Sahabat Sejati

Wednesday, 29 May 2019

Biar pandai dan ada hikmah

Terkilan saya tatkala diceritakan oleh seorang sahabat, apabila berlaku di surau tempatnya, seorang pakcik mengherdik keras sekumpulan anak-anak yang bermain di dalam surau. Akhirnya, pada malam berikutnya, terus tidak nampak muka budak-budak tersebut di surau.

Bukankah ini satu kerugian? Bukan tidak boleh nak menegur tetapi biarlah kena dengan keadaan dan strateginya. Anak-anak sedang membesar, merekalah yang akan menggantikan kita semua nanti.

Satu kisah

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang ustaz di dalam satu kuliah.

Sebiji bola yang ditendang mengenai tingkap sebuah gereja yang menyebabkan tingkap itu pecah. Budak-budak yang bermain bola itu merasa takut. Mereka berkira-kira ingin melarikan diri.

Tiba-tiba keluar seorang paderi yang menjaga gereja tersebut, lalu dia memanggil budak-budak yang bermain bola tadi. Sambil tersenyum si paderi itu memberi sebiji gula-gula getah kepada setiap seorang lalu menyuruh mereka memakannya. Ketika budak-budak tersebut leka mengunyah, dengan suara yang lembut dia menasihati mereka semua.

Budak-budak tersebut hanya mendengar tanpa berkata apa-apa kerana sibuk mengunyah gula-gula getah. Setelah selesai menasihati, si paderi tadi pun memulangkan bola mereka semula, dan berlalu untuk melihat kerosakan tingkap tersebut. Selesai satu masalah.

Bagaimana agaknya jika bola itu terkena tingkap masjid, lebih buruk lagi jika tingkap itu pecah. Bolehkah kita bayangkan apa reaksi ahli masjid. Bagaimana agaknya nasib budak-budak yang mengakibatkan tingkap masjid pecah. Saya rasa pasti akan dimarahi dengan leteran yang panjang berjela persis ceramah.

Saya tidaklah mahu pukul rata mengatakan bahawa semua pegawai masjid bersikap demikian. Hanya segelintir sahaja dari mereka yang tidak mesra kanak-kanak. Tetapi sikap yang sebeginilah menyebabkan yang lain terpalit sama. Sepatutnya kita perlu lebih berhikmah dalam menasihati golongan muda ini.

Kita bimbang golongan kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya kita didik untuk datang ke masjid tetapi menjauhkan diri dari masjid. Kita rasa hairan mengapa golongan muda ini susah nak ke masjid, ‘degil’ kata kita, tetapi kita terlupa yang sikap kita seumpama memusuhi golongan muda mendekati masjid.

Teringat 

Saya dulu di antara generasi atau anak-anak yang setia ke surau. Tentunya surau berhampiran rumah pusaka arwah ayahanda menjadi pilihan berbanding masjid kampung yang agak jauh. Setiap malam saya menjadi tetamu yang setia. Tidak pernah saya melepaskan peluang datang ke surau terutama malam Jumaat kerana ada makan-makan selepas tahlil dan solat isyak.

Lucu pula apabila mengenangkan, sebenarnya kami bukanlah sembahyang tetapi hanya mahu bermain-main. Sejurus imam melafazkan takbir yang pertama, maka bermulalah berkejaran di segenap penjuru surau. Ruang surau yang luas berbanding ruang tamu rumah kami menjadikan aktiviti bermain di dalam surau amat menyeronokkan. Tatkala imam duduk bersimpuh tahaiyat akhir, kamu pun duduk sama seolah-olah turut bersembahyang. Bijaknya lakonan pelakon-pelakon kecil tak berbakat.

Sebenarnya, semua atuk-atuk dan pakcik-pakcik tahu bahawa kami semua tidak sembahyang. Tidak pernah pula kami dimarahi atau ditengking keras, sebaliknya mereka menasihati dengan lembut dan kata-kata yang enak didengar. Masih saya ingati di antara mereka yang menasihati kami seperti, pak imam haji Jabar, pak haji Yahya, cikgu Hamdan, pakcik Md Yatim, abang Abdullah Lambak dan ayah Ngah Majid (kesemua mereka telah pun kembali ