Sahabat Sejati

Friday, 8 August 2025

Kembara Di Bumi India - Part 6: Tiba Masa Untuk Pulang

'Selfie terakhir bersama Mr Rafi sebelum memasuki airport, insan yang banyak membantu untuk bergerak kemana-mana'

Lima hari di bumi Tamil Nadu berlalu terlalu pantas. Seperti mimpi yang baru saja bermula.. dan kini sudah tiba masanya untuk pulang. 

Pagi itu, langit mendung sekejap, seolah-olah turut merasa berat hati. Mr Rafi datang menjemput kami seperti biasa dengan kenderaannya yang setia, dan senyuman separa sayu yang tak disembunyikan. 

"Today..last day, my friend?" tanya Mr Rafi sambil memandu perlahan. Saya angguk perlahan. "Yes, Rafi. But not the last memory." Dia tersenyum, tapi tidak berkata apa-apa. Mungkin dia juga sedang menyusun perasaan di hatinya sendiri. 


Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, saya hanya diam. Diam yang panjang.. kerana mata sibuk menangkap segalanya untuk kali terakhir. Sawah padi yang terbentang, pokok-pokok kelapa laut yang melambai perlahan. 

Setibanya di lapangan terbang, salam perpisahan dengan Mr Rafi terasa berat. 

"Next time, you come longer.. I take you to my village," katanya dengan loghat India yang pekat tapi menyenangkan. 

"InshaAllah, Rafi… kalau umur panjang." 

Kami berpeluk sebentar. Mata masing-masing berkaca, tapi kami memilih untuk ketawa, agar kesedihan itu tidak terlalu nyata. 

'Selesai melepasi pemeriksaan, untuk pulang ke Malaysia for good'

Tepat jam 2 petang, kami melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam India. Segalanya lancar, tapi hati saya semakin sebu. Duduk di kerusi balai berlepas, saya tarik nafas panjang. 

India ini terlalu ajaib. 

Bukan kerana bangunan klasik atau kota yang sibuk, bukan juga bingit hon yang bertalu-talu. Tapi kerana manusia-manusianya yang saya temui sepanjang perjalanan ini. 

Uncle Faruq dengan wajah tenangnya dan jambang putih laksana kapas. Mohd Khaleel, anak muda yang setia membantu tanpa banyak bicara. Abdul Hameed, yang mengangkat kotak demi kotak sambil tetap tersenyum walaupun peluh menitik. Dan ramai lagi, wajah-wajah yang tak sempat saya kenal namanya, tapi sempat singgah di hati saya. 

“Apa yang buat kau paling terkesan?” tanya seorang sahabat, perlahan. 

Saya pandang langit yang terlihat dari tingkap kaca besar itu. Lama saya diam, sebelum menjawab… 

“Ukhuwah.. Di tempat yang asing, saya rasa seperti pulang ke kampung halaman. Dan setiap senyuman mereka, seolah mengucapkan, kami tak kaya, tapi kami ada hati untuk dikongsi.” 

Kami terdiam sejenak, masing-masing memeluk sunyi. 

Sebenarnya, banyak momen lucu dan tak disangka yang berlaku sepanjang kembara ini, yang buat kami tersengih sendiri, malah ada yang hampir terguling ketawa. Tapi biarlah ia kekal sebagai rahsia kecil di balik cerita ini.. atas sebab-sebab yang tidak dapat saya nyatakan. 


Pesawat dijangka berlepas jam 3.40 petang. Tiket di tangan, tetapi separuh hati saya masih tertinggal, di tanah berdebu itu yang telah memberi terlalu banyak dalam masa yang terlalu singkat. 

Sebelum naik ke pesawat, saya sempat menulis satu nota kecil dalam telefon:: India bukan hanya destinasi, ia adalah hati yang terbuka, tangan yang memberi, dan pelukan yang tak pernah meminta balasan. Terima kasih, bumi Tamil Nadu. Kau bukan persinggahan.. Kau adalah kenangan yang akan kuziarahi dalam doa. 

Dan saat pesawat mula bergerak di landasan, saya pejam mata rapat-rapat. Menahan air yang hampir jatuh, tapi membiarkan hati terus mengalir… perlahan, dan dalam.

Selamat tinggal Tamil Nadu.. 

0 comments:

Post a Comment