Sahabat Sejati

Tuesday, 28 June 2016

Sunnah berbuka, jangan berlebihan

foto hiasan ~ sumber: FB

Jika ketika bersahur disunnahkan dengan tamar (kurma kering), ketika berbuka pula Nabi saw mendahulukan ruthab iaitu kurma basah (yang lembik). 

Menurut Anas Ibn Malik ra: “Bahawa Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab sebelum bersolat. Sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah). 

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah ruthab, jika tiada dengan tamar dan jika tiada dengan air. Ruthab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Jadi kita haruslah berusaha untuk mendapatkan dan saya kira pada hari ini sangat mudah untuk kita mendapatkannya. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita ruthab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. 

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan ruthab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” 

Apa pun tidaklah salah jika berbuka dengan makanan lain selain ruthab. Apa yang penting ialah makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

3 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kakak gelihati tengok gambar kartun tu, kalau dah banyak macam tu memang macam kenduri haha...

Sebenarnya memang rata-rata kita telah maklum sunnah baginda dalam berbuka dan bersahur cuma nak dengan tidak aje. Kakak ni mula sua ke mulut aje tamar tapi lepas tu cari juga yg lain. Dah perut melayu macam tak kenyang kalau dgn tamar. Tapi abang memang sahur tak makan lain selain tamar dari dulu lagi. Bini dia ni aje yg tak pandai lagi hihi...

paridah said...

ASSALAM...MOGA SHT SJHTRA N BNYK BERAMAL DDI BULAN RAMADAN...SEDAPNYA DPT BERBUKA PUASA DGN RUTHAB..TERUS SEGAR TERASA...USUS KITA NI KECIL SAJA XMUAT NK DISUMBAT SEGALA MKANAN YG BERLAMBK TERHIDANG DI MEJA KAN XBAIK MEMBAZIR KAN

webctfatimah said...

Assalaamualaikum wr.wb, Abu Ikhwan....
Foto di atas itu mengingatkan saya masa kecil2. Emak saya menghidang makanan macam nak kenduri.

Alhamdulillah, kini amalan saya sekeluarga pula, dimulai dengan makan 3 biji tamar dan minum air zam-zam. baru sentuh makanan yang lain. Membazir itu amalan syaitan dan patut kita jauhi. makanlah seperti kita makan pada hari biasa juga. Bulan ramadhan bulan ibadah bukan bulan mewah makan. Salah tanggap ini sudah menjadi budaya di negara kita terutama adanya Bazaar Ramadhan. Alhamdulillah, sehingga kini saya masak hidangan sendiri dan simple seperti hari biasa. Salam ramadhan yang mulia dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment