Sahabat Sejati

Monday, 23 April 2012

Cetusan rasa: Sebarkan kasih sayang, nescaya akan disayangi


Kata orang, kasih sayang adalah ramuan utama resepi hidup untuk hati menikmati kebahagiaan.

Indah sekali kata-kata ini, tidak mampu untuk saya menolak kebenarannya.

Bayangkan jika ibu bapa tiada perasaan kasih kepada anak-anak, suami tidak mengasihi isteri, begitu juga sebaliknya. Orang tua tiada kasih kepada orang muda dan sesama sahabat tiada perasaan kasih sayang. Begitu juga jika pemimpin tiada kasih sayang kepada rakyatnya. Malah kasih sayang kepada haiwan dan alam sekitar juga mempunyai cara yang tersendiri. Bolehkah anda bayangkan apa yang akan terjadi kepada dunia ini andai tiada kasih sayang.

Hancur...

Rosak binasa...

Yang pastinya tiada kebahagiaan.

Sememangnya manusia amat memerlukan kasih sayang. Kerana hati manusia diciptakan dengan penuh sifat kebaikan termasuk kasih sayang. Apabila kasih sayang berkurangan maka akan timbullah penyakit keras hati, kebencian, iri hati dan berbagai-bagai lagi penyakit emosi yang negatif.

Berkata seorang ahli hikmah: “Kita dapat mengubati penyakit fizikal dengan ubat-ubatan, tetapi satu-satunya ubat untuk kesepian, keputus asaan dan hilangnya harapan adalah kasih sayang. Ramai di dunia ini yang mati kerana kurang makan tetapi lebih ramai yang mati kerana haus kasih sayang.”

Bagaimana pula jika tiada kasih sayang Tuhan kepada para hamba-Nya? Tidak terfikir dahsyatnya keadaan itu jika ia berlaku.

Sesungguhnya Allah adalah sumber kasih sayang. Dia adalah ar-Rahman dan ar-Rahim, iaitu Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasih sayang-Nya tidak berpenghujung, tidak bertepi dan tidak terjangkau, serta tidak pernah habis atau berkurang.

Kasih sayang-Nya meliputi dan melimpah-ruah kepada sekecil-kecil makhluk sehinggalah kepada makhluk yang sebaik-baik ciptaan iaitu manusia. Semuanya mendapat manfaat dari kurnia kasih sayang-Nya itu.

 Hayati satu cerita.

Suatu ketika Siti Aisyah rha. menceritakan kepada Rasulullah saw sebuah peristiwa yang baru dilihatnya mengenai seorang ibu dengan dua anaknya yang sedang kelaparan. Seorang yang bersimpati memberikan tiga potong roti kepada keluarga tersebut. Si ibu memberikan seorang sekeping kepada anak-anaknya dan sekeping untuk dirinya yang juga lapar. Kerana kelaparan si anak dengan cepat menghabiskan roti masing-masing. Atas belah kasih sayang sebagai seorang ibu, dia tidak sampai hati memakan roti yang dihajatkan untuk dirinya, lalu roti yang sekeping itu dibelah dua dan diberikan kepada anak-anaknya. Si ibu sanggup kelaparan demi anak-anaknya. Setelah mendengar cerita Aisyah, Rasulullah saw bersabda: “Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya melebihi kasih sayang ibu itu.”

Untuk merasakan kehadiran kasih sayang Allah, lihatlah pada nikmat yang diberikannya. Terlalu banyak nikmat yang bermacam-macam aneka rupa bentuknya. Usahlah menghitungnya kerana kita pasti tidak akan dapat menghitung betapa banyaknya. Sebagaimana firman-Nya:

 وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَةَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ اللّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Dan jika kamu menghitung-hitung ni'mat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (an-Nahl: 18)

Dengan kasih sayang Allah SWT, diutuskan Rasulullah saw sebagai rahmat kepada seluruh alam. Rasulullah diutuskan untuk memberi panduan dan mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada sinar cahaya hidayah. Tanpa diutuskan Rasulullah bagaimanakah keadaan kita. Mungkin masih berada di dalam kesesatan jahiliah.

Kadang-kadang, kita tidak menyedari akan kasih sayang Allah SWT. Mengapa boleh terjadi begitu? Ya, kita sering silau dengan suluhan kasih sesama manusia sehingga kasih sayang-Nya menjadi sirna. Sedangkan kita dihidupkan juga adalah dengan kasih sayang-Nya. Seringkali pula kita tersilap dalam menikmati kasih sayang Allah SWT sehingga sanggup menindas dan menzalimi orang lain. Dengan pangkat, harta dan pengaruh yang dianugerahkan-Nya kita bebas melakukan apa sahaja, bertindak dengan sesuka hati dan sebagainya.

Kita mungkin terlupa bahawa kasih sayang yang dianugerahkan-Nya, adalah supaya kita menebarkan pula kasih sayang tersebut sesama manusia dan seluruh alam ini.

Oleh itu, marilah kita melihat dengan sejujurnya bagaimana cinta dan kasih sayang Allah SWT kepada kita. Dia yang tidak pernah melupakan kita dan sentiasa memberikan rahmat dan nikmat-Nya. Maka, rasailah di dalam diri. Insya-Allah, pasti tidak akan berhenti rasa syukur yang dilafazkan.

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: “Jikalau Allah SWT itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril dan memberitahu bahawa Allah mencintai si fulan, maka cintailah si fulan (wahai Jibril). Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang seluruh penghuni langit dan memberitahu Allah mencintai si fulan, maka cintailah si fulan itu. Para penghuni langit pun mencintainya. Setelah itu, diletakkan kecintaan padanya di kalangan penghuni bumi.” (Muttafa` Alaihi) 

Sebarkan kasih sayang sesama manusia agar kita turut menerima kasih sayang dari-Nya!

0 comments:

Post a Comment