Sahabat Sejati

Tuesday, 5 August 2025

Kembara di Bumi India - Part 2: Dari Tiruchirappalli ke Kumbakonam

'Tiruchirapalli International Airport Tamil Nadu'

Keluar saja dari lapangan terbang Tiruchirappalli, mata saya masih mencari-cari wajah asing yang bakal membawa kami ke destinasi. Tiba-tiba, seorang lelaki menghampiri saya dengan sopan. 

"Sir.." dia menegur perlahan, sambil menunjukkan skrin telefon bimbitnya. 

Saya tunduk melihat, dan tergamam seketika. Foto saya sendiri terpampang di skrin. Saya angguk perlahan, sambil tersenyum sedikit malu. Rupanya, sahabat saya yang menguruskan perjalanan kami di sini telah mengirimkan gambar saya terlebih dahulu untuk memudahkan pengecaman. 

Lelaki itu terus menghulurkan tangan. "Saya Rafi. Saya bawa encik ke Kumbakonam." Loghatnya ada pelat, tapi saya terkejut, dia boleh berbahasa Melayu! Rupanya, Rafi pernah bekerja di Malaysia beberapa tahun dahulu. 

“Saya kerja di Negeri Sembilan..” katanya dengan bangga. Kami terus mesra. Bahasa Melayu yang sedikit rojak itu terasa sangat menyenangkan di bumi asing ini. 

Tapi hati saya tersentuh bila dia berkata perlahan, "Saya tunggu encik hampir empat jam tadi..." Saya (kami) rasa bersalah. Ternyata bukan kami sahaja yang diuji dengan kelewatan, dia juga menanti tanpa rungutan. Saya menceritakan apa yang telah berlaku. 

Kami pun memulakan perjalanan, lebih dua jam dari Tiruchirappalli ke Kumbakonam. Kereta meluncur laju, terlalu laju untuk jalan yang penuh kenderaan dari pelbagai arah. Saya hanya mampu pasrah dan cuba menikmati pemandangan walaupun kiri dan kanan hanyalah  gelap-gelita. 

Sepanjang perjalanan, satu perkara jelas dan mencuri perhatian, tiada lampu isyarat. Tapi trafik tetap berjalan.. dengan cara India yang tersendiri. 

Dan satu perkara yang benar-benar ‘hidup’ di sini dan membuatkan saya terjaga sepanjang perjalanan: bunyi hon. Setiap 10 saat, pasti ada hon. Hon pendek, hon panjang, hon bertalu-talu. Hon seolah-olah jadi bahasa rasmi jalan raya di India. Seakan-akan setiap pemandu berkomunikasi melalui hon. Nak potong? Hon. Nak masuk simpang? Hon. Nak bagi salam pun mungkin.. hon juga.

'Trafik berjalan lancar biarpun nampak semrawut, cuma pastikan hon berfungsi dengan baik'

Ajaibnya, walau tampak semrawut, segalanya tetap mengalir. Seolah-olah India ini punya ritma yang hanya difahami oleh warganya sendiri. 

Saya hanya mampu tersenyum, sesekali tergelak kecil. Ini bukan kekecohan, ini budaya. Dan saya, seorang pengembara baru belajar menerima dan menghargainya. 

Akhirnya kami tiba di Kumbakonam. Kota ini sibuk, tetapi unik. Penuh warna, penuh suara, dan penuh jiwa. Walaupun letih, hati saya rasa hangat. Ada sesuatu yang istimewa sedang menanti di sini, saya pasti.

Saya tarik nafas perlahan, dan bisik dalam hati: “Okey India, aku sedia untuk hari pertama kita bersama.”

Sunday, 3 August 2025

Kembara di Bumi India – Part 1: Ujian Bermula di KLIA

`Kami berempat kena sidai 4 jam di KLIA`

Setiap kembara ada permulaannya. Tapi siapa sangka, sebelum kaki sempat menjejak tanah India, saya sudah diuji dengan kesabaran yang bukan calang-calang. 

Hari itu di KLIA, flight saya ke Tiruchirappalli (ya, cuba sebut tiga kali tanpa tergeliat lidah!) sepatutnya berlepas jam 8 malam. Tapi takdir berkata lain. Satu demi satu pengumuman bergema, dan akhirnya diumumkan—flight delay selama 4 jam. 

Empat jam. Kalau saya di rumah, mungkin dah sempat sidai baju, makan malam, dan tonton dua episod drama Tamil. Tapi di KLIA, saya hanya ada kerusi keras, kopi mahal, dan hati yang perlu kuat. 

Tapi saya tenang. Saya tahu, ini baru 'warm up'. Kembara ini bukan tentang selesa, tapi tentang bersedia. Dan saya mula belajar untuk redha, dari awal. 

Tiba di Tiruchirappalli... 

`Alhamdulillah, menjejakkan kaki di bumi Tami lNadu India`

Jam 4 pagi waktu tempatan, akhirnya saya jejakkan kaki di bumi India. Lapangan terbang baru, Saya difahamkan baru beroperasi tidak sampai sebulan. Belum ada kiosk peniagaan yang dibuka, orangnya pun tidak ramai,. Tapi hati saya teruja—ini bumi yang penuh warna, budaya dan cabaran.

Cabaran pertama: bahasa. 

Ya, mereka boleh berbahasa Inggeris.. tapi "pelat India" itu bukan biasa-biasa. Kadang-kadang saya tertanya sendiri, “Dia cakap English ke Tamil?” Saya senyum saja, angguk perlahan—walaupun jujurnya tak berapa faham. (Saya pun kurang fasih berbahasa Inggeris) 

Tapi di sebalik kekeliruan itu, saya nampak keikhlasan. Mereka cuba bantu, mereka sabar walaupun saya blur. Dan saya belajar satu perkara penting—bahasa tubuh dan senyuman itu kadangkala lebih berkesan dari ribuan kosa kata. 

Ini baru permulaan. Tapi saya tahu, hati saya sudah mula jatuh cinta dengan bumi ini.

Tuesday, 29 July 2025

Sungai Pahang - Bersama angin, bersama arus yang sabar.

Dengan sebuah bot tiup sederhana (inflatable boat), aku dan dua rakan mudik perlahan ke hulu Sungai Pahang, sungai tua yang menyimpan rahsia negeri dan cerita bangsa. Airnya keruh keemasan, tidak deras, tetapi tetap punya arah dan cita. Sesekali angin menyapa pipi, menyiram wajah dengan titis halus air yang terpercik dari birai bot yang melanggar arus. 

Di kiri dan kanan, rumah-rumah kayu berdiri setia di tebing, seperti penjaga waktu. Ada yang masih kukuh, beratap zink yang berkarat manja; ada juga yang condong, namun tetap tabah berdiri, mengingatkan aku kepada nenek tua yang sabar menunggu cucu pulang dari perantauan. 

