Sahabat Sejati

Wednesday 2 October 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (46)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (45) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 

 Bukit Safa (foto hiasan) ~ sumber

Seruan Dari Atas Bukit Safa

Setelah Nabi Muhammad yakin dengan janji Abu Talib untuk melindungi baginda ketika baginda berdakwah, maka suatu hari baginda berdiri di atas Bukit Safa. Baginda menjerit, "Hai saudara-saudaraku...!" Maka berkumpullah orang ramai daripada seluruh suku Quraisy di hadapan baginda. Baginda lantas mendakwah mereka untuk bertauhid, beriman terhadap risalah baginda serta beriman kepada hari kiamat.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan satu kisah daripada Ibnu Abbas, "Ketika turun ayat, 'Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara dekatmu,' Nabi segera naik ke atas Bukit Safa. Baginda lantas memanggil suku-suku Quraisy dengan lantang, 'Hai Bani Fihr! Bani Ady!' Akhirnya, mereka semua berkumpul di hadapan baginda. Jika ada yang berhalangan untuk hadir, maka dia akan mengutus wakil untuk mengetahui apa yang terjadi. Abu Lahab dan pembesar Quraisy turut hadir.

Baginda lalu bertanya kepada mereka, 'Bagaimana pendapat kamu jika kukhabarkan kepada kamu bahawa ada sepasukan berkuda di sebalik bukit ini yang hendak menyerang kamu, adakah kamu percaya padaku?' Orang ramai menjawab, 'Ya. Tidak pernah kami mendapati dirimu menipu.'

Maka baginda berkata lagi, 'Kalau begitu, sesungguhnya aku memperingatkan kamu akan datangnya azab yang keras.' Mendengarkan hal itu, Abu Lahab berkata dengan marah, 'Semoga kamu binasa sepanjang hari! Untuk inikah kamu mengumpulkan kami?'

Saat itulah turunnya wahyu, 'Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab!' Dan seterusnya hingga akhir surah."(1)

Sementara Imam Muslim juga meriwayatkan sisi lain daripada kisah ini yang dia ambil daripada pertuturan Abu Hurairah, "Ketika turun ayat, 'Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara terdekatmu,' Rasulullah saw menyeru orang ramai secara umum mahupun khusus, 'Hai orang Quraisy, selamatkanlah diri kamu daripada seksa neraka! Hai orang Bani Ka`ab, selamatkanlah diri kamu daripada seksa neraka! Hai Fatimah binti Muhammad, selamatkanlah dirimu daripada seksa neraka! Demi Allah, diriku ini tidak mempunyai kuasa sedikit pun untuk menyelamatkan kamu daripada seksa Allah, kecuali hanya sedikit syafaat untuk kamu selagi mana kamu menjaga tali persaudaraan denganku."(2)

Seruan lantang inilah tujuan daripada perintah ayat di atas. Rasulullah saw memperjelaskan kepada orang yang memiliki hubungan persaudaraan dengan baginda bahawa penerimaan terhadap risalah Islam adalah syarat tetap hidupnya hubungan persaudaraan antara baginda dengan mereka. Fanatisme persaudaraan (yang semata-mata berdasarkan hubungan darah) yang selama ini diusung oleh bangsa Arab, menjadi "meleleh di tengah panasnya" seruan yang baginda bawakan.  

Rujukan: 

(1) Sahih al-Bukhari, jil. ii, hal. 702, 743. Riwayat dengan sedikit perbezaan lafaz terdapat dalam Sahih Muslim, jil. i, hal. 114

(2) Sahih Muslim, jil. i, hal. 114; Sahih al-Bukhari, jil. i, hal. 385 dan jil. ii, hal. 702; juga Muhammad bin Abdullah al-Tabrizy, Misykah al-Masabih, jil.ii, hal. 460

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

5 comments:

paridah said...

Assalan moga ustaz n keluarga sihat sejahtera...perkongsian ilmu yg bermanfaat...terima kasih ustaz

A m m i said...

terima kasih di atas perkongsian..

saniahibrahim said...

Assalammualaikum ustaz
terima kasih berkongsi ilmu.Tak puas rasanya membaca sirah seterusnya.

Nor Azimah Ali said...

Assalamualaikum wrm wbr.
Kisah2 Rasulullah yg tidak jemu dibaca walau berulang kali, moga menambah rasa cinta kita kpd baginda.

AtieYusof said...

Salam ustaz.. terima kasih atas perkongsian ini.. rindu nak baca kisah2 Rasulullah..

Post a Comment