Sahabat Sejati

Monday, 11 November 2013

Khatam al-Quran bukan khatam selama-lamanya, ingatan buat diri


“Tahniah acik sebab dah khatam al-Quran,” saya mengucapkan tahniah usai majlis penyerahan sijil khatam al-Quran siang tadi. Kafa at-Taqwa dipenuhi dengan ibu bapa dan para pelajar.

Hari ini saya mengosongkan jadual semata-mata mahu meraikan majlis ini. Sama seperti tahun-tahun yang sudah meraikan majlis khatam al-Quran abang dan kakaknya. Saya sendiri sudah berazam untuk tidak gagal menghadiri apa sahaja acara sekolah anak-anak. Saya tahu betapa besarnya majlis ini kepada mereka. Saya mencuba semampu yang mungkin.

Kadang-kadang ada juga rasa terkilan kerana memikirkan betapa saya kurang dapat memberikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak dek sibuk dengan tugasan yang bertali arus. Saya membaca, Stephen Covey yang beranak sembilan itu pun tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab dalam hal ini. Tinggal di negara sepesat dan sesibuk US tentu ia bukanlah suatu yang mudah dilakukan. Namun beliau berjaya melakukannya.

“Khatam maknanya tamat. Jadi, acik dah tamat baca dari muka surat pertama sampai muka surat terakhir. Tapi khatam bukan bermakna dah tak payah baca, al-Quran kena baca selalu.” Uminya pula menambah.

Anak ketiga saya itu tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

“Betul tu, tiap-tiap hari kena baca al-Quran. Bukannya dah tamat baca, maka tamatlah untuk selama-lamanya.” Saya menyambung, menjelaskan agar tidak tersilap pemahamannya.

Tidak maksudkan sesiapa  tetapi ingatan buat diri

Allah SWT telah mengurniakan nikmat kepada para hamba-Nya dengan menurunkan satu kitab yang tiada sebarang kebatilan baik dahulu maupun sekarang. Di dalamnya terkandung panduan-panduan pemisah di antara yang halal dan yang haram. Fungsinya sebagai cahaya petunjuk, maka barangsiapa yang berpegang teguh dengannya, akan selamatlah di dunia dan akhirat.

Salah satu sebab terjaganya al-Quran di dalam hati dan mushaf, ialah dengan melazimi dan mengekalkan pembacaannya.

Al-Quran bererti “baca”. Qurani bererti “baca”, qoro-a baca, “yaqro-u” bererti baca terus-menerus, “Quraanan” bererti bacaan. Apabila Allah SWT menurunkan sebuah kitab namanya “Quran” yang bererti baca, tiba-tiba ia terbiar di dalam almari tanpa dibaca, seolah-olah “Quran” yang tidak “Quran” (bacaan yang tidak dibaca).

Seolah-olah, setelah khatam maka ia adalah khatam yang selama-lamanya. Al-quran tersimpan rapi di dalam almari. Jika dibuka pun apabila tiba bulan Ramadhan, selepas itu disimpan kembali. Ataupun al-Quran menjadi warisan apabila ada anak-anaknya yang akan mula belajar mengaji. Inilah penyakit yang tidak diketahui sejak bilakah ia bermula.

Saya suka membaca kisah orang-orang yang bertaubat kembali ke pangkal jalan. Saya mengambilnya sebagai satu teladan hidup. Seringkali mereka berkata di akhir penyesalan mereka:

“Sudah lama saya tidak membaca al-Quran..."

“Dulu semasa kecil saya sering berulang-alik ke rumah tuan guru belajar mengaji tetapi...”

Saya tidak maksudkan kepada sesiapa, jauh sekali menuding jari kepada mana-mana individu. Perkataan saya secara umum. Peringatannya lebih menjurus kepada diri saya. Realitinya ada yang begitu. Moga dilindungkan daripada penyakit yang sebegini.

Tahniah acik kerana dapat tafsir al-Quran dan kain telekung sebagai hadiah.

0 comments:

Post a Comment