Sahabat Sejati

Monday, 30 April 2012

Sebentar di KLIBF 2012


Sebelum meninggalkan ibukota ‘cinta’ Kuala Lumpur, sempat saya singgah sebentar di Pesta Buku Antarabangsa 2012 (KLIBF 2012) yang berlangsung di bangunan PWTC.

Wah, cukup teruja dan mengasyikkan. Pertama kali mengunjungi KLIBF dan pertama kali juga ke PWTC, pelbagai rasa yang menyelinap.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada penganjur iaitu MAJLIS BUKU KEBANGSAAN MALAYSIA (MBKM), KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA. (kalaulah dapat dialihkan ke Kuantan, kan ke bagus)

Kelabu mata saya melihat lambakan buku-buku yang memenuhi ruang pameran, begitu juga dengan harga yang ditawarkan. Amat istimewa! Terasa mahu memborong sahaja buku-buku yang ada di situ.

Dalam beringat, hampir RM200 juga telah saya belanjakan untuk membeli buku-buku yang dipilih. Itu pun dalam beringat, kalau tak beringat rasanya tak balik ke Kuantan agaknya... (Entahlah, mengapa saya terlalu lemah di hadapan kedai buku. Penyakit lama sejak di zaman belajar. ‘Tersungkur saya di pintunya’).

Teringat coretan saya yang lalu: “Entah mengapa saya sangat teruja dengan buku. Dua tempat yang saya baca Au`udzubillah, iaitu ketika memasuki tandas dan KEDAI BUKU, kerana ketika keluar dari KEDAI BUKU saya jadi manusia fakir tetapi penuh kepuasan dengan buku yang dibeli.”

Itulah realitinya.

Namun, saya tidaklah kisah untuk berbelanja ‘lebih sedikit’ kerana setiap sen yang dilaburkan adalah dengan niat untuk mencari ilmu, kebaikan, motivasi, panduan dan sebagainya. Dan saya yakin ia memang berbaloi dalam mencari erti hidup agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Akhirnya saya melangkah keluar dari bangunan PWTC dengan poket yang faqir tetapi hati yang kembang berbunga seribu kepuasan, bersama susunan buku yang telah saya beli. Bila agaknya dapat menghadam kesemuanya, jangan sampai jadi keldai dah la...

"Perbandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." (Al-Jumu’ah : 5)

Pastikan sahabat sekelian tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi KLIBF 2012. Masih ada masa lagi untuk ke sana!

4 comments:

Jey Luqman said...

ana dan pasang niat je nk ke sana.. xsempat nk singgah..

abuikhwan said...

niat yang baik untuk menuju ke tempat yang baik, dah ada pahala...

subuhmenjelma said...

baru "dating" dengan ayahnda tercinta semalam ke pwtc. habis seratus lebih duit. teruja sangat tengok lambakan buku-buku. rasa macam nak beli semua je.. <3

betul cakap akhi "melangkah keluar dari bangunan PWTC dengan poket yang faqir tetapi hati yang kembang berbunga seribu kepuasan.." ^___^

abuikhwan said...

Alhamdulillah, pelaburan yang tidak sia-sia...

Post a Comment