Sebelum meninggalkan pusat bandar, saya singgah sebentar di pasaraya. Hajat di hati ingin membeli sedikit barangan keperluan. Sewaktu menyorong troli di bahagian minuman sejuk, saya disapa oleh seorang jurujual disitu, rupa-rupanya beliau ingin mempromosi minuman susu kultur keluaran syarikatnya.
“Encik, nak beli minuman. Saya cadangkan yang ini, cubalah dulu. Ini perisa baru.” Katanya dengan muka yang manis, sambil menyuakan minuman di dalam cawan kecil.
“Tak apalah, saya nak pergi ke bahagian sana. Nanti kalau saya nak beli saya datang ambil,” saya membalas dengan baik.
“Ambillah rasa, ini percuma,” katanya lagi sedikit mendesak.
“Tak apalah,” saya cuba mengelak.
Rasa terganggu.
Tentu anda juga pernah mengalami pengalaman yang sama.
Cerita jurujual barangan
Perkara biasa, jika anda berkunjung ke pasaraya atau pusat membeli-belah tentu anda akan melihat pekerjanya yang bertugas sebagai jurujual. Tidak kira di bahagian mana, baik barangan kecantikan, makanan atau pakaian. Anda perhatikan, mereka akan mempromosikan barangannya agar dibeli oleh pengunjung.
Contohnya, anda lihat seorang penjual barangan kesihatan. Tugasnya ialah memastikan barang jualan dibeli orang. Itu yang sentiasa bermain difikirannya. Bagaimana mahu melariskan jualan? Apa yang akan dilakukan untuk menarik minat orang ramai? Tentunya dia mempunyai strategi yang terbaik dan menggunakan kaedah-kaedah promosi yang sewajarnya. Semestinya dia akan menerangkan kelebihan barangan serta manfaat-manfaat yang diperolehi sekiranya diamalkan memakannya.
Bukankah begitu?
Seterusnya, dia juga akan menerangkan dengan panjang lebar khasiat dan kebaikannya tanpa tinggal walau sedikit pun. Pastinya dia akan bersungguh-sungguh meyakinkan dan menimbulkan keghairahan orang ramai untuk membeli barangan yang ditawarkan. Di dalam kepalanya memikirkan, sudah menjadi tabiat manusia suka mendengar kepada kelebihan dan keistimewaan sesuatu. Lalu, dipancing minat mereka sehingga berjaya.
Apabila sudah berjaya menimbulkan keghairahan dan minat ke dalam hati pembeli, sudah tentu barang jualannya akan habis terjual. Setelah itu jurujual tersebut akan menerima bayaran sebagai upah di atas penat-lelahnya melariskan jualan. Begitulah keesokan harinya serta hari-hari yang seterusnya. Maka selesailah tugasnya sebagai seorang jurujual barangan kesihatan.
Anda ‘jurujual’ kebaikan
Saya terfikir tugas jurujual itu hampir sama dengan tugas seorang pendakwah. Walaupun berbeza produk tetapi kita mempunyai tujuan yang sama iaitu melariskan ‘jualan’ masing-masing. Tetapi ‘jualan’ kita bukan berbentuk barangan tetapi kebaikan.
Anda seorang pendakwah. Tugas anda ialah mengajak manusia seluruhnya ke arah kebaikan dan meninggalkan keburukan. Anda tahu kebaikan itu perlu diusahakan dan disebarkan manakala keburukan itu perlu dihentikan. Dan anda benar-benar mahu melaksanakannya.
Kenapa?
Kerana anda yakin setiap kebaikan yang anda lakukan akan mendapat upah, biar sekecil manapun kebaikan itu. Upah yang diterima bukan berupa wang ringgit tetapi pahala daripada-Nya. Dan ianya tidak diperolehi sekarang ini, tetapi di akhirat kelak, saat pertemuan dengan-Nya. Ketika itu seribu satu nikmat yang tidak terperi.
Letih dan kepenatan sudah semestinya, namun anda tidak hiraukan kerana sudah terpancing dan merasa ghairah dengan balasan-Nya itu.
Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita; sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan mencegah dari kemungkaran dan mereka mendirikan solat.” (at-Taubah: 71)
Tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah, anda perlu bersedia dari segi mental dan fizikal serta berstrategi dalam mendepaninya. Anda memerlukan kaedah-kaedah yang sesuai dengan realiti semasa, kerana anda tahu mad`u itu berbeza-beza.
Kadang-kadang kerana kaedah dan pendekatan yang tidak sesuai akan menyebabkan orang ramai akan lari dari anda. Ada keadaan yang memerlukan kelembutan, ada situasi yang perlu berkeras, ada yang perlu dengan penyampaian yang mencuit hati, ada yang perlu interaksi secara dua hala dan berbagai-bagai cara lagi. Itu semua telah anda fahami dan sentiasa diingati selarutnya.
Namun sebagai jurujual kebaikan, anda tetap mendapat keuntungan walau tiada siapa yang mahu ‘membelinya’. Jika tidak keuntungan di dunia ini, di akhirat sudah pasti ada upah yang akan diperolehi. Mengapa? Kerana setiap kebaikan itu pasti ada ganjarannya, biar sekecil mana pun. Maka jangan menganggap remeh sesuatu kebaikan biarpun manusia di sekeliling melihatnya terlalu kecil.
Oleh itu, usahakanlah dakwah dengan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran menurut kemampuan yang ada. Pasti beruntung.
Firman Allah SWT:
“Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula) karena Allah akan memberi balasan kepada mereka yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (at-Taubah: 121)
Akhirnya...
“Bagaimana encik? Boleh ye...” kata jurujual tersebut, masih lagi tidak berputus asa untuk memujuk.
“Err... oklah...” saya menjawab ringkas semata-mata untuk menamatkan sketsa pendek di situ.
Akhirnya ‘terbeli’ juga.
0 comments:
Post a Comment