Sahabat Sejati

Wednesday, 9 February 2011

Apakah al-Quran ada pelbagai versi?


Soalan:

Benarkah al-Quran yang kita gunakan sekarang ini, adalah salah satu daripada versi-versi al-quran yang khabarnya banyak. Jika betul begitu apakah bezanya dengan Bible orang-orang Kristian sekarang, yang juga versinya amat banyak. Mereka mengharamkan versi lain, yang tinggal empat sahaja. Harap dapat merungkaikan persoalan ini, apakah al-Quran ada versi berbagai-bagai. Terima kasih.

Jawapan:

JANGAN sesekali anda samakan al-Quran dengan Bible. Ada pun Bible, nama-nama Bible diberikan atas nama penulisnya yang terkenal.

Antara satu dengan yang lain sangat berbeza dan wujud kelainan-kelainan yang jelas, walaupun namanya Bible.

Sedangkan al-Quran, tiada penulis yang merekaciptanya. Ia adalah wahyu Allah yang turun 'sebiji-sebiji' kepada Nabi Muhammad saw dan dibacakan terus kepada Nabi Muhammad saw, dan baginda terus membacanya, dan penulis-penulis wahyu di zaman itu, diarah menulisnya pula, menjadi tulisan-tulisan yang terkumpul, tanpa menyusun satu persatu.

Apa yang anda confuse atau bercelaru sebenarnya, bukan masalah versi, yang tergambar seperti yang berlaku pada Bible. Ada versi yang salah dan sebagainya dan dimusnahkan semuanya, hatta yang tinggal empat jenis, jelas ada kelainannya.

Sedangkan al-Quranul Karim, hanyasanya ada satu versi sahaja dari dahulu hingga sekarang dan tidak pernah ada versi al-Quran yang dipertikaikan, atau diharam atau dimusnahkan seperti yang berlaku kepada Bible.

Yang berbeza hanya dialeknya sahaja. Disebut dalam hadis-hadis Nabi saw iaitu perkataan 'ahruf' yang bermaksud huruf yang sama, dituturkan berbeza.

Rasulullah saw bersabda seperti yang dilaporkan oleh Amru Ibnu al-`Aas bahawasanya (mafhumnya): "Al-Quran ini diturunkan dalam berbagai-bagai ahruf (pelat bahasa), maka mana-mana dialek yang kamu dengar aku membacanya, maka ikutilah ia, dan janganlah ragu meragukan,"

Ahruf ini disebut juga dengan qiraat. Seperti yang pernah diperdengarkan kepada kita, jenis-jenis qiraat itu dalam tilawah-tilawah.

Qiraat ini terkenal dengan qiraat tujuh. Perlu disedari bahawa bahawa bangsa Arab di zaman turunnya wahyu ada banyak kabilah atau puak. Setiap puak ada dialeknya, ada pelat yang khusus bagi puak masing-masing.

Jika hendak senang anda faham, seperti bahasa Arab hari ini, setiap bahasa Arab ada dialeknya yang tersendiri. Ia berbeza antara Saudi Arabia, Yaman, Mesir, Sudan, Libya, Algeria dan lain-lainnya, masing-masing ada perbezaannya.

Seperti itulah di zaman al-Quran diturunkan. Ada kalimah-kalimah al-Quran yang tertentu disebut mengikut pelat sesuatu kabilah.

Itupun tidak semua dilayan. Hanya ada tujuh ahruf yang pernah dibaca oleh Jibril as. kepada Muhammad saw. Itupun tidak banyak.

Hanya ada beberapa perbezaan sahaja. Yang penting maknanya tidak berubah. Walau disebut bagaimana bunyinya pun, tetapi maknanya tetap sama.

Seperti kita dalam bahasa Melayu, ada bahasa baku, ada bahasa daerah, bahasa Kelantan, bahasa Terengganu, bahasa Perlis dan sebagainya. Dialeknya berbeza, iaitu lafaznya berbeza tetapi maknanya sama.

Sekarang ini, persoalan ahruf itu boleh dikatakan tidak berbangkit lagi. Kita ada satu bahasa sahaja iaitu dengan Mushaf Uthmani. Bacalah ak-Quran itu seperti yang anda dengar, semua orang membacanya.

Inilah dia al-Quran yang difirmankan Allah SWT (mafhumnya): "Kita al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa." (al-Baqarah: 2)

Firman Allah SWT (mafhumnya): "(Al-Quran) yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji." (al-Fussilat: 42)

Wallahua`lam.

Sumber: Dato Dr Harun Din

2 comments:

Fadzli Amir said...

Info yang berguna..walaupun tiada sebarang keraguan terhadap alquran, info ni mempertingkatkan lagi kefahaman dan keimanan..

Unknown said...

macam mana tuan untuk perbezaan al quran iman hafs dan warsh.. dlm versi imam hafs alfatihah ada ayat yang guna maaliki yaum manakala dalam imam warsh maliki yaum.. yang imam hafs bermaksud pemilik hari manakala imam warsh bermaksud raja hari.. harap di jelaskan kekeliruan ini

Post a Comment