Soalan:
Bagaimana kita boleh melepaskan diri di depan Allah nanti, apabila kita ditanya mengapa kita tidak melaksanakan syariat Allah, sedangkan segala kemudahan, telah Allah berikan kepada kamu. Saya gusar dan bercelaru fikiran selama ini, apakah hanya dengan alasan “kami telah berusaha tetapi apakan daya”. Cukupkah alasan itu? Mohon penjelasan.
Jawapan:
SYUKUR ke hadrat Allah kerana anda telah diberikan hidayah dan kesedaran yang benar-benar bererti sebagai seorang mukmin, apabila dapat merasakan kebimbangan, di saat-saat kita akan berdiri di hadapan Allah SWT.
Keadaan demikian telah dirakamkan oleh Allah dalam firman-Nya (mafhumnya): “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”
Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
“Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) daripada golongan lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).
“Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (an-Nisa: 97-99)
Oleh kerana bimbang menghadapi keadaan demikian ini, maka kita wajib berusaha melepasi kecuaian dan ketidak-sungguhan dalam kerja-kerja amal Islam menjadi jihad yang bersungguh-sungguh, untuk berhadapan dengan Allah dengan alasan yang boleh diterima Allah SWT.
Apakah alasan yang anda nyatakan pada soalan di atas, tidak boleh diterima oleh Allah SWT?
Berkaitan jihad yang bersungguh-sungguh, Allah berfirman (mafhumnya): “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dia yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (al-Hajj: 78)
Yang akan ditanya Allah, “Berjihadkah kamu atau tidak?” Bukan ditanya, berjayakah kamu melaksanakan hukum-hukum Allah atau tidak.
Jika kita melihat di dalam al-Quran dan as-Sunnah, perintah supaya mengerjakan jihad begitu banyak. Antaranya firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegak agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (as-Saff: 10-12
Jika kita sudah melaksanakan tugas yang diamanahkan seperti ayat di atas, dengan sebaik-baiknya, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Hendaklah kita yakini bahawa, kita akan mendapat rahmat Allah, terlepas dari soalan-soalan yang akan menjerumuskan kita ke neraka Allah SWT. Wallahu`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
2 comments:
Alhamdulillah... singgah baca2 di sini.
Semoga bermanfaat!
Post a Comment