Anak-anak kampung melambai dari pangkin, ada yang menjerit girang melihat botku, seperti melihat sesuatu dari luar dunia mereka. Ayam berkokok, lembu menguak, burung ruak-ruak terbang berkawan di celah semak bakung. Dan jauh di hutan seberang, bunyi seruling alam, mungkin dari burung tukang atau dari masa lalu yang bersiul pada kenangan. 


Aku terus mudik. Dalam diam, aku dengar denyut jantung sungai ini. Ia bukan sekadar sungai. Ia seperti urat nadi orang Pahang, membawa kisah pahlawan, nelayan, petani, dan anak-anak kecil yang membesar dengan mimpi di dalam pelita malam. 

Tiada kota, tiada deruan kenderaan bersimpang-siur. Hanya tenang yang menyapa jiwa, dan alam yang berbicara dengan bahasa sunyi. Di sungai ini, aku tidak mencari ke mana aku mahu pergi. Tapi aku sedang mengingat siapa aku pernah jadi.

Sunday, 27 July 2025

Tahniah abang pupu koi.. Maulana Che Wan Helmi al-Hafiz

 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada YH Maulana Dato’ Haji Cik Wan Helmi bin Wan Mohamed, atas penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Dato’, oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. 

Sesungguhnya penganugerahan ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna atas jasa dan sumbangan besar YH Dato’ dalam medan dakwah, pendidikan dan pembangunan umat Islam. 

Barakallah Fikum.

Tuesday, 22 July 2025

Di Hadapan Deretan Buku..


Aku merenung rak buku yang kian padat. Deretan naskhah tersusun rapat, ada yang sudah lama tidak disentuh, ada yang masih berbalut plastik sejak dibeli. Anggaranku, mungkin mencecah ribuan judul. 

Dari buku-buku agama yang menenangkan jiwa, novel yang membawa terbang ke dunia fiksi, catatan travelog yang mengembara tanpa bergerak, motivasi yang membakar semangat, kisah mistik dan horror yang sering kutatap tika lewat malam, hinggalah ke genre sejarah yang paling banyak menghuni rak, penuh kisah silam yang menjadi cermin masa depan. 

Sejarah... itulah cinta pertama yang aku kenali sejak kecil. Ketika rakan-rakan sebaya bermain di halaman, aku sudah tekun membelek buku teks abang dan kakak. Tiada siapa memaksa, tiada hadiah yang dijanjikan. Cuma rasa ingin tahu yang bergelora dalam dada seorang anak kecil. 

Dek kerana terlalu obses dengan buku dan membaca, setiap bulan, aku pastikan ada sekurang-kurangnya satu buku baharu menghuni ruang rak, bagaikan hadiah kecil untuk jiwa yang dahagakan ilmu. 


Namun, masa kini semakin laju berlari. Usia makin bertambah, tetapi masa untuk membaca makin menipis. Kesibukan kerja, tanggungjawab yang menimbun, keletihan tubuh yang tidak lagi sekuat dahulu, semuanya menjadi alasan yang membatasi aku dari berdamai dengan minat lamaku ini. 

Sesekali, aku duduk membelek kembali helaian lama. Bau kertas yang pudar masih menggamit kenangan. Ada catatan tangan yang pernah kutulis di tepi margin. Ada cebisan kenangan bersama setiap buku, seolah-olah aku pernah hidup dalam setiap halaman itu. 

Buku-buku itu seperti sahabat lama. Mereka menunggu aku tanpa merungut. Dan aku... masih percaya, satu hari nanti aku akan kembali duduk diam bersama mereka. Kerana cinta yang sebenar tak pernah padam, ia cuma berehat sebentar, menunggu masa yang tepat untuk kembali menyala.

Monday, 21 July 2025

Damai

Dalam dakapan alam, aku belajar apa itu tenang.
Burung bernyanyi, angin menyapa, hujan bernada.
Segalanya sederhana… tapi cukup membahagiakan.

`Bukit Panorama, Sungai Lembing`

Saturday, 19 July 2025

Selamat hari lahir untuk diri sendiri, antara gembira dan hening rasa..


 
Hari ini, ulang tahun kelahiran saya. Maka banyaklah ucapan yang saya terima daripada rakan-rakan di media sosial. Keluarga saya terlebih dahulu meraikannya, dengan pelukan, doa dan senyuman. Dari satu sudut, saya merasa amat gembira. Terharu pun ada. Namun, dari satu sudut yang lain, saya tertanya-tanya, apakah perasaan sebenar saya? Apakah benar-benar saya merasa gembira?

Setiap kali menjelang tarikh seperti ini, saya seolah-olah berdiri di persimpangan rasa. Ucapan-ucapan yang datang bak gerimis kata, satu persatu menyentuh hati, namun jauh di sudut paling dalam, saya tahu, tarikh ini bukan sekadar untuk dirai. Ia juga adalah peringatan. Bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian.

Ucapan demi ucapan selamat hari lahir… rupanya seumpama memendekkan masa lalu, dan mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad.

Apakah makna sebuah hari lahir, jika bukan untuk mengingati nikmat masa yang masih dipinjamkan? Apakah erti bertambah usia, jika tidak bersedia menambah amal sebagai bekal pulang ke negeri abadi?

Hari ini saya tersenyum, namun dalam hati ada hening yang tidak terlihat. Bukan kerana tidak bersyukur, bukan kerana tidak bahagia… tetapi kerana saya sedar, hidup ini hanyalah persinggahan, dan setiap ulang tahun adalah isyarat halus bahawa masa terus berjalan… dan ajal kian hampir.

Maka saya mohon kepada Tuhan, agar usia yang tinggal ini menjadi kesempatan untuk lebih tunduk, lebih insaf, lebih kembali.

Selamat hari lahir untuk diri sendiri. Semoga setiap hela nafas yang masih diizinkan, adalah nafas yang mengingatkan, bukan melalaikan.

Thursday, 17 July 2025

Mutiara Al-Quran dari Lombok - Sebuah pertemuan dengan Hafidz Cilik Indonesia, Naja Hudia yang luarbiasa

'Bersama Naja dan bapanya di rumah datuknya'
 
Dalam perjalanan menelusuri bumi Mataram, Lombok, tanah yang memeluk damai dan kesederhanaan, saya dipertemukan dengan sosok kecil yang luar biasa: adik Muhammad Naja Hudia Afiffurohman, atau lebih akrab disapa Naja. Kisahnya pernah tular semasa program Hafidz Cilik Indonesia 2019

Pertemuan kami bukan sekadar kebetulan biasa. Ia adalah sebuah takdir yang membungkus hikmah, menyapa jiwa dalam diam. Di rumah datuknya yang sederhana, saya melihat sinar istimewa dalam raut wajah Naja , wajah yang tidak lelah dengan ujian, namun sarat dengan keikhlasan dan cahaya iman.

