Sahabat Sejati

Saturday, 4 June 2016

Membina rumah rakit di Sungai Pahang (3)

Salam ukhuwwah. Semoga sahabat-sahabat sentiasa diberikan kesihatan yang baik.

Menyambung kembali penceritaan proses membina rumah rakit di Kampung Sekara Chenor. Dalam kerja-kerja yang lalu, besi-besi yang bertindak sebagai alang yang akan menongkat bumbung sudah dinaikkan ke atas rumah rakit. Ia menunggu masa untuk dipasang. Hari ini kerja-kerja untuk memasangnya pula dilakukan. Skru diperlukan untuk melekatkannya pada tiang. 

Tetapi kerja-kerja ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ternyata ia memerlukan tenaga ramai kerana kerangka besi tersebut agak berat. Benarlah kata orang tua-tua yang bijaksana, "Muafakat membawa berkat", "Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing". Hasilnya, kesemua kerangka tersebut dapat dinaikkan dan dipasang.     


 
Kerangka besi sudah pun dipasang. Sekejap lagi proses untuk memasang atap pula. Mujurlah kawasan ini teduh dengan bayang-bayang pokok yang melindungi daripada terik matahari. Angin pula bertiup lembut, menjadikan suasana amat mendamai. Jauh daripada kesibukan dan kebingitan yang entah apa-apa. Ternyata suasana ini amat kena dengan jiwa saya yang cepat 'mengeras' jika lama berada di dalam hutan batu.   


Kerja-kerja memunggah bumbung sedang giat dilakukan. Dari tepi jalan dibawa menuruni tebing, kemudian dibawa ke atas rumah rakit. Penat usah dikira. Tetapi apabila ia dilakukan dengan bergotong-royong, yang berat akan terasa ringan.  Suka saya melihat 'orang-orang lama' membuat kerja. Dengan kemahiran bertukang yang diwarisi turun-temurun, menjadikan kerja-kerja berjalan lancar. Maklumlah, tangan 'tapak siput' istilah orang tua-tua. 
 

Melepaskan penat setelah 'berperang' dengan kayu, besi, tukul, paku dan sebagainya. Sambil-sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, joran sempat dilabuhkan. Mana tahu ada rezeki ikan segar dari dasar sungai Pahang. Bayangkan ikan Temalian yang memakan umpan, tidakkah beruntung namanya? Orang Pahang tentu tahu betapa sukarnya menangkap ikan tersebut. Lebih-lebih lagi ikan tersebut telah diwartakan sebagai spesis yang dilindungi. 

Saya teringat pula komentar kakzakie dalam entry yang kedua "kalau memasak tengah menggoreng tetiba air pasang bergoyang tak agak-agak?" Tersenyum saya.  Selama saya 'berdamping' dengan Sungai Pahang belum pernah melihat pasang surut. Kalau air naik kerana hujan di hulu tu biasalah.
 
Pasang surut ialah naik dan turunnya paras air laut akibat kesan putaran Bumi dan tarikan graviti Bulan. Pasang surut ini berlaku di kawasan pantai dan muara sungai, lazimnya dua kali pasang dan dua kali surut sehari. Waktu air pasang, air laut tenang dan kadang-kala mengalir ke hulu sungai sehingga 10 kilometer. Waktu air surut, pinggir air jauh ke tengah laut. Memandangkan sungai Pahang di Chenor ini jauh dari laut, maka tidak sempat air laut masuk. Kalau yang di derah Pekan, mungkinlah. 
  

Hampir siap! Bumbung sudah pun dinaikkan, cuma dindingnya sahaja yang belum dipasang. Hari sudah mula beransur petang. Terdengar siulan burung-burung yang balik ke sarang, maka kita juga ada tugas sebagai hamba Tuhan. Insya-Allah, ada masa dan upaya kerja-kerja menyiapkannya akan bersambung kembali. Terasa puas melihat hasil kerja-kerja hari ini. Malahan tidak sabar untuk melihatnya siap serta boleh digunakan. Bolehlah nanti membawa keluarga untuk bercuti di atas rumah rakit ini, insya-Allah.   

1 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah, Rumah Rakit sudah lama siap dan harap2 masih lagi beroperasi sehingga kini !

Post a Comment