Sahabat Sejati

Wednesday 15 June 2016

Cerita di Ramadhan 9

'Menunggu giliran'

Hari ini sekali lagi saya mengambil cuti untuk memenuhi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa' di HTAA. Kali ini temujanjinya di unit Audiologi. Sejak dari lahir lagi si Haikal mengalami masalah pendengaran di tahap yang teruk di kedua-dua belah telinganya. Jika diikutkan malas sungguh pergi ke bandar pada bulan Ramadhan. Sudahlah hari panas, jalan pula selalu jem, istilah orang kampung saya 'sumbat lemak'. Tetapi apa boleh buat, tiada pilihan, kena pergi juga. Kalaulah encik doktor boleh datang ke rumah saya untuk membuat pemeriksaan, alangkah bagusnya.  Eh, siapalah saya?

Sebab itu jika ke bandar berseorangan saya lebih suka menunggang motosikal. Bukannya apa, untuk mengelak daripada tersekat dalam kesesakan. Mudahlah sikit mahu mencelah dan menyelit di antara kenderaan yang bersimpang-siur. Tetapi naik motor pun ada masalah juga, hari hujan! Itulah manusia, ada sahaja yang tidak kena. Kalau hujan, mahu panas. Jika panas, sering bertanya bila hujan mahu turun. Senyum. Apa pun cerita hospital sudah selesai. Tunggu temujanji akan datang pula.   

Juadah berbuka kami sekeluarga tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Cukup sederhana, sekadar satu atau dua jenis kuih bersama minuman. Maklumlah tinggal saya dan ummu Ikhwan sahaja berbuka bersama si Haikal. Si kecil Haikal pula sekadar menumpang seronok berbuka. Yalah, dia tidak perlu berpuasa pun. Itulah sebabnya saya katakan dia seorang yang istimewa. Puasa tak perlu, sembahyang pun sama. Istimewakan?

Kembali kepada cerita juadah berbuka puasa kami. Yang berpuasa di rumah sekarang ini tinggal kami berdua, jadi, apa perlunya juadah yang banyak. Jika tidak habis, dibuang. Bukankah membazir namanya. Sedangkan membazir itu saudara .......... Sudah tua-tua begini  selera pun tidak seberapa. Terlebih makan penyakit mudah pula bersarang. Lainlah sewaktu budak-budak dulu, tengok apa pun menyelerakan dan semuanya mahu disumbat ke dalam perut.

Setakat Ramadhan hari ini, dua orang yang saya kenali telah pulang ke rahmatullah. Betapa mereka berdua tidak sekali-kali mengetahui bahawa Ramadhan tahun ini tidak sempat mereka dihabiskan. Semua ini benar-benar menginsafkan saya. Hanya doa dan harapan agar Allah SWT mengampunkan semua dosa mereka dan diterima setiap amal kebaikan yang dilakukan. Manakala doa dan harapan saya agar disampaikan sehingga ke hari Ramadhan yang terakhir, bahkan pada Ramadhan tahun-tahun seterusnya, amiinn. 

Kelmarin pula seorang sahabat setaman saya telah dimasukkan ke ICU akibat strok. Berita yang diterima pagi tadi melalui isteri beliau, keadaannya sangat lemah. Pihak surau taman kami juga telah melakukan solat hajat memohon ke hadrat Tuhan agar disembuhkan kesihatannya.      

Allahu al-Musta`an!

4 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Alhamdulillah sudah selesai urusan di hospital utk si kecil Haiqal...memang mencabar kan pi hospital masa bulan2 puasa ni.
Kat rumah akak pun masa bersahur dan berbuka pun bersederhana je tapi biasanya ada rezeki yang tak diduga ,tu yg jadi kan membazir bila dah terlebih .
Kawasan penduduk tempat akak tinggal ni pun sepanjang 10 hari puasa ni dah 4 orang kembali ke rahmatullah.Sewaktu akak menaip kat sini pun kedengaran lagi pengumuman kat masjid beritahu tentang satu lagi kematian hari ini.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Alhamdulillah sudah selesai urusan di hospital utk si kecil Haiqal...memang mencabar kan pi hospital masa bulan2 puasa ni.
Kat rumah akak pun masa bersahur dan berbuka pun bersederhana je tapi biasanya ada rezeki yang tak diduga ,tu yg jadi kan membazir bila dah terlebih .
Kawasan penduduk tempat akak tinggal ni pun sepanjang 10 hari puasa ni dah 4 orang kembali ke rahmatullah.Sewaktu akak menaip kat sini pun kedengaran lagi pengumuman kat masjid beritahu tentang satu lagi kematian hari ini.

Kakzakie Purvit said...

Istimewa anakanda Haikal dari sudut lain. Yg menjaga rapi juga tidak kurang istimewanya kerana mendapat ganjaran tempias dek apa yg Haikal alami.

Rakan jemaah kakak pun ada yg pergi sebelum ramadhan ini. Lagi sedih sebab tidak ada tanda sakit. Perginya pagi di hari akhir syaaban. Sungguh kami semua amat terasa pemergiannya. Semoga mereka yg pergi ini diampunkan dosa dan ditempatkan bersama kalangan mereka yg beriman dan beramal soleh.

Normala Saad said...

Saya pun cuba tidak membazir makanan tapi kadang2 terbabas juga pada hari2 jiran hantar kuih kiri kanan..

Post a Comment