Naja, seorang anak kecil yang diuji sejak bayi dengan penyakit lumpuh otak (cerebral palsy). Tubuhnya kaku, sulit bergerak, apalagi berdiri atau berjalan seperti anak-anak lain. Namun Allah menggantikan kekurangannya dengan anugerah luar biasa: kemampuan menghafal seluruh 30 juzuk al-Quran pada usia 9 tahun. Bukan itu sahaja, adik Naja juga telah menghafal rerjemahan al-Quran, mampu mengingat muka surat, nombor ayat dan sebagainya. Subhanallah, luarbiasa!

'Di hadapan rumah datuknya'

Bayangkan... dalam keadaan tidak mampu menulis, tidak mampu bermain bebas, bahkan tidak mampu menjaga dirinya tanpa bantuan orang lain, Naja tetap mampu menakluk mukjizat Kalamullah. Setiap huruf di bibirnya adalah bukti bahawa kekuatan bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang bersandar kepada Ilahi.

Saya terdiam panjang saat mendengarkan bacaan ayat-ayat suci dari bibir kecilnya. Lancar, fasih, dan menyentuh kalbu. Jiwanya seakan hidup dalam alunan wahyu, mengingatkan saya bahawa kecacatan fizikal bukan alasan untuk berhenti menjadi insan luar biasa.

'Program Hafiz Cilik Indonesia 2019' ~ sumber foto
 

Adik Naja bukan sekadar Hafidz. Dia adalah cahaya. Sebuah pelita kecil yang menyalakan harapan pada kita yang sering lupa mensyukuri nikmat sempurna.

Dan saya pulang dari pertemuan itu bukan dengan tangan yang penuh oleh-oleh, tapi dengan jiwa yang penuh keinsafan dan semangat baru.

Kerana dari Naja, saya belajar satu perkara penting. Bila Al-Quran menjadi pelita dalam gelap hidupmu, maka tiada cacat yang dapat menghalangimu untuk bersinar.

Monday, 14 July 2025

Kenangan Masa Kecil di Kampung – Suatu waktu yang tidak akan kembali

'Desaku yang semakin berubah citra wajahnya'
 

Waktu kecil, kampung bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah seluruh dunia. Rumah kayu beratap zink, lantainya berkeriut bila dipijak, menjadi istana dalam khayalan kami. Di halaman, kami berlari tak kenal letih, mengejar ayam, menyorok di balik pohon pisang, bermain lumpur di tepi parit.

Bunyi cengkerik mula bersahutan kala senja menjelang. Dari dapur, bau nasi panas dan ikan kering goreng menguar, ibu memanggil dengan suara yang hanya seorang anak boleh kenal. Dan hati akan segera tenang, walau hujan tiba-tiba turun mencurah.

Kampung adalah tempat segalanya bermula. Tempat di mana luka di lutut dirawat dengan ludah kasih seorang ibu, dan duka di hati anak kecil dibaiki hanya dengan sebutir gula-gula.

Hari ini, semuanya mungkin telah tiada. Halaman rumah tempat aku dan rakan-rakan mengejar sebiji bola semakin sempit,  Pohon jambu air yang kami panjat, rebah. Parit kecil tempat kami mandi hujan, kering. Rumpun buluh tempat aku mengikuti ibu menggali rebung, lenyap ditolak jentera besi. Namun kenangan itu, tetap hidup di satu sudut jiwa, yang tak pernah tumbuh tua.

A-Fatihah kepada semua yang telah pergi mendahului..  

Thursday, 10 July 2025

Kenangan masih basah: Bila dahan pokok tak setia

foto hiasan ~ sumber

Langit tak selalunya cerah. Dan budak yang selalu panjat pokok pun ada harinya jatuh tergolek macam nangka busuk. 

Hari tu aku ingat lagi. Pokok jambu air belakang rumah. Daun dia lebat, buah dia merah meranum, aku tak fikir panjang, terus panjat macam biasa. Langkah yakin, genggaman kuat, siap menyanyi lagu ciptaan sendiri. Tapi dahan yang aku sangka gagah rupanya tua dan rapuh… dan krakkkk! 

Tak sempat fikir apa-apa, dunia berputar. Langit bertukar tanah. Aku jatuh. Bunyi taklah kuat sangat, tapi egoku pecah berkeping-keping. Lutut calar, siku luka, pipi comot dengan tanah. Tapi itu semua bukan masalah besar. Yang paling sakit, mak aku nampak.

“HAH! Dah kena! Dah cakap dahhh.. panjat lagi panjat! Nanti patah baru tahu!” Itu dialog mak sambil tangan capai minyak gamat. Pedihnya bukan main. Tapi aku tahan, sambil sengih dan minta ampun. 

Petangnya, aku duduk termenung bawah pokok. Merenung ke atas macam seorang pendekar kalah perang. Tapi jauh di hati, aku tahu, esok aku akan panjat lagi. Cuma mungkin.. pelan-pelan dan tengok dulu dahan mana yang setia. 

Itulah aku. Budak kampung yang percaya pokok adalah sahabat, Dan setiap calar luka adalah medal keberanian zaman kanak-kanak.

Wednesday, 9 July 2025

Kenangan masih basah: Di pucuk pokok

foto hiasan ~sumber

Masa kecil dulu, dunia aku tak besar mana. Tapi setiap kali nampak pokok, tak kira pokok jambu air, rambai, atau kuini, hati aku jadi tak sabar. Ada satu saja misi: panjat sampai ke pucuk yang paling tinggi. Kononnya, dari situ aku boleh tengok dunia.. atau paling tidak pun, jadi raja segala ranting. 

Kadang-kadang aku menjerit sekuat hati dari atas dahan, “Burung-burung! Bawa aku terbang sama!” Burung-burung itu tak pernah jawab. Tapi aku tetap berharap, mungkin satu hari nanti, sayap akan tumbuh di belakangku. Budak-budak, naif, tapi bahagia. 

Ada masanya, aku menyanyi sendirian. Lagu tak tentu arah, tapi penuh perasaan. Aku goyangkan dahan kiri kanan ikut rentak sendiri. Dahan bergoyang, daun bergesel, bunyinya macam iringan orkestra alam. Awan pun kadang berhenti sekejap, mendengar suara sumbangku dengan sabar. 

Bawah pokok tu, dunia terus sibuk. Tapi di atas sana, aku rasa bebas. Tiada siapa suruh aku diam. Tiada kerja sekolah. Tiada perasaan takut. Yang ada cuma angin, langit, dan khayalan kecil seorang budak yang percaya apa saja boleh berlaku. 

Indahnya zaman itu. Zaman di mana pucuk pokok menjadi tempat berangan. Tempat aku belajar tentang tinggi dan jatuh. Tentang sunyi dan gembira. Tentang menjadi diri sendiri, sebelum dunia ajar aku jadi ‘dewasa’.

