Sahabat Sejati

Thursday, 19 August 2010

Tazkirah Ramadhan di Musolla ar-Raudhah

(Artikel ini adalah berdasarkan kuliah yang telah disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 02 Ramadhan 1431H, di Dataran Ilmu Imam an-Nawawi, Musolla ar-Raudhah Pelindung Perdana, Kuantan)



Katakan tidak, ketika ‘tidak’ diperlukan, iaitu ketika kita perlu berkata ‘tidak’ di tempat yang sepatutnya maka katakanlah ‘TIDAK’.


Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan puasa yang mendidik gelora anak muda.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan puasa yang berfungsi mentarbiyyah nafsu yang berkeinginan tinggi.

Sebaliknya jika kita ada segalanya untuk dimakan, lalu kita memilih untuk tidak makan kerana mahu mentaati Allah, maka barulah ia jadi sebuah latihan.

Apakah latihan itu?

Latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah keinginan diri kerana mahu mentaati Allah. Latihan yang meningkatkan daya kawalan diri.

Manusia yang gagal berkata tidak kepada sebahagian keinginan diri, mereka menjadi hamba kepada nafsu dan diri sendiri. Manusia ini disesatkan oleh Allah, biar pun dengan ilmu yang berlapis tujuh di dada dan minda.

Ketika manusia tidak mampu berkata ‘tidak’ di saat perlu berkata ‘tidak’, maka dia menjadi hamba kepada dirinya.”

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]

Itulah bencana lemah kawalan diri.

Sentiasa terpaksa mengikut apa sahaja yang diinginkan hingga tidak mampu berkata tidak di mana perlu.

“TIDAK” bukan bermakna Islam mahu mengongkong. Islam memberi kebebasan kerana kebebasan itu satu keperluan, tetapi perlu ada kawalan dan panduan supaya tidak tersasar dari landasan yang menjerumus diri kepada kebinasaan.

Kita berpuasa bukan kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.

Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Belajarlah untuk mengawal diri, kerana natijah disebaliknya adalah kebahagiaan dan keberuntungan. Rasulullah saw adalah contoh manusia yang paling kuat kawalan dirinya,”

Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tiada sifat marah?

Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!
Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.

Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.
“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.

Lantas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta air dan sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Pernah sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.

Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Malah riwayat di atas menceritakan bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbu anak muda berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “mah, mah!”, iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin berzina dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated.”, bersikaplah kepada orang lain sebagaimana apa yang kamu harapkan dari orang lain untuk bersikap demikian terhadap dirimu”.

Pemuda itu dibawa mendekati Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”

“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” jawabnya.

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil daripadanya?

Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan, dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati, khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang maaruf.
Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit dari kejayaan menguruskan perkara yang amat basic, iaitu keupayaan mengawal diri, pro aktif dan tidak cepat melatah.

Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.

Bahasa ceramah, bahasa akhbar, bahasa majalah, bahasa dakwah… Ramadhan mengajar kita agar menyampaikannya dengan penuh hemah dan terkawal.

Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa, dari yang disangka!

“Semoga Ramadhan kali ini dapat menjana sifat taqwa serta melatih kita meningkatkan kawalan diri. Dan juga katakanlah ‘tidak’ di saat ‘tidak’ itu diperlukan.

Anda mampu mengubahnya!

Musolla ar-Raudhah,
Pelindung Perdana, Kuantan.
02 Ramadhan 1431H.

0 comments:

Post a Comment