Sahabat Sejati

Wednesday, 6 August 2025

Kembara di Bumi India – Part 3: Hotel dan Hembus Nafas Lega

`Mr Rafi (tiga dari kanan) banyak membantu memudahkan urusan kami`

Sebaik tiba di bandar Kumbakonam, Mr. Rafi terus membawa kami ke tempat penginapan di tengah-tengah bandar, Hotel Lee Benz Ark yang terletak di TSR Big Street. Sebuah hotel sederhana tapi selesa. Pada hemat saya, ia bertaraf tiga bintang, cukuplah untuk kembara seperti ini. Tilamnya besar dan bersih, bilik berpenyaman udara, dan yang paling penting, ada air panas dan cerek elektrik. 

Kami tinggal berdua sebilik. Sahabat di Malaysia menempahnya secara atas talian. Semuanya serba mudah.

Sebelum beredar, Rafi berpesan ringkas: “Saya datang semula lepas Zohor ya. Kita pergi tengok tempat sembelih lembu nanti.” 

Saya angguk faham. Waktu Zohor di sini sekitar jam 12 lebih, lebih awal daripada Malaysia. Suasana di luar sudah pun panas sejak awal pagi. 

Masuk saja bilik, saya buka beg galas yang saya bawa khas, penuh dengan "penyelamat peribadi": meggi mug, travel meal, dan pek minuman 3 dalam 1. Saya tak pasti apa yang bakal terhidang di sini nanti. Sebenarnya, saya sudah menonton beberapa video YouTube sebelum berangkat, tentang penyediaan makanan jalanan di India. Dan terus terang, saya sedikit terganggu dengan tahap kebersihan yang dipaparkan. 

`Pemandangan dari bilik hotel'

Bukan niat untuk menghukum, cuma saya tahu perut saya jenis ‘manja’. Tak sanggup ambil risiko, apatah lagi dalam misi penting seperti ini. Jadi, mi segera dan minuman panas 3-in-1 menjadi peneman setia kembara. 

Selepas solat Subuh di bilik hotel, tubuh kami mula terasa bahangnya perjalanan panjang. Mata yang belum betul-betul lena sejak KLIA tadi kini mula memberat. Kami rebah di atas katil hotel, akhirnya, tidur juga. 

`Lee Benz Ark Hotel` 

Walaupun sekejap, lena pagi itu terasa seperti hadiah. Sunyi bilik, angin dari pendingin udara, dan rasa lega akhirnya sampai ke destinasi. Di luar, kota Kumbakonam sudah mula sibuk. Tapi di dalam bilik  ini, kami masih tenang. Masih bersedia mengumpul tenaga untuk amanah besar yang menanti hari ini.

2 comments:

Etuza said...

Asalamualaikum, saya free masuk kelas, alhamdulillah nampak keceriaan, nampak budi bahasa disantuni..syukur ada bekal makanan dari malaysia..Sentiasa hati -hati ya Ustaz..jaga kesihatan air minum kena yang benar2 bersih

MOHAMAD TAUFIK said...

jaga kesihatan di tempat orang

Post a Comment