Sahabat Sejati

Sunday, 29 August 2010

Ramadhan ini.....

 
“Sheikh, err..perlahan sedikit,” saya berkata kepada Sheikh Azlan yang sedang memandu. Sedikit gusar di dalam hati, melihat meter kereta serta kenderaan yang bersimpang siur di jalan raya.

“Tak apa, kita nak pergi menuntut ilmu, kalau mati...insya Allah syahid,” jawabnya bersahaja sambil ketawa kecil, lalu memperlahankan kenderaan.

Jam menunjukkan hampir pukul 6.00 petang, tetapi hari telah pun gelap. Awan hitam bertompok, menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun. Kami dalam perjalanan menuju ke Masjid Sungai Isap untuk mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus, kuliah dijangka bermula pada pukul 6.00 petang.

Jalan raya agak sibuk, berpusu-pusu dengan kenderaan. Mungkin yang baru pulang dari bekerja dan mungkin juga yang keluar mencari juadah berbuka. Bagi saya dan keluarga, juadah berbuka tahun ini amat sederhana hanya kurma dan sedikit kuih yang dibuat sendiri serta air. Alhamdulillah. 

Rintik-rintik halus mula gugur menimpa bumi, menambah kedinginan petang Ramadhan ini. Cuaca sebegini menghadirkan rasa sebak di hati, namun demikian terselit juga rasa syukur kerana tahun ini Allah menambah pada saya untuk beramal melalui kesibukan dalam program kemasyarakatan, kadang-kadang hampir setiap malam saya keluar ke PUTRA untuk mengemaskini program-program yang telah di susun. 

Kenderaan terus membelah aspal jalan diiringi zikir munajat oleh Almarhum Ustaz Asri Ibrahim di corong radio. Sayu mengenangkan dirinya yang telah pergi tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buatnya. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan solehin.

Kuliah ustaz Azhar Idrus

Masjid Sungai Isap asalnya adalah sebuah surau yang kemudiannya telah dinaik taraf sebagai masjid oleh JAIP, ekoran pertambahan ahli jemaah disitu serta masjid lama tidak dapat menampung jemaah solat Jumaat. Seingat saya sudah dua kali saya ke sini mendengar kuliah, sebelum ianya bergelar masjid. Semoga masjid ini makmur dengan majlis ilmu.

Masjid penuh sesak dengan ahli jemaah. Pemandangan biasa apabila kuliah Ustaz Azhar Idrus. Saya teringat kuliah beliau di Masjid Qaryah Balok sebelum Ramadhan, di dalam masjid sesak begitu juga di perkarangan yang dibentang kanvas, sehingga ada yang terpaksa berdiri. Ramai yang terpaksa pulang selepas kuliah dan bersolat isya` di rumah kerana ketiadaan ruang. Entahlah...mungkin kerana cara penyampaiannya yang terang dan jelas serta mencuit hati dengan contoh-contoh yang melucukan.

Ustaz Azhar tiba sedikit lewat dalam hujan lebat yang mencurah. Isi kuliahnya berkisar kepada fasa kedua Ramadhan...KEAMPUNAN ALLAH. Walaupun sebentar tetapi minda saya terasa kenyang, puas.

Setelah berbuka dan bersolat maghrib, kami memulakan perjalanan pulang dalam hujan yang masih renyai-renyai.

Musolla ar-Raudhah

Kami singgah di Musolla ar-Raudhah untuk bertarawih di situ. Musolla ini baru didirikan dan penggeraknya adalah Ustaz Nasrudin Thantawi, cukup subur dengan majlis ilmu. Ini merupakan tarawih yang pertama di sini dan di adakan di perkarangannya yang diberi nama Dataran Ilmu Imam Nawawi. 

Malam ini tazkirah dijadualkan akan disampaikan oleh Ustaz Dasuki Abd Rani, tetapi beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu lalu di gantikan dengan Ustaz Zukiman al-Jihadi yang tidak kurang hebatnya.

“Beribadatlah secara luar biasa, semoga Allah SWT mengurniakan kita pahala yang luar biasa, serta lakukan kerja-kerja Islam dengan luar biasa, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan kepada kita kemenangan yang luar biasa,” katanya yang tidak lekang dengan dialek Terengganunya.

Kami membelah malam pulang ke rumah, semoga apa yang dilakukan hari ini di kira amal ibadat di sisi-Nya.

“Terima kasih, insya Allah jumpa lagi. Assalamualaikum,”

“Wa`alaikum as-salam.”


Kami berpisah. Jam menunjukkan pukul 12 lebih, keluarga telah pun tidur, sedang dibuai mimpi barangkali.

'Bersama Sheikh Azlan di hadapan rumah YAB Menteri Besar Kelantan'

Malam itu

Sukar untuk melelapkan mata.

Berbagai perkara menerjah di minda, bercampur baur. Sedih mengenangkan sahabat-sahabat yang telah mendahului, tidak sempat menyambut Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rahmat dan kerehatan buat mereka. Demikian jua buatku janji yang pasti itu...

Terkenang juga Ramadhan di zaman kanak-kanak, cukup meriah. Hari pertama sahaja berbuka di rumah, manakala hari seterusnya berbuka di surau berhampiran rumah bonda. Selepas asar kami menolong pakcik-pakcik memasak menu berbuka, selepas itu mengatur di atas meja dan sama-sama menunggu azan maghrib dilaungkan. 

Pakcik-pakcik yang pernah menjadi tukang masak sukarela di surau itu semuanya telah pergi mengadap Pencipta, termasuk Cikgu Hamdan, Pak Ngah Majid dan Pakcik Abdullah. "Dari Dia kami datang kepada Dia jua kami dikembalikan." 

Kini tradisi memasak juadah berbuka di surau itu telah pun terhenti. Nostalgia manis yang menyebabkan saya selalu tersenyum seorang diri apabila mengenangkannya, kadang-kadang menitiskan air mata kerinduan pada kenangan lalu. Benarlah kata-kata pujangga “rindu itu amat menyakitkan”.

Fikiran saya melayang mengingatkan tajuk akhbar yang dibaca semalam. Pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi, bagaikan bermusim. Zina dan rogol tanpa mengira bulan Ramadhan. Rempit? Berbagai-bagai krisis moral lagi...

Apakah ini bala yang menimpa umat akhir zaman, kerana kelalaian dan...? Ataupun kerana kebiadapan ‘mereka’ yang berani memperkotak-katikkan serta mempermainkan hukum serta undang-undang Allah.
Ya Allah! Jangan azab kami atas kelalaian kami yang dhaif ini....

Rasuah?
Kenaikan harga barang?
Kezaliman?
ISA ada lagi...
Hari raya akan kunjung tiba...
Merdeka...menjana transformasi...apa tu???

Dalam keributan fikiran yang kacau bilau ini, saya....zzz...zzz...zzzzz..

0 comments:

Post a Comment