Hiking di Bukit Pelindung – Bila Lutut Terkejut

`Trek tar yang agak mudah berbanding trek denai` (sumber foto)

Tak tahu angin apa pagi tu, tiba-tiba aku semangat nak mendaki Bukit Pelindung. Mungkin sebab malam sebelumnya makan nasi lemak dua bungkus, rasa bersalah tu kuat. Atau mungkin juga sebab anak-anak ajak dengan ayat keramat: “Jomlah abi, santai je.. lama dah tak naik, tak tinggi mana pun.” (Ha. yelah tu)

`Masa ni along Ikhwan dan angah Irsalina dah jauh ke depan😅`

Langkah mula-mula steady je, macam hero dalam filem aksi. Tapi lepas 15 minit, peluh dah macam air longkang musim tengkujuh. Nafas pun dah bukan satu-satu, dah jadi setengah setengah. Mujur trek Bukit Pelindung ni dah bertar. (trek denai pun ada tapi sentiasa tidak menjadi pilihan)

 
(sumber foto)

Sedikit info mengenai Bukit Pelindung dari laman web Jabatan Hutan Pahang:  Keluasan Pembangunan lebih kurang 10 hektar. Kedudukan 5km dari Bandar Kuantan melalui jalan Beserah atau Jalan Sisek. Ketinggian lebih kurang lebih 200 meter. Trek tar ada yang agak curam

Keadaan Hutan yang nyaman dengan pelbagai flora dan fauna serta permandangan Laut China Selatan di sebelah barat tentunya melapangkan fikiran. Kawasan yang paling sesuai dengan aktiviti senaman, pendakian serta penjelajahan hutan. 


Tapi bagi aku yang bestnya, suasana hutan tu tenang. Bau daun, bunyi unggas, dan angin sejuk buat aku rasa macam balik kampung. Teringat dulu panjat pokok jambu, sekarang panjat bukit, bezanya cuma lutut dah mula merengek, “Kenapa kita buat semua ni?” 

Sampai kat puncak, masyaAllah, pemandangan terus buat aku lupa semua derita tadi. Laut luas, langit cerah, angin lembut sapu muka. Rasa damai sangat. Aku duduk sekejap, hirup udara dalam-dalam, macam nak simpan dalam botol buat kenangan. 

`Puncak tertinggi di hadapan pagar pencawang Telekom` 

Lepas tu turun punyalah hati-hati, sebab kaki dah serupa mi goreng tak cukup keras. (maklumlah dah tua hehe)

Nak ajak orang hiking? Gunakan ayat ni: Bukit Pelindung – tempat di mana semangat naik, tapi lutut cepat mengalah😅.

Thursday, 3 July 2025

Misi Korban di Lombok 2025- Bahagian 4: Setelah Daging Dibahagi, Kini Tiba Giliran Hati Dicuci

Subuh menjelma di bumi Lombok dengan dingin yang menggigit lembut. Angin dari gunung turun menyapu wajah, membawa harum tanah yang baru saja disirami darah korban semalam. 

Azan berkumandang dari masjid berdekatan yang sebaris dengan rumah penduduk. Suaran muazzin bersahut-sahutan seperti suara seorang ayah yang lama tak memanggil anaknya pulang. 

Aku bangun, menyarungkan kain pelikat dan menyusuri aspal jalan bersama beberapa warga yang sama menuju ke rumah Allah. Di sejadah lusuh, aku sujud. panjang. Dan untuk pertama kalinya dalam waktu yang lama, air mataku jatuh tanpa perlu sebab yang jelas. Mungkin kerana rasa syukur. Mungkin kerana aku tahu, semalam aku telah melepaskan sesuatu, bukan sekadar haiwan korban, tetapi cebisan diriku yang terlalu lama terikat pada dunia. 


Selepas Subuh, kami bersarapan bersama beberapa warga desa. Juadahnya ringkas. Oh ya aku hampir terlupa, di sini mereka biasa bersarapan dengan nasi, Tidak dengan kuih-muih seperti di Malaysia. Nasi hangat, sambal tomat lombok dan gulai daging??  Tidak lupa kopi Lombok yang pahitnya menyegarkan. 

Tiada protokol. Tiada jarak. Antara aku dan mereka. Kami semua sama di pagi ini: hamba yang sedang belajar redha dan memberi. 

Aku sempat duduk bersama seorang pak tua, janggutnya putih, matanya tajam tapi penuh lembut. Katanya perlahan: “Korban yang sebenar… bukan pada darah dan daging. Tapi pada ego yang jatuh, pada keikhlasan yang bangkit. Kamu datang dari jauh, tapi pulang nanti jangan dengan tangan kosong, bawalah hati yang baru.” 

Kata-katanya mengendap ke dalam fikiranku, membekas. 

Tengahari itu, aku mengemas. Pagi ini ada sahabat dari Rinjani datang menjemput ke resort miliknya. Namanya Ustaz Zamroni, pemilik resort Taman Syurga Rinjani, pernah tinggal di Malaysia, menjadi tenaga pengajar di sebuah Maahad Tahfiz.

Beberapa penduduk mengiringi kami dengan bual dan tawa. Bapak Najmuddin memegang tanganku dan berkata, “Harap dapat datang lagi tahun depan… kami tetap doa setiap malam.” 

Aku tersenyum, hampir tewas di situ. 

'Seorang sahabat menjemput wisata ke resort milik beliau'

Hari korban sudah berlalu… tapi getarnya masih tinggal. Bersama bau tanah, bersama wajah-wajah yang tidak akan kulupa. 

Dan aku tahu, aku tidak akan pernah kembali menjadi ‘aku’ yang dulu. Bumi Lombok ini telah mengajar erti sebenar penyembelihan, bukan hanya pada leher haiwan, tetapi pada kebekuan hati yang selama ini terlalu mencintai diri sendiri.

Saturday, 21 June 2025

Misi Korban di Lombok 2025- Bahagian 3: Di Antara Darah yang Mengalir dan Doa yang Menyatu


Pagi itu, matahari Lombok terbit perlahan, malu-malu memancar di celah awan yang bersulam emas. Udara desa masih segar, dengan aroma rumput basah dan bau kayu dari dapur yang mula berasap. Hari ini bukan hari biasa. 

Hari ini hari korban. 

Aku berdiri di hadapan seekor sapi yang jinak. Nafasnya lembut, matanya seperti memahami. Dalam hatiku, ada rasa halus yang bergolak, bukan kerana takut, tapi kerana sedar akan erti besar di sebalik penyembelihan ini. Dengan lafaz Bismillah, pisau meluncur perlahan, dan darah suci itu mula mengalir, membasahi tanah yang merah membara. 

'Lembu ke-dua'

Saat itulah hatiku berbisik: "Aku bukan sekadar menyembelih haiwan korban… tetapi aku menyembelih juga sifat mazmumah dalam diriku, riak yang tersembunyi, takbur yang membisu, dan cinta dunia yang sering memelukku dalam diam." 

Dalam deras darah itu, aku bayangkan luruhnya segala keangkuhan, segala cinta diri yang membutakan. Hari ini, aku mahu jadi hamba yang benar-benar tunduk— bukan sekadar di mata manusia, tetapi di sisi Tuhan yang Maha Menyaksi. 

