Sahabat Sejati

Friday, 22 November 2013

Hari Jumaat, jadilah ahlinya

Sembahyang Jumaat merupakan sembahyang yang disyariatkan oleh Allah dan dituntut ke atas setiap mukmin. Ia dikerjakan pada hari Jumaat yang juga merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah SWT. Inilah di antara kelebihan yang diberikan secara khusus kepada umat Nabi Muhammad saw. yang mana ia tidak diberikan kepada mana-mana umat terdahulu.

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa dia telah mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kita adalah umat yang akhir wujud di dunia ini dan umat yang pertama (mendapat kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat, sekalipun mereka lebih dahulu diberikan al-Kitab (syariat samawi) daripada kita. Kemudiannya, hari ini (Jumaat) adalah hari yang ditetapkan (diberi pilihan) kepada mereka (untuk mendekatkan diri kepada Allah), tetapi mereka berselisih padanya (tidak mahu menerimanya) lalu Allah memberi petunjuk kepada kita (agar menerima hari tersebut). Hari bagi Yahudi adalah esok (Sabtu) dan bagi Nasrani pada hari selepas esok (Ahad).” (al-Bukhari: 836, Muslim: 855)

Sembahyang Jumaat telah difardhukan di Mekah sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Walau bagaimanapun ia tidak dapat didirikan di Mekah disebabkan orang-orang Islam masih lemah dan ketidakmampuan mereka untuk berhimpun bagi mendirikannya pada ketika itu. Orang pertama yang telah menghimpunkan orang ramai untuk menunaikan sembahyang Jumaat di Madinah, sebelum Nabi berhijrah ialah As`ad bin Zurarah ra. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud (1069) dan lainnya daripada Ka`ab bin Malik.

Di antara dalil yang menunjukkan bahawa sembahyang Jumaat disyariatkan dan diwajibkan ialah berdasarkan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkan berjual beli, yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Jumuah: 9)

Menjadi ahli Jumaat 

Pada hari kebangkitan semula di mahsyar kelak, bukan manusia sahaja yang akan dibangkitkan malah hari-hari yang wujud di dunia juga akan dibangkitkan semula. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari ra. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan semula hari-hari di akhirat kelak mengikut keadaan hari di dunia, dalam kebanyakan hari hanya hari Jumaat yang paling istimewa. Ia akan dibangkitkan dalam suasana warna-warni dan berseri-seri, adapun orang-orang yang menjadi ahli Jumaat, di akhirat kelak akan memeriahkan hari tersebut.”

Islam telah mengiktiraf hari Jumaat sebagai penghulu kepada sekelian hari. Hari Jumaat mempunyai berbagai-bagai keistimewaan dan menjadi keutamaan kepada orang-orang yang beriman. Mereka akan mengambil peluang dengan keistimewaannya dan mengisi dengan amal dan perkara-perkara yang dikehendaki Allah SWT.

Ahli Jumaat ialah mereka yang membesarkan hari tersebut lebih daripada hari-hari lain. Mereka membuat persiapan seawal pagi untuk menunaikan sembahyang Jumaat dengan mandi sunat, memotong kuku, memakai pakaian yang sesuai serta bau-bauan yang harum, banyak bersedekah serta berselawat kepada Rasulullah saw.

Dari Salman Al-Farisi ra. mengatakan bahawa Nabi saw. bersabda:
“Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau mengoleskan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia mendirikan solat yang sesuai dengan tuntunannya, lalu diam mendengarkan (dengan saksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (dosa-dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (Riwayat Bukhari)

Kita dituntut memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah saw, terutama pada hari Jumaat. Ini kerana pada hari tersebut Allah SWT telah mengutuskan para malaikat khusus bagi menghimpunkan amalan selawat itu.

Berselawat adalah di antara bukti kasih kepada Rasulullah saw. Malahan Allah SWT dan para malaikat-Nya juga turut berselawat ke atas Nabi saw. Orang yang tidak mahu berselawat ke atas Nabi dianggap orang yang bakhil. Berselawat bukanlah sesuatu yang sukar, tidak perlu mengeluarkan tenaga yang banyak, memadai dengan hanya menggerakkan kedua-dua bibir. Jika ini pun payah hendak dilakukan maka tiadalah sebarang bukti kasih seorang yang mengaku umat Nabi Muhammad saw.

Walau bagaimanapun, berselawat sahaja tidak memadai. Mereka perlu membuktikannya pula dengan perbuatan, iaitu dengan melaksana dan memperjuangkan sunnah dan segala ajarannya. Sesungguhnya orang-orang yang bergelar ahli Jumaat akan mendapat keistimewaan di akhirat kelak. Apabila hari Jumaat dibangkit semula, ia dalam keadaan suasana yang berseri, bercahaya. Ketika itu ahli Jumaat akan keriangan di perhimpunan hari Jumaat yang dibangkitkan semula itu.

Ada juga orang yang tidak merasakan sesuatu kelebihan terhadap hari Jumaat. Mereka membuat persiapan untuk menyambutnya. Ada yang pergi sembahyang Jumaat di penghujung waktu, masih meneruskan kegiatan jual beli meskipun azan Jumaat telah pun berkumandang. Berborak di luar masjid sambil merokok ketika khatib sedang berkhutbah. Ada pula yang langsung tidak menunaikan sembahyang Jumaat. Malahan lebih teruk lagi jika ada yang tidak bersetuju atau membantah sekerasnya cuti minggu ditukar dari hari Ahad kepada hari Jumaat. Mereka menganggap sama sahaja hari Jumaat dengan hari yang lain.

Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir ra. berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

0 comments:

Post a Comment