Sahabat Sejati

Wednesday, 9 October 2019

Batuk pula 'bertamu..'

Sudah 2 minggu saya diserang batuk-batuk. Siang atau malam, tatkala ia menyerang, menyebabkan saya merasa sangat tidak selesa. Terutama ketika berada di khalayak ramai. 

Apabila tekak mula terasa gatal dan miang meremut, ketika itulah batuk menghambur bertalu-talu tanpa belas simpati. Oh, terasa aib sekali apabila banyak mata yang memandang. 

Biasanya saya diserang batuk dalam lima atau enam hari atau paling lama dalam seminggu, kemudian ia sembuh. Cukup dengan mengemam vitamin C atau ubat batuk berasaskan herba. Saya memilih ubat batuk berasaskan herba kerana ia tidak mendatangkan rasa mengantuk. 

Tetapi batuk kali ini berlainan benar. Degilnya bukan main. Dua minggu berlalu belum menampakkan tanda-tanda ia mahu kebah. Saya mencuba juga madu kelulut bersama limau nipis, namun tiada perubahan yang ketara. 

Saya membuat andaian batuk ini lambat sembuh kerana saya terlalu banyak menghabiskan masa di luar rumah. Ke sana dan ke sini dalam program dan aktiviti bersama Yayasan Amal Malaysia. Yalah, takkan nak berkurung di dalam rumah pula menunggu-nunggu batuk sembuh. Tak jadi kerja jawabnya. 

Saya juga membuat kesimpulan 'bencana' jerebu yang berlaku baru-baru ini turut memberi kesan, sedikit sebanyak menyumbang kepada lambatnya sembuh batuk yang dihidapi. Mungkinlah.. 

Mencuba petua sahabat 

"Anta campurkan sedikit serbuk kulit kayu manis dalam minuman anta." Saran sahabat saya, Ustaz Sardy sewaktu kami beriringan pulang dari surau usai sembahyang isyak. 

"Tak kisah air teh ke, kopi ke, semua boleh. Sekarang dah ada serbuk kulit kayu manis yang 'ready made', Tak perlu dah nak kisar sendiri." sambungnya lagi. 

Sahabat saya ini merupakan seorang pengamal perubatan Islam Darul Syifa yang telah diasaskan oleh almarhum Tuan Guru Dr Harun Din. Selalu sangat beliau dijemput untuk mengubati penyakit-penyakit yang bersangkut-paut dengan perkara mistik. 

Saya pula suka bertanya dan meminta nasihat berkenaan petua atau penawar penyakit. Sementelah lagi beliau tidak lokek untuk berkongsi pengetahuan mengenainya. 

"Untuk darah tinggi anta ambil akar daun sup dalam bilangan ganjil..." 

"Kalau sakit gigi, anta ambil serai kemudian layurkan pada api..." 

Alhamdulillah 

Setelah tiga kali mengamalkan petua yang sahabat saya sarankan. Bagaimana? Sembuh batuknya? Batuknya masih ada tetapi agak berkurangan sedikit. Tapi saya tidak berputus asa berikhtiar untuk mengubatinya. Allah yang menyembuhkan. Setakat ini petua kulit serbuk kulit kayu manis nampaknya serasi.

"Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit telah diubat dengan ubat yang tepat, maka akan sembuh dengan izin Allah." (Riwayat Muslim) 

Apa pun, pada hakikatnya setiap ujian dan musibah yang menimpa manusia datangnya daripada Allah SWT. Dia yang berkuasa menggenggam taqdir hidup manusia. Manusia disaran supaya berusaha, berikhtiar dan berdoa. Selebihnya menyerahkan keputusan yakni bertawakal kepada-Nya. 

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu.” (Yasin: 82)

11 comments:

Warisan Petani said...

Mudah2an beransur sembuh

Nor Azimah Ali said...

Batuk ni kalo time nak solat tu siksa, sbl solat takde la teruk, tapi tengah2 solat tu kadang sampai terpaksa batalkan solat.
Semoga beransur sembuh

norhidana said...

saya pun baru nk pulih dari batuk-batuk nih, penat betul bila terbatuk-batuk sampai terganggu tidur, moga ustaz cepat sembuh ya...

A m m i said...

good tips.
yg untuk darah tinggi tu akar daun sup tu dibuat camna?

abuikhwan said...

Akar daun sup dlm bilangan ganjil. Rebus 5 cawan air tinggalkan 4 cawan. Minum waktu pagi masa perut kosong dan sebelum tidur. Selawat dan doa khn kesembuhan..insyaAllah

abuikhwan said...

Betul tu kak, sama la spt yg saya hadapi.. Tapi tak la sampai batalkan solat hehe

abuikhwan said...

InsyaAllah, terima kasih atas doanya. Mmg terganggu tido memg tidak selesa.. Tp bersabar je la hehe

abuikhwan said...

Aminn, terima kasih atas doanya

abuikhwan said...
This comment has been removed by the author.
Sunah Sakura said...

subhanallah....mujarab sekali petuanya ya akhi...saya pun ada batuk yang dah lama tak hilang...tapi ia bukan berturutan..ada masanya saja ia akan datang, tapi bila ia datang kita dapat detect, kita cuba untuk tak batuk sebab perit betul rasanya batuk yang dalam dan menyesakkan dada...insya'Allah nak cuba juga petua ni nanti...nak cari serbuk kayu manis kat kedai...moga akhi juga cepat sembuh...ameen..

A m m i said...

terima kasih atas penjelasan

Post a Comment