Soalan:
Adakah kita dibenarkan menyambut perayaan seperti Hari Ibu dan Hari Bapa? Jika boleh, apakah panduan untuk merayakannya?
Jawapan:
Jawapan:
Firman Allah SWT:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat."
(Surah al-Isra’: 23-25)
Ayat di atas menunjukkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya iaitu mendoakan kesejahteraan mereka, berbuat baik, memberi bantuan yang sewajarnya sebagai mengenang dan membalas jasa ibu bapa atas pengorbanan mereka yang tidak ternilai.
Berkenaan dengan sambutan Hari Bapa atau Hari Ibu, suka dinyatakan bahawa:
· Saya melihat isu seperti ini lebih kepada istilah sahaja di mana hakikat perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.
· Berkenaan dengan memuliakan ibu bapa, ia tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu. Malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Justeru, perayaan seperti ini lebih menghampiri pengaruh Barat yang terpaksa mewujudkan perayaan bagi menghormati ibu dan bapa. Sedangkan bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW, tanpa terikat dengan masa dan tempat.
Saya tidak menganggap bahawa merayakan Hari Ibu dan Hari Bapa sebagai perkara yang tidak dibolehkan. Tetapi hendaklah dengan menepati beberapa syarat:
· Menganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan buat mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut.
· Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja.
Sewajarnya seseorang Islam sentiasa menghormati ibubapa dan pada saat yang sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam.
3 comments:
saya setuju dengan ustaz, anggap hari itu satu hari yang lebih istimewa buat mereka... walaupun hakikatnya setiap hari mereka perlu di raikan
setuju :)
ia bukan perayaan.
tapi tak salah menyambutnya
Post a Comment