 

'Kambing akikah'

Seekor demi seekor, kami sempurnakan korban. Setiap satunya bukan hanya daging dan tulang, tapi tanda kasih, amanah, dan doa-doa dari hati yang ingin memberi. 

Kemudian, saat yang paling membahagiakan pun tiba: pembahagian. 

Anak-anak yatim berlari ceria, wajah mereka bercahaya. Seorang ibu tua menggenggam erat bungkusan daging sambil mengucap syukur berulang-ulang, dan seorang lelaki berkerusi roda menitiskan air mata, hanya kerana ada insan yang sudi menghulur… 


 Malamnya, kenduri syukur. 

Api unggun menyala di halaman pesantren. Periuk besar mendidih, bau gulai semerbak menyatu dengan gelak tawa. Lampu minyak menggantung rendah, dan suara zikir beralun lembut di antara kompang dan gurauan anak muda. 

Di tengah kenduri itu, aku duduk sejenak… memandang ke langit. Bintang-bintang seakan lebih rapat malam ini, seolah-olah turut meraikan malam korban yang penuh makna. 

Dan aku tahu, ini bukan sekadar misi. Ini adalah penyucian. Ini adalah perjalanan pulang… kepada fitrah.

Friday, 20 June 2025

Misi Korban di Lombok 2025 – Bahagian 2: Di Pulau Seribu Masjid

'Dasan Baru, Korleko'

Lombok, tanah yang digelar Pulau Seribu Masjid, menyambut kami bukan hanya dengan azan yang bergema dari pelbagai arah, tetapi dengan hati yang terbuka luas. Di lapangan terbang, kelihatan sosok sederhana menunggu penuh sabar. Dialah Bapak Najmuddin, insan berhati emas yang menjadi tulang belakang perjalanan kami di sini. 

Dengan senyum tidak pernah lekang, beliau membawa kami rumahnya dengan kereta kepunyaan rakannya yang disewa. Jarak dari lapangan terbang ke sana mengambil masa kira-kira satu jam setengah mengharungi jalan raya yang macet. 

Kami menginap di sebuah rumah kosong milik kakaknya, hanya bersebelahan dengan rumahnya.  (kakak bapak Najmudin tidak tinggal di situ)  Rumah yang sederhana tetapi sarat makna. Tanpa ragu, beliau menjemput kami menumpang teduh, seolah-olah kami bukan tamu, tetapi keluarga yang telah lama dinanti. Tiada tilam empuk atau pendingin hawa, namun keramahan dan keikhlasan beliau cukup menjadi selimut yang menghangatkan hati. 

'bapak Najmuddin membawa aku bersiar-siar di sekitar desanya'

Sepanjang hari, Bapak Najmuddin bersusah payah membantu, menyediakan makan, minum dan keperluan kami semasa di sini, membawa kami ke kandang ternakan haiwan untuk membeli kambing dan sapi. Beliau juga menyusun jadual agihan daging korban kepada fakir miskin dan anak-anak yatim. menyediakan apa yang sepatutnya bagi majlis kenduri akikah untuk pelajar-pelajar pesantren, demi memastikan segalanya berjalan lancar. Kebaikannya tidak meminta balasan. Katanya, “Kalau bisa bantu, itu sudah rezeki dari Allah.” 

Kami terdiam, kagum dan terharu. 

Dalam dunia yang makin pantas dan penuh hiruk-pikuk, kami temui nilai yang perlahan-lahan pudar, kebaikan tanpa syarat. Di rumah kecil ini, kami belajar bahawa erti korban bukan hanya pada darah yang tumpah, tetapi juga pada peluh yang mengalir demi memudahkan urusan orang lain. 

Dan di bumi Lombok ini, kami sedang belajar.. bahawa kasih sayang bukan memerlukan bahasa yang sama, cukup hati yang saling memahami.

Tuesday, 17 June 2025

Misi Korban di Lombok 2025 – Bahagian 1: Langkah Pertama di Tanah Seberang


Langit cerah di Kuala Lumpur menghamparkan tirai jingga, menyambut langkah awal kami dalam satu perjalanan suci, misi korban ke bumi Lombok, Indonesia. Di balai pelepasan KLIA, kami bukan sekadar membawa bagasi, tetapi membawa tekad, amanah dan harapan untuk menyantuni saudara seiman di tanah seberang. 

Setiap senyuman dalam pasukan menjadi cahaya, membakar semangat. Di hati masing-masing, tersemat doa agar ibadah korban tahun ini bukan sekadar penyembelihan, tetapi sebuah jambatan kasih antara dua dunia, yang memberi dan yang menerima. 

Beberapa jam kemudian, pesawat menyentuh landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zainuddin Abdul Madjid, Lombok. Angin tropika menyapa lembut, seakan mempersilakan tetamu dari Malaysia dengan dakapan hangat. Di kejauhan, kelihatan sawah menghijau dan gunung berbalam, panorama yang menenangkan jiwa seorang musafir. 

Langkah kami di bumi Lombok baru bermula, namun getarnya telah terasa. Kami datang bukan sebagai pelancong, tetapi sebagai saudara yang membawa kasih dari jauh, kasih yang akan dititip melalui sembelihan suci dan senyuman ikhlas. 

Ini bukan hanya tentang korban.. ini tentang menyambung nyawa ukhuwwah merentas sempadan.

Tuesday, 27 May 2025

Hujan, Nostalgia Dan Masa Kecilku

sumber foto

Jam menunjukkan 6.30 petang.

Petang ini, langit muram menumpahkan air matanya tanpa henti. Hujan lebat mencurah-curah, seolah-olah bumi sedang dimandikan oleh kasih alam yang tidak pernah jemu memberi. Guruh berdentum perlahan, dan kilat sesekali mencarik langit kelabu, namun bukan itu yang menggoncang hatiku, sebaliknya, adalah rasa yang perlahan-lahan menyelinap dalam diam, mengheret aku kembali ke satu ruang masa yang telah lama berlalu: zaman kanak-kanakku yang indah, yang kini hanya tinggal kenangan. 

Tatkala titisan hujan menari di jendela, aku teringat pada sebuah rumah papan di hujung kampung, tempat aku membesar, dibesarkan oleh tangan-tangan yang penuh kasih. Atap zink yang disapa titisan hujan sentiasa memetik melodi yang syahdu, cukup untuk membuatkan kami adik-beradik lena dalam dakapan bonda. Bau tanah basah yang meresap masuk ke dalam rumah, berpadu dengan haruman kopi panas yang sedang mendidih di atas dapur kayu, menjadi aroma syurga yang tak mungkin dicipta semula hari ini. 

