Ujub ialah satu sifat dimana seseorang itu mengagumi amalnya sendiri, merasa bangga pada diri sendiri atau merasa hairan dengan diri sendiri dengan sebab adanya sesuatu keistimewaan, bakat atau kelebihan dan sebagainya. Diri sendiri yang dimaksudkan di sini ialah mengenai peribadinya, golongannya, kelompoknya atau apa sahaja yang dianggap erat hubungannya dengan dirinya sendiri itu.
Akhlaq seperti ini adalah sangat tercela dan sama sekali tidak ada kebaikannya. Ia adalah termasuk sifat-sifat yang boleh membinasakan dan menghancurkan nilai-nilai yang diamalkan. Mengapa sifat ujub boleh merosakkan? Ujub boleh menimbulkan rasa sombong dan memang ujub itu merupakan salah satu dari pelbagai sifat sombong. Jadi ujub muncullah takabbur, sedangkan takabbur banyak keburukan dan bahayanya. Justeru itu, jika sifat ujub ini tidak dapat dihindarkan, ia akan membawa satu musibah bagi seseorang ataupun umat.
Sabda Rasulullah saw: "Tiga perkara yang membinasakan: Kekikiran yang dipatuhi, hawa nafsu yang dituruti dan kekaguman seseorang terhadap dirinya (ujub)."
Satu cerita orang tua-tua.
Seekor kambing gurun tiba-tiba dikejar oleh seekor harimau. Dengan pantas kambing gurun memecut dan lari mendaki bukit yang berhampiran. Kepantasannya tidak dapat ditandingi oleh harimau yang akhirnya tertinggal di bawah bukit. Namun harimau tidak berputus asa, ia terus menunggu di bawah dengan harapan kambing gurun itu akan turun akhirnya.
Harimau terus menunggu, dan kambing gurun terus pada kedudukannya di atas bukit. Masing-masing menanti siapakah yang akan mengalah. Sejak pagi kedua-duanya menunggu hinggalah tiba waktu tengahari dan matahari mula condong ke barat. Pada waktu itu bayang-bayang kambing gurun yang di atas bukit mula tertayang di atas muka bumi.
Mata harimau terus merenung kambing gurun itu, manakala mata kambing gurun pula merenung bayang-bayangnya sendiri. Kambing gurun semakin hairan apabila dilihatnya bayang-bayang tanduknya semakin lama semakin panjang. Ia menyangka sesuatu 'keajaiban' sedang berlaku pada dirinya yang mana tanduknya telah menjadi semakin panjang dan tajam.
Dalam diam-diam timbul satu rasa kagum dan hebat terhadap dirinya sendiri. Ia rasa semakin kuat, yakin dan mampu untuk berdepan dengan harimau dengan tanduk barunya itu.
Tanpa berfikir panjang, kambing gurun pun melompat turun untuk berlawan dengan harimau. Apalagi, 'pucuk di cita ulam mendatang' harimau pun menerkam dan mencengkam leher si kambing gurun itu. Kambing gurun menjerit kesakitan dan akhirnya mati dalam keadaan terkejut kerana 'kekuatan' yang dimiliki, rupa-rupanya tidak ada.
Apa pengajaran yang kita dapat dari kisah di atas? Binasa kerana ujub dan ego. Kisah kambing gurun yang ujub dengan tanduknya yang 'panjang' tertipu dengan bayang-bayang kekuatan yang tiada. Akibatnya diri sendiri yang binasa.
"Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan..." (al-Hadis).
Anda mampu mengubahnya!!
1 comments:
wah, thanks for sharing kisah si kambing gurun tu :)
Post a Comment