Sahabat Sejati

Thursday, 7 August 2025

Part 4 – Ke Papanasam, Tanah Kelapa Laut dan Uncle Faruq Yang Tenang

'Di belakang Masjid Miftahul Huda, Papanasam'

Lepas Zohor, cuaca masih terik, angin petang mula berbisik lembut tetapi berbahang menyelinap di celah-celah deretan bangunan. Mr Rafi datang seperti yang dijanjikan, tersenyum sambil mengangkat tangan dari dalam kenderaannya yang berhabuk tapi setia. 

Destinasi kami kali ini agak istimewa. Sebuah tempat bernama Papanasam, kira-kira sejam perjalanan dari penginapan kami. Nama itu sendiri kedengaran asing, tapi ada sesuatu yang mendekatkannya di hati, mungkin kerana misi yang kami bawa ke sana. 

Dalam perjalanan, mata kami dijamu dengan pemandangan luar biasa. Pokok-pokok kelapa laut tumbuh megah di kiri kanan jalan, berjajar seperti barisan penyambut tetamu yang tahu kami datang membawa tujuan. Rupa-rupanya, Papanasam memang terkenal di antara salah satu pengeluar utama kelapa laut. Buahnya hitam ungu, bulat dan penuh isi, sama seperti hati penduduknya yang kelihatan tulus dari awal pandangan. 


Sampai saja di Papanasam, kami terus ke Masjid Miftahul Huda, sebuah masjid sederhana tapi penuh makna. Masjid ini bukan sekadar tempat solat, tapi menjadi nadi untuk komuniti Islam di kawasan ini. Didirikan sejak tahun 1954, bangunannya masih utuh dengan sentuhan klasik, dan auranya seakan memeluk siapa sahaja yang melangkah masuk. 

Di sinilah kami bertemu dengan Uncle Faruk, ketua komuniti yang disegani. Wajahnya bersih, berjambang putih rapi seperti kapas, dan ada sebutir bintang tenang di matanya. Yang mengejutkan kami, dia fasih berbahasa Melayu! 

'Uncle Faruk yang baru dikenali tetapi cepat mesra dan serasi. Banyak membantu kami'

Rupanya dulu Uncle Faruk pernah merantau dan bekerja lama di Brunei. Di situlah dia buka kilang rempah dan menimba banyak pengalaman. Suaranya lembut, tapi bicaranya penuh isi. Kami segera serasi, seperti sahabat lama yang baru bertemu semula. 

Kami duduk bersama membincangkan atur cara program Food4Life yang bakal berlangsung esok. Perbincangan berlangsung santai di bawah bayang pohon rendang di sisi masjid. Makanan asas dan keperluan harian telah siap dibungkus, sumbangan daripada hati-hati pemurah untuk insan-insan yang memerlukan. 

"Esok selepas sarapan, kita mula sembelih dan agihkan kepada fakir miskin dan golongan susah," kata Uncle Faruk. "Ramai yang menanti, ramai yang berharap. Kadang-kadang, inilah satu-satunya bantuan besar yang mereka terima sepanjang tahun." 

Kata-kata itu menyentap hati kami. Betapa banyak nikmat yang sering kita anggap biasa, rupa-rupanya adalah harapan besar bagi orang lain. 

'Makan petang di rumah Dato` Harthar, hidangan yang sukar ditolak'

Sebelum pulang, kami sempat memenuhi jemputan Dato' Harthar ke rumahnya yang tidak jauh dari masjid. Dato' Harthar mempunyai beberapa premis peniagaan di bandar Kuantan yang dijaga oleh anak-anak dan kaum kerabatnya. Sepanjang menapak ke rumah beliau, saya melihat deretan rumah seperti yang pernah saya tonton di televisyen, saya juga melihat senyuman anak-anak kampung yang bermain tanpa gajet, tapi penuh tawa dan bahagia. 

Satu jam perjalanan pulang ke hotel penginapan terasa pendek. Tapi yang lebih penting, hati kami semakin sarat, dengan rasa syukur, tanggungjawab, dan doa agar esok berjalan lancar. 

Dan malam itu, kami tidur awal. Kerana esok, bukan sekadar hari agihan bantuan, tapi hari untuk menyentuh jiwa manusia lain dengan sepinggan harapan dan seketul kasih sayang.

'Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan'

0 comments:

Post a Comment