Musim hujan waktu kecil adalah musim permainan dan pelarian dari dunia dewasa. Kami akan meluru ke laman, menari dalam hujan tanpa risau akan demam atau marah ibu. Kami cipta empangan kecil di pari kecilt, belayar dengan daun keladi, dan ketawa hingga hilang suara. Baju lencun bukan beban, malah menjadi lambang kemenangan. Namun kini, hujan yang sama hanya mampu aku pandang dari balik jendela kaca, sambil hati diselubungi rindu yang tak tertanggung. 

Ada satu saat, dalam diam hujan, aku teringat pada ayah. Lelaki yang dulu akan membimbit aku pulang dari surau, melindungiku dengan payung lusuh sambil membiarkan dirinya kuyup. Wajah itu kini semakin kabur dalam ingatan, namun setiap titis hujan seakan membisikkan namanya. Oh, betapa aku rindukan dia.

sumber foto

Hujan membawa sebak yang tak mampu kuungkapkan pada siapa-siapa. Ia menyentuh jiwa dengan cara yang hanya dikenali oleh hati-hati yang pernah merasa kehilangan, yang pernah bahagia dalam kesederhanaan, dan kini hanya mampu mengenangnya dengan linangan air mata. 

Dalam rintik hujan yang tak putus-putus, aku belajar satu perkara: masa lalu tidak pernah benar-benar pergi. Ia hidup dalam bau hujan, dalam bunyi atap yang disapa, dalam degup hati yang masih merindui apa yang telah lama hilang. Dan setiap kali hujan turun, aku tahu, zaman kecilku memanggil, membawa damai yang tak terucap, dan luka yang indah untuk dikenang

Tuesday, 20 May 2025

Kenangan Yang Tak Mungkin Kembali

'Nostalgia sungguh bila makan isi kelapa guna sudu kulit kelapa, teringat zaman bebudak dulu'

Semakin jauh langkah dewasa ini membawa, semakin kuat pula rindu itu menjerat jiwa. Aku rindu, bukan pada seseorang, tetapi pada suatu masa yang telah lama berlalu: zaman kanak-kanakku yang polos, jujur, dan bebas dari beban kehidupan. 

Di sanubari, masih jelas terukir bunyi riuh kami bermain di laman, bertelanjang kaki mengejar bayang sendiri, ketawa tanpa risau. Hujan bukan musuh, malah jemputan untuk menari di bawah langit kelabu. Selut di kaki hanyalah bukti keseronokan yang tidak terhingga. Dunia waktu itu cukup dengan sebiji guli, sehelai layang-layang, atau sekadar dahan pokok yang dijadikan pedang khayalan. 

Waktu itu, hati tidak pernah tahu apa itu kecewa, apatah lagi derita. Luka di lutut lebih cepat sembuh daripada luka rindu hari ini. Kehidupan terasa panjang, dan setiap hari seperti helaian baru yang sedia untuk dicoret dengan warna-warna ceria. Ibu adalah dunia, ayah adalah wira. Dan rumah kecil itu adalah istana segala kebahagiaan. 

Kini, semuanya telah berubah. Kita dewasa, dan masa lalu itu perlahan-lahan menjadi kabur seperti mimpi yang cuba diingati selepas terjaga. Namun yang tinggal cuma rasa, rasa rindu yang sesekali menyapa tanpa amaran. Ia datang dalam sunyi malam, dalam lagu lama, atau sekadar dalam aroma makanan kegemaran yang pernah ibu sediakan. 

Betapa indahnya kalau masa boleh diputar kembali. Bukan untuk mengubah apa-apa, tetapi sekadar mahu merasa sekali lagi bagaimana rasanya menjadi anak kecil yang percaya dunia ini sempurna. Tapi kita tahu, masa hanya tahu pergi, tidak tahu menoleh. 

Dan kini, aku hanya mampu memeluk kenangan. Kerana zaman kanak-kanak itu telah pun pergi, membawa bersama bahagiaku yang paling tulus.

Friday, 16 May 2025

Rehat Minda: Pesan Murabbi 129

foto hiasan ~ sarapan bersama Ummu Ikhwan
 

Assalamualaikum dan salam Jumaat yang diberkati. 

Kata murabbi: Jangan meletakkan syarat yang rumit untuk bahagia, nikmati hidupmu tanpa membandingkan dengan orang lain..

#resepibahagia

Wednesday, 14 May 2025

Simpati dan Solidariti Buat Rakyat Palestin


Duka bumi Palestin bukan sekadar berita, tetapi luka yang menikam nurani kemanusiaan. Setiap runtuhan bangunan, setiap tangisan anak kecil, dan setiap jasad yang terkorban adalah saksi bisu terhadap kezaliman yang berpanjangan. Di tanah yang suci itu, darah tumpah bukan kerana dosa, tetapi kerana mereka menuntut hak untuk hidup dengan bermaruah. 

Kami menzahirkan simpati yang mendalam kepada seluruh rakyat Palestin. Derita mereka adalah tanggungjawab kita bersama sebagai insan yang punya hati dan iman. Dalam gelora penderitaan ini, doa adalah senjata yang tidak terlihat, namun paling tajam dan mustajab. Maka marilah kita bersatu dalam munajat, memohon perlindungan Allah buat mereka yang dizalimi. 

Namun simpati tidak cukup dengan kata. Hulurkan juga bantuan kewangan dan sokongan melalui saluran yang diyakini, agar setitis rezeki kita menjadi harapan buat yang kehilangan. Sesungguhnya, tangan yang memberi adalah jambatan kepada rahmat, dan keprihatinan kita adalah cahaya kecil yang mampu menerangi gelapnya penindasan. 

Palestin bukan hanya kisah mereka. Ia adalah ujian buat dunia: apakah kita masih punya hati?

Wednesday, 7 May 2025

Perginya Permata Ummah Negeri Pahang

 

انا لله وانا اليه راجعون اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهَ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَس وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجٙا خَيْرًا مِنْ زَوْجٙهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ. 

Khabar dukacita mengetuk hening pagi. Negeri Pahang kehilangan seorang ulama sesepuh dan yang tertua dengan kembalinya ke rahmatullah Tuan Guru Haji Mohd Baqi Bin Othman pada hari ini 7 Mei 2025. Dalam usia 85 tahun, pemergian beliau meninggalkan kesan yang mendalam buat ahli keluarga, murid-murid, dan masyarakat yang pernah menimba ilmu serta menerima bimbingannya. 

Tuan Guru Haji Mohd Baqi Bin Othman dilahirkan pada tahun 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor, Pahang. Allahyarham mula mendapat pendidikan awal di kampung halaman sehingga darjah lima dan kemudian pada tahun 1958, beliau memasuki Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan selama 10 tahun sebelum berangkat ke Mekah. 

Di antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Lubuk Tapah, Syeikh Daud Bin Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Bin Alwi al-Maliki, Syeikh Hassan Masyath dan ramai lagi. 

Setelah 6 tahun belajar di Mekah beliau pulang ke tanah air dan mendirikan sebuah pondok pengajian di Kampung Sungai Gau, Temerloh, Pahang. Seterusnya beliau membuka sebuah lagi pondok pengajian yang diberi nama Madrasah Saadah al-Daraini di Kampung Lanting, Chenor, Pahang atau lebih dikenali dengan nama Pondok Lanting. 

