasanya saya membawa anak-anak meranduk anak sungai dan paya menerung, serta menyusuri belukar damai, agar mereka dapat merasai apa yang pernah saya kecapi suatu ketika dahulu.
Ingin rasanya saya mengulangi semua detik-detik kehidupan yang pernah saya lalui dulu, agar anak-anak tidak kehilangan semua itu. Tanpa gajet, PSP, iPod, facebook, IG, maupun Astro, kami masih mampu mencipta dunia kami, dunia yang suka dan gembira. Dunia yang bahagia. Apa yang tidak kedapatan pada hari ini. Hampir semuanya telah pupus ditelan arus masa.
Ya, sebahagiannya telah pupus tidak bersisa. Galah panjang, bedil buluh, bola geliga, senapang pelepah pisang, dan seribu macam permainan yang kami warisi daripada generasi terdahulu.
Damai desa
Petang yang mendamaikan, tatkala pulang ke desa tercinta. Hajat hati mahu membawa anak-anak menjengah ke seluruh pelusuk kampung, mudah-mudahan ada sesuatu yang dapat saya tunjukkan kepada mereka. Persekitaran yang pernah mewarnai kehidupan bapa mereka satu ketika dahulu.
Saya membawa keluarga menyusuri aspal hitam yang menganjur ke sebelah baruh. Ketrampilan jalan ini adalah warisan jalan yang lama. Tetapi watak dan peribadinya dan citra wajahnya sekarang sudah berubah. Terlalu ketara perubahannya. Dari sebatang jalan bertanah merah yang sepi dengan sesetengah permukaannya dilitupi rumput menjalar ke sebatang jalan yang berturap tar hitam dan agak sibuk.
Seekor burung bangau putih terbang lalu hinggap di pohon kelat berhampiran tatkala saya memberhentikan kenderaan di tepi paya yang sudah berkurang airnya. Kalau dulu seronok melihat burung-burung bangau terbang sambil melayang hinggap di belakang kerbau yang sedang berkubang. Kami apa kurangnya, sama naik berkubang dengan sang kerbau yang bersantai-santai damai di paya tersebut.
Kawanan bangan, sekarang yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Anehnya, entah ke mana pergi burung bangau putih yang sudah bergenerasi menghuni paya tersebut. Entah...
Kawanan bangan, sekarang yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Anehnya, entah ke mana pergi burung bangau putih yang sudah bergenerasi menghuni paya tersebut. Entah...
Saya tersenyum sendirian terkenangkan kisah lama sewaktu meranduk bersama rakan menangkap ikan laga atau lebih kami dikenali dengan panggilan ikan ‘sekilau’. Ataupun berlarian mengejar anak burung ruak-ruak yang berkaki panjang itu. Seronoknya, tanpa takut atau jeran dengan lintah ‘si penghisap darah’ yang juga banyak kedapatan di paya tersebut. Ah, bukan boleh kering pun darah dihisapnya.
Selagi matahari belum terbenam, selagi itulah kami menjelajah di sekitar paya dan semak samun. Walaupun tahu risiko balik lewat dengan badan dan pakaian yang comot. Kadang-kadang merasa juga sedas dua ‘roti panjang’ di betis hadiah dari emak. Hadiah dari sifat kasih sayang yang tidak pernah berkurang.
Saya meneruskan perjalanan, mencari secebis damai.
Terdetik juga hiba di hati tatkala merenung deretan rumah usang berhampiran paya tersebut, kosong tanpa penghuni. Saya merenung dari tebing seberang sini, fikiran ligat berputar memikirkan sesuatu.
Ohh..rupa-rupanya dulu ada jambatan kecil yang merintangi paya yang menjadi laluan utama penduduk kampung untuk ke ladang getah dan kebun sayur. Jambatan yang dibina hasil muafakat gotong-royong penduduk kampung.
Masih saya ingati, tua dan muda sama-sama membinanya. Yang perempuan pula menyediakan juadah makanan untuk mereka yang bekerja. Kami, budak-budak pun menyibuk sama. Bukan mahu menolong pun, tetapi lebih kepada menunggu waktu makan. Merasai keenakan bubur kacang, bubur pulut hitam serta kuih-muih hasil air tangan makcik-makcik dan nenek-nenek.
Kini, jambatan tersebut hanya tinggal tunggul reput yang masih terpacak sebatang dua.
Kini, jambatan tersebut hanya tinggal tunggul reput yang masih terpacak sebatang dua.
“Kat situ dulu ada satu alur sungai, jernih airnya. Kat hujungnya ada satu air terjun kecil. Abi selalu mandi dengan kawan-kawan,” saya cuba menggambarkan kepada anak-anak.
Anak-anak mengangguk.
“Dulu kawasan ini tempat abi bermain dengan kawan-kawan, dulu semuanya semak samun. Sekarang dah jadi taman perumahan,” saya menerangkan kepada anak-anak.
“Kat tepi pagar sebelah kedai tu, ada tiga batang pokok sentul. Besar dan tinggi, kalau tiba musim ia berbuah, penuh dengan buah.” Saya menerangkan satu persatu.
Ahh..andai mahu diceritakan keseronokkan di desa tercinta tidak akan habis dan tidak sesekali menjemukan. Kerana disitulah terletaknya kedamaian dan kebahagiaan.
Bagaimana mungkin titis hujan, liku alur, paya menerung dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Sedangkan saya lahir di alam begitu, membawa diri pulang ke asal, itulah kunci kebahagiaan yang sejati.
Ahh..andai mahu diceritakan keseronokkan di desa tercinta tidak akan habis dan tidak sesekali menjemukan. Kerana disitulah terletaknya kedamaian dan kebahagiaan.
Bagaimana mungkin titis hujan, liku alur, paya menerung dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Sedangkan saya lahir di alam begitu, membawa diri pulang ke asal, itulah kunci kebahagiaan yang sejati.
5 comments:
salam..
Sesungguhnya suasana kita membesar amat berbeza dgn anak2 skrg.. ya Allah rindu saat2 itu.. kg yg penuh kedamaian..bermain, berlari..bergaduh..
jika ada terowong masa.. pasti kita mau kembali ke zaman itu.:)
sangat indah zaman kanak2 kita berbanding anak2 zaman sekarang. Kita lebih dekat kepada kehijauan..lebih dekat kepada adab.. kuatkan kami ya Allah mendidik generasi sekarang sepertimana ibu bapa kami mendidik kami dahulu.
susah nak menceritakan kisah dunia permainan kita dulu pada anak, sudah terangkan pun mereka tak boleh nak paham... indahnya masa kita dulu, kehijauan, segar bau di waktu pagi di kampung. Dunia makin maju, semakin banyak yang perlu kita korbankan
Assalammualaikum ustaz..bertemu kembali kita..dah lama akak tak menyinggah di sini.
Kenangan masa zaman kanak2 memang indah sangat kan.Budak2 skg tak dapat lalui apa yg kita nikmati satu ketika itu.Andai ada terowong masa ....
zaman kita membesar memang berbeza dengan anak-anak. Anak-anak ammi tak tau pun apa itu GALAH PANJANG. hmmm
Post a Comment