Sahabat Sejati

Wednesday 15 June 2016

"Selamat berbuka puasa sahabat-sahabat.."

foto hiasan ~ sumber: FB

Telah jelas kepada kita bilakah waktunya untuk berbuka puasa, iaitu apabila dilaungkan azan menunjukkan masuk waktu maghrib. Sunnah yang dituntut untuk dilakukan adalah menyegerakan berbuka dan tidak menangguhkannya. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Beberapa hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: 

Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah saw bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kata ‘Amr bin Maimun Al-Audi ra, “Para sahabat Nabi Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling cepat berbuka dan paling lambat sahur. (Riwayat Abdurrozaq di dalam Al-Mushannaf) 

Sabda Rasulullah saw: “Agama ini akan terus-menerus menang (zahir) selama mana manusia menyegerakan berbuka puasa, kerana Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (riwayat Abu Daud no.2353, An-Nasa-i dalam Al-Kubra, Ahmad, Ibnu Hibban dalam Al-Ihsan, Hakim, Al-Baihaqi dan Ibnu ‘Abdil Bar dalam At-Tamhid) 

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi saw, iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Paling cepat berbuka bukan bererti mereka memperawal waktu berbuka sebelum maghrib, tetapi mereka segera berbuka dan tidak bertangguh-tangguh sebaik masuk waktu maghrib. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. 

Kadangkala ada sesetengah orang apabila mendengar azan dia menangguh berbuka untuk menjawab azan dahulu. Ada yang menunggu orang lain untuk berbuka puasa bersama. Ini adalah kekarutan dan tidak ada dalam sunnah Nabi saw. Sebaik azan dikumandangkan kita dituntut untuk terus berbuka dan tidak perlu menunggu sesiapa pun.

Kata at-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut). 

Selamat beramal!

3 comments:

Kakzakie Purvit said...

Betul sunnah yg tak perlu dipertikaikan lagi. Tapi kakak gelihati tengok gambar yg AI tepek tu. Org sebelum makan sebelum azan doa-doa-doa mohon apa yg termampu nak dipohon. Bila azan aje baca doa teruslah ngap apa lagi... Dapat sunnah dan elok perut pun kan dah lapar sehari suntuk tak makan:)

Normala Saad said...

Saya masih jumpa orang yang suka melengah-lengahkan buka posa. Saya pun tak faham kenapa. Pernah berbuka dgn orang yang nak tunggu azan habis baru makan..kerana jadi tetamu terpaksalah ikut..tapi dlm hati tersangatlah rasa heran...

paridah said...

ASSALAM SEMOGA USTAZ N KELUARGA SHT SJHTRA BERIBADAH DI BULAN MULIA...AMALAN YG FARDHU TU MESTI IKUTINYA.

Post a Comment