Beliau aktif menyampaikan ilmu menerusi kuliah dan penulisan, serta dikenali kerana pendekatan dakwah yang berasaskan ilmu turath dan tasawuf. 

Tuan Guru Haji Mohd Baqi merupakan penemu kepada telaga air Gau di Temerloh pada tahun 1991. Beliau telah menemui sumber air ini setelah membuat solat hajat kerana pada waktu itu pondoknya tiada sumber air. Pada suatu malam beliau telah bermimpi seseorang telah datang menunjukkan tempat supaya beliau menggali telaga. Kini air tersebut amat popular di Malaysia dan sering digunakan untuk merawat penyakit zahir dan batin. 

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat dunia Islam, khususnya masyarakat Pahang yang amat dekat dengan tarbiah dan bimbingan beliau. Moga Allah SWT menerima segala amal kebajikan, jasa baktinya terhadap agama dan penat lelah dalam mendidik masyarakat. 

Ya Allah, luaskan pusaranya, tempatkanlah rohnya di 'illiyyin sana bersama para Nabiyyin, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, Amin. 

Sabda Rasulullah saw.

 إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Tuesday, 6 May 2025

Misi Dakwah di Ulu Jelalong (part 5): Sebuah Catatan Hati

'bersiap untuk pulang..'

Misi dakwah ke Long Mekapan bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi satu kembara jiwa yang membuka banyak dimensi baru dalam diri saya. Jauh dari keselesaan bandar, jauh dari bunyi deru kenderaan dan tekanan teknologi, saya temui makna ketulusan, kesederhanaan, dan nilai kehidupan yang sebenar. 

Di sini, setiap pagi adalah salam daripada alam. Setiap senyuman penduduk rumah panjang adalah pelajaran tentang keikhlasan. Setiap pantang larang yang diajarkan adalah tanda betapa erat hubungan mereka dengan alam sekeliling. Saya belajar bahawa untuk menjadi tetamu yang dihormati, kita perlu terlebih dahulu belajar menjadi manusia yang menghormati, menghormati budaya, menghormati alam, menghormati jiwa sesama manusia. 

Misi ini juga mengajar saya tentang kebergantungan sebenar kepada Tuhan, ketika tiada liputan telefon, ketika sumber air hanyalah dari hujan, ketika sekeliling penuh dengan cabaran yang tidak dijangka. Ia adalah peringatan bahawa dalam ketidakcukupan dunia, Allah tetap mencukupkan segalanya. 

Sebelum meninggalkan rumah panjang, saya sempat berdiri seketika di serambi, memandang sungai yang tenang di depan, hutan menghijau sejauh mata memandang, dan wajah-wajah mesra yang melambai. Saya tahu, walaupun jarak akan memisahkan kami, kenangan di Long Mekapan ini akan kekal dalam lipatan hati saya.


Perjalanan pulang melalui jalan lori balak itu terasa lebih sunyi. Setiap lubang jalan, setiap selekoh sempit, terasa membawa saya menjauh dari sebuah dunia yang selama ini hanya saya dengar ceritanya, kini sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya sendiri.

Kini, walaupun tubuh saya kembali ke hiruk-pikuk bandar, hati saya tetap tertinggal di Long Mekapan. Bersama desir angin yang menyapa dedaunan, bersama cengkerik yang bernyanyi di malam hening, dan bersama tatapan mata-mata jernih anak-anak rumah panjang yang mengajarkan saya, kadang-kadang, untuk menemui diri sendiri, kita perlu hilang seketika dari dunia yang kita kenal. 

Misi dakwah ini mungkin sudah berakhir, tetapi perjalanannya dalam hati saya masih berjalan... dan akan terus berjalan

Long Mekapan, terima kasih untuk segala-galanya.

Friday, 2 May 2025

Misi Dakwah di Ulu Jelalong (Part 4): Tentang Mereka yang Penuh Kasih

'Sukaneka di hadapan rumah panjang mereka'

Ada satu perkara penting yang saya hampir terlupa untuk kongsikan, rumah panjang yang kami diami sepanjang misi ini sebenarnya dihuni oleh suku kaum Penan. Kaum Penan terkenal dengan gaya hidup mereka yang sangat dekat dengan alam, penuh kesederhanaan dan kesantunan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Sepanjang kami di sana, ada masanya kaum lelaki Penan akan keluar memburu ke hutan. Bukan kerana mereka mahu berpesta makan besar, tetapi semata-mata ingin meraikan kedatangan kami, para tetamu dari jauh. Mereka bertungkus-lumus memburu pelanduk atau rusa, hadiah istimewa untuk kami rasai. 

Ada ketikanya mereka keluar meredah hutan pada malam hari, pulang menjelang pagi dengan hasil buruan, semata-mata mahu memastikan kami dapat merasai kelazatan daging segar yang menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. 

Saya benar-benar terharu dengan kemurahan hati ini. Bagi mereka, tetamu adalah anugerah, dan melayani tetamu dengan apa yang mereka ada, walaupun sedikit, adalah satu kemuliaan. Tiada kata-kata cukup untuk menggambarkan rasa hormat dan terima kasih saya kepada komuniti Penan Long Mekapan. 

'Di sebelah kanan saya, pak Mamud yang merupakan penduduk paling tua di rumah panjang Long Mekapan'

Dari mereka, saya belajar bahawa kekayaan sebenar bukan diukur pada kemewahan harta, tetapi pada keluasan hati dan keikhlasan memberi. Setiap senyuman mereka, setiap hidangan yang dihulurkan, menjadi pengajaran yang kekal terpahat dalam hati saya.

Saturday, 26 April 2025

Misi Dakwah di Ulu Jelalong (Part 3): Pantang, Petua dan Pengalaman


Oh, saya hampir terlupa satu perkara penting. Di Long Mekapan, bukan saja alamnya mendamaikan, tapi adat dan pantangnya juga mendidik kita supaya lebih peka dan menghormati budaya setempat. Bahkan setiap kaum pribumi yang mendiami rumah panjang mempunyai pantang-larang yang diwarisi sejak turun-temurun

Satu demi satu saya pelajari, bukan dari buku, tapi dari pengalaman sendiri dan teguran penuh hikmah daripada penduduk rumah panjang. 

Antara yang paling awal saya pelajari, jangan sesekali menyidai pakaian di beranda rumah panjang pada waktu malam. Kedengarannya remeh, tapi bagi mereka, itu membawa petanda tidak baik. Saya yang baru pertama kali sampai, hampir-hampir ‘terlepas pandang’ pantang ini. Mujur ditegur lembut oleh tuai rumah, sambil tersenyum dan menunjukkan tempat khas untuk menyidai di bahagian dapur. 


