Sahabat Sejati

Tuesday 26 March 2019

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (45)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (44) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

Menyeru Saudara

Tindakan pertama yang dilakukan oleh Rasulullah saw setelah turunnya ayat tersebut (as-Syu'ara': 214) ialah memanggil Bani Hasyim. Mereka pun datang berkumpul memenuhi panggilan itu tetapi Bani Mutalib bin Abd Manaf juga turut datang sehingga jumlah mereka yang hadir adalah kira-kira 45 orang.

Sebelum Nabi Muhammad bercakap, Abu Lahab telah mendahului, "Mereka (kalangan Bani Mutalib) adalah bapa-bapa saudaramu dan juga sepupu-sepupumu, Maka, bercakaplah apa yang kamu mahu dan jangan bersikap seperti kanak-kanak. Ketahuilah bahawa kaummu (Bani Hasyim) tidak mempunyai kekuatan di hadapan bangsa Arab. Aku orang yang paling berkewajipan untuk menegurmu dan yang akan ada di belakangmu (membelamu) nanti hanyalah Bani ayahmu (Bani Hasyim).

Jika kamu tetap pada apa yang telah kamu lakukan, (mengembangkan Islam dengan sembunyi-sembunyi) maka itu lebih mudah bagi mereka untuk membelamu dibandingkan ketika kamu dimusuhi oleh seluruh suku Quraisy dan ditambah lagi seluruh bangsa Arab (kerana mengembangkan Islam secara terang-terangan). Sebabnya, aku belum pernah menemui seorang pun yang datang kepada keluarga keturunan ayahnya dengan membawa sesuatu yang lebih buruk daripada apa yang kamu bawa ini." Rasulullah saw hanya diam, tidak bercakap sepatah kata pun pada waktu itu.

Di kesempatan berikutnya, Rasulullah saw mengundang mereka berkumpul untuk kali keduanya. Kali ini Rasulullah saw bercakap kepada mereka, "Segala puji bagi Allah. Aku memuji dan memohon pertolongan-Nya. Aku beriman dan bertawakal kepada-Nya. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu bagi-Nya."

Kemudian baginda meneruskan, "Seorang penunjuk jalan tidak akan membohongi keluarganya. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu secara khusus dan kepada manusia secara umum. Demi Allah kamu pasti akan mati sebagaimana kamu tidur. Kamu pasti akan dibangkitkan seperti kamu bangun tidur. Kamu pasti dihisab atas apa yang kamu lakukan. Kesudahannya adalah syurga selamanya atau neraka selamanya."

Abu Talib membala, "Kami gembira untuk menolongmu. Kami menerima nasihatmu dan kami sangat percaya kata-katamu. Inilah keluarga keturunan ayahmu telah berkumpul. Aku salah seorang antara mereka. Hanya akulah orang yang paling cepat melakukan apa yang kamu suka. Maka teruskanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan melindungimu. Namun begitu, jiwaku tetap tidak mengizinkanku untuk meninggalkan agama Abdul Mutalib."

Abu Jahal berkata, "Demi Allah, ini benar-benar buruk. Ambillah tindakan terhadapnya sebelum orang lain melakukannya."

Abu Talib membalas, " Demi Allah, selama kami masih hidup, kami akan tetap melindunginya."(1)

Rujukan: 

(1) Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 77-78

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

2 comments:

saniahibrahim said...

Assalammualaikum ustaz
seronok baca sirah nabi...yg banyak lgi yg belum akak ketahui

paridah said...

Assalam moga ustaz n keluarga sihat sejahtera...perkongsian sirah nabi yg sgt bermanfaat Alhamdulillah tksh.

Post a Comment