Soalan:
Adakah kita semua berdosa jika undang-undang syariat tidak dilaksanakan sepenuhnya, melainkan sekadar yang disebut-sebut 'Undang-undang 356'. Iaitu jika sabit kesalahan jenayah hudud, didenda dengan RM3,000, dipenjara lima tahun dan enam kali sebat, sebagaimana yang diamalkan di Malaysia. Seolah-olah itulah undang-undang yang paling baik iaitu undang-undang hududullah. Mohon penjelasan agar wujud kelegaan kepada saya.
Jawapan:
UNDANG-UNDANG Allah atau syariat Allah, daripada sebesar-besar sehingga sekecil-kecilnya adalah peraturan-peraturan Allah yang wajib dilaksanakan di dalam penghidupan.
Allah memerintah kita dengan firman-Nya (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
"Sesudah itu, patutkan mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah." (al-Maidah: 49-50)
Perlulah kita ingat, bahawa ketika Allah SWT berfirman kepada semua makhluk setelah kejadian Adam as, dengan perintah kepada semua makhluk supaya sujud kepada Adam, maka semuanya sujud kecuali iblis.
Iblis enggan sujud, lalu Allah bertanya kepadanya, "Mengapa kamu tidak sujud?" Jawab iblis kepada Allah, "Aku lebih baik daripadanya, kerana aku dijadikan daripada api dan Adam daripada tanah."
Lalu Allah terus menghukum iblis, "Nyah kamu dari syurga-Ku. Kamu tidak sepatutnya takabur dengan dakwaan lebih baik daripada Adam. Aku laknat kamu hingga hari kiamat. Di hari kiamat nanti kamu akan kekal di dalam neraka selama-lamanya."
Ini adalah mafhum daripada firman Allah yang disedut dari surah al-Baqarah, surah an-Nisa`, surah al-Isra` dan sebagainya.
Pengajaran daripada peristiwa itu, jika berlaku penolakan kepada hukum-hukum Allah, atas apa alasan pun Allah menolaknya, seperti mana alasan iblis yang mendakwa dirinya lebih baik daripada Adam.
Apakah kita hendak menggunakan alasan yang sama. Undang-undang ciptaan manusia, seperti yang anda sebutkan sebagai 'Undang-undang 356' di atas atau yang lainnya, apakah ia lebih baik atau lebih sesuai berbanding undang-undang Allah?
Inilah nampaknya yang berlaku. Jika ini benar-benar berlaku, maka sudah jelas balasan Allah SWT, seperti mana yang Allah telah balas kepada iblis di atas alasan dia lebih baik daripada Adam, dan manusia hari ini mendakwa undang-undangnya lebih baik daripada undang-undang Allah SWT, maka samalah juga natijahnya.
Allah mengingatkan kita lagi, bagi tujuan mengingatkan kita yang terbaik di dunia dan di akhirat. Sepatutnya kita tidak termasuk di dalam golongan yang Allah sebutkan (mafhumnya): "Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu." (an-Nisa`: 61)
Oleh itu kita tidak sepatutnya menghalang usaha memartabatkan agama Allah, demi menegakkan agama Allah. Orang yang menghalangnya atau tidak berjuang untuk melaksanakannya, akan menanggung dosa dan akan menerima balasan daripada Allah SWT di hari kiamat kelak.
Iaitu pada hari yang tiada guna padanya sebarang penyesalan dan tidak ada guna padanya sebarang correction (pembetulan) daripada segala amal-amal yang kita lakukan di dunia ini. Wallahua`lam bissawab.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
0 comments:
Post a Comment