Satu lagi perkara yang cukup menarik di sini, perkataan “buaya” tidak boleh disebut secara langsung. Kalau perlu merujuk haiwan itu, gunakan frasa “ikan itu”, sambil jari-jemari dibuat muncung seperti paruh burung. Awalnya saya pelik, tapi kemudian saya faham itu cara mereka menjaga adab dan keselamatan, agar tidak menarik perhatian si “penghuni sungai” tersebut. Percaya atau tidak, ada cerita-cerita lama yang mengaitkan sebutan itu dengan insiden yang benar-benar berlaku. 

Dan jangan lupa tentang anjing peliharaan mereka. Di rumah panjang, anjing bukan sekadar haiwan penjaga, tapi sudah dianggap seperti sebahagian daripada keluarga. Jadi, jika anjing datang menghampiri, jangan dibentak atau dipukul. Itu sangat pantang bagi mereka. Sebaliknya, usirlah dengan nada lembut atau sekadar acah-acah angkat tangan. Itu sudah cukup untuk membuatkan si bulu empat kaki itu faham dan menjauh. 


Saya belajar semua ini bukan dari risalah atau papan tanda, tetapi melalui interaksi langsung dari duduk bersembang sambil minum kopi, dari teguran santun makcik-makcik yang senyum mesra, dan dari pemerhatian setiap gerak-geri sekeliling. Ia menjadikan misi ini bukan sekadar perjalanan dakwah, tetapi satu pengembaraan jiwa. 

Di sini, saya belajar bahawa untuk benar-benar diterima, kita perlu hadir dengan hati terbuka, sudi belajar, dan bersedia melepaskan sebentar ego sebagai orang luar. Barulah kita benar-benar dapat menyelami kehidupan mereka, dan pada masa yang sama, memperkaya jiwa kita sendiri.

Wednesday, 23 April 2025

Misi Dakwah di Ulu Jelalong (Part 2): Damai yang Tak Tertulis di Peta

 

Hari kedua di Long Mekapan membuka satu lembaran baru dalam jiwa saya. Di sini, pagi tidak dikejutkan oleh bunyi hon atau enjin kenderaan, tetapi oleh kicauan burung yang riang menyambut matahari. Tiada deretan kereta, tiada asap pekat dari bas atau motor, hanya kabus nipis menyelubungi hutan yang menghijau sejauh mata memandang. 

Saya mula menyedari satu perkara, hidup tanpa telefon pintar bukanlah malapetaka. Di sini, saya tidak perlu tergesa-gesa membuka notifikasi, membalas mesej, atau menyemak media sosial. Masa terasa lambat, tapi bukan membosankan. Setiap saat diisi dengan pandangan baru. Langit yang luas, bunyi mergastua bersahutan dari kejauhan, dan angin lembut yang menyapa wajah, membawa aroma dedaunan dan tanah basah. 

Waktu petang, saya duduk di serambi rumah panjang, memerhati anak-anak bermain tanpa gajet. Mereka berkejaran, memanjat tiang, ketawa bebas, sesuatu yang jarang kita lihat di bandar. Orang dewasa pula berbual santai sambil minum kopi buatan sendiri. Tiada siapa tergesa-gesa, tiada siapa nampak penat mengejar apa-apa. 

Malam pula tiba perlahan, membawa langit yang bertabur bintang. Kami berkumpul di ruang tamu rumah panjang, solat berjemaah dan mendengar tazkirah dalam suasana yang hening. Bila lampu dipadam, hanya bunyi hutan yang berbicara, nyanyian cengkerik, alunan air sungai yang mengalir tenang, dan sesekali bunyi ranting dipijak oleh sesuatu yang kami sendiri tak pasti. 


 Damai di Long Mekapan ini bukan hanya pada suasana, tapi juga pada jiwa. Ia mengajar saya untuk perlahan, untuk benar-benar hidup dalam saat ini, dan mensyukuri kesederhanaan yang sering kita abaikan.

Tuesday, 22 April 2025

Misi Dakwah di Ulu Jelalong (Part 1) : Sejauh Mata Memandang, Sejauh Hati Melangkah

 

Perjalanan misi dakwah kali ini membawa kami jauh ke pedalaman Sarawak, tepatnya ke Long Mekapan, sebuah rumah panjang yang terletak di Ulu Jelalong, Tubau. Rumah panjang ini dikenali dengan Rumah Panjang Resa (sempena nama tuai rumah), setelah Resa meninggal ia diganti oleh anaknya. Maka rumah panjang ini bertukar nama kepada Rumah Panjang Mawan 

Kami difahamkan sebanyak 22 keluarga mendiami rumah panjang ini. 13 Keluarga beragama Islam, manakla selebihnya kristian. Tuai rumah mengnut agama kristian.

Dari jalan besar, kami menaiki pacuan empat roda meredah laluan lori balak selama dua jam setengah. Jangan bayangkan jalan tar atau lebuhraya; ini jalan merah, licin, dan berlekuk sana sini. Kalau hujan turun, bersedialah untuk main lumpur dan doa banyak-banyak supaya tak tersangkut. 

'Rumah panjang Resa (sekarang: Mawan)

Sampai di Long Mekapan setelah menempuh perjalanan yang amat mendebarkan, disambut senyuman dan jabat tangan hangat daripada penduduk rumah panjang. Keletihan terus rasa hilang. Air paip tiada di sini, bekalan utama hanyalah air hujan yang ditadah dalam tong besar. Jadi, jangan bermimpi mahu bermewah-mewah ketika mandi. 

Liputan telefon? Jauh sekali. Kalau nak ‘check WhatsApp’ atau telefon keluarga, kena mendaki bukit tinggi di belakang surau. Itu pun kalau bernasib baik, barulah dapat satu dua bar. Namun tiada dikalangan kami yang sanggup mendaki bukit tersebut.

'Sungai Jelalong'

Sungai mengalir lesu betul-betul depan rumah panjang, namanya Sungai Jelalong. Tapi sayangnya, bukan untuk dimandikan. Penduduk pesan elok-elok, “Hati-hati turun ke sungai, ada ....” Jadi mandi dan cuci baju pun kena pandai-pandai jimatkan air hujan. 

Program kami tak besar, tapi cukup untuk menyentuh hati. Ada sesi tazkirah santai, ajar wuduk dan solat, serta sedikit sumbangan barang asas. Waktu malam, kami berkumpul di ruang tengah rumah panjang, bercerita dan ketawa bersama. Anak-anak kecil memandang dengan mata penuh ingin tahu, dan orang tua pula banyak berkongsi cerita tentang hidup mereka yang serba sederhana tapi cukup damai. 

Misi ini membuka mata dan hati saya, bahawa dakwah itu bukan sekadar ceramah dan kitab. Ia tentang hadir bersama mereka, menyelami kehidupan mereka, dan mencintai apa yang mereka ada. Di tempat tiada internet, tiada kesibukan kota, saya temui ketenangan yang jarang-jarang kita rasai.

Bersambung..