Sahabat Sejati

Friday, 18 October 2019

'Persinggahan sementara'

foto hiasan ~ sumber

Persinggahan sementara, yang terbenam jasad di dalamnya. Tempat menunggu saat ditiupnya sangkakala, tempat menunggu hari kebangkitan dimana akan digiring menuju ke mahsyar di hadapan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tiada seorang pun yang mengetahui nasib mereka kecuali Dia. 

Persinggahan sementara, ialah satu lubang yang akan ditiduri setiap manusia. Ketika waktu untuk 'menuai' telah berakhir, ia menjadi penentu perhitungan hasil tuaian di atas perutnya. 

Persinggahan sementara, tidak terkecuali akan masuk ke dalam perutnya. Biarpun raja yang bercelana emas, pahlawan yang memikul pedang besi bersepuh, maupun pemimpin yang berbaju sutera. Si kaya yang diuliti kesibukan ataupun si miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hebatnya persinggahan sementara. 

Persinggahan sementara, di sini berkumpulnya amal yang dituai. Senyum tawa, ratap tangis dan jeritan. Di sini juga berkumpulnya kesombongan, angan-angan, ikhlas maupun riya`, kekaguman kepada keindahan dan kedudukan. Kebanggaan kepada keluarga, harta, pangkat dan segalanya. 

Persinggahan sementara, di sini juga tempat berakhirnya kesombongan, kemegahan, kehebatan akal dan tenaga. Di sini juga berakhir kezaliman dan yang dizalimi, penghinaan dan yang dihina. 

Persinggahan sementara, adalah lambang azab dan nikmat. Kerana ia boleh menjadi sebahagian taman-taman syurga atau boleh juga menjadi sebahagian dari lubang-lubang api neraka. 

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua sentiasa melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dan kita sentiasa menyiapkan bekalan untuk menghadapi saat yang pasti datang. 

Sesungguhnya di sisi Tuhan ada kenikmatan yang kekal. Di sisi-Nya juga ada azab kepedihan yang kekal.

2 comments:

A m m i said...

Allahuakbar..meremang pulak rasa baca posting kalini.

Warisan Petani said...

Semoga damai dan selesa tempat persinggahan sementara kita kelak.

Post a Comment