Sahabat Sejati

Tuesday, 24 April 2012

Mari bersyukur

Dimulakan dengan satu cerita.

Seorang alim yang baru sahaja turun dari masjid setelah solat berjemaah, terpandang seorang lelaki yang sedang marah-marah di tangga masjid. Si alim terus menghampirinya dan bertanyakan perilakunya itu.

“Macamana saya tidak marah. Kasut yang baru saja saya beli, telah hilang dari tempatnya ketika saya solat tadi,” jawab lelaki itu dengan suara yang keras.

“Kamu seharusnya bersyukur dengan kehilangan kasut itu,” nasihat si alim.

“Kenapa pula begitu?” Tanya lelaki tersebut kehairanan.

“Kerana kamu masih mempunyai kaki!”

Mari bersyukur kerana nikmat-Nya

Allah SWT menjadikan seluruh alam semesta ini. Dia juga yang melimpahkan segala jenis nikmat buat para hamba-Nya. Nikmat yang dikurniakan terbahagi kepada dua iaitu nikmat lahiriah dan nikmat maknawiyah. Adapun nikmat lahiriah ialah anggota tubuh, makan dan minum, kesihatan, kepandaian, kekuasaan, pengaruh dan sebagainya. Manakala nikmat maknawiyah ialah iman, taqwa, akal, kasih sayang, kebahagiaan dan lain-lain lagi.

Dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya ini, maka wajiblah kita mensyukurinya.

Apakah makna syukur?

Syukur ialah rasa terima kasih, mengakui dan memuji Allah SWT atas nikmat yang diberi dan menggunakan nikmat yang diperolehi itu bagi mentaati Allah dan menjauhi perbuatan maksiat serta berbuat kebajikan sesama manusia.

Menurut Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, syukur itu tersusun daripada tiga perkara iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmunya ialah dengan menyedari bahawa nikmat yang diperolehinya itu semata-mata dari Allah yang Maha Pemberi nikmat. Keadaannya ialah menyatakan kegembiraan yang timbul dengan sebab memperolehi nikmat tersebut, manakala amalannya ialah menunaikan sesuatu yang sudah pasti menjadi tujuan serta dicintai dan diredhai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya seseorang itu belum dinamakan bersyukur kepada Allah, melainkan apabila nikmat yang diperolehinya digunakan untuk keredhaan Allah SWT. Nikmat yang digunakan bukanlah semata-mata manfaat untuk Allah tetapi untuk manfaat hamba-hamba-Nya jua.

Al-Junaid berkata: “Ketika saya baru berusia 7 tahun hadir dalam majlis Assariyussaqathi, tiba-tiba saya ditanya: Apakah erti syukur? Jawabku: “Syukur ialah tidak menggunakan satu nikmat yang diberi Allah untuk perbuatan maksiat. Assary berkata: “Saya khuatir kalau bahagianmu dari kurnia Allah hanya dalam lidahmu belaka. Berkata al-Junaid: “maka kerana kalimat yang dikeluarkan oleh Assary itu saya selalu menangis, khuatir kalau benar apa yang dikatakan oleh Assary itu.”

Syukur mestilah merasa di dalam hati, menyebut dengan lidah dan mengerjakan dengan anggota badan. Tidak memadai jika syukur dengan sekadar mengucap kalimat ‘Alhamdulillah’, sedangkan perbuatannya sedikit pun tidak menggambarkan rasa bersyukur.

Oleh itu, lahirkanlah syukur dengan tindakan, iaitu menggunakan nikmat pemberian Allah dengan cara yang diredhai.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ 
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu berfiman: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim: 7)

Bersyukurlah jangan kufur!

1 comments:

putramin1 said...

Antara blog yang terbaik... tahniah akhi.. sy selalu share entri2 akhi... mudah-mudahan bermanfaat utk sahabat2 sy semua... semoga blog akhi akan lebih terserlah dengan entri2 yg fresh.. insyAllah...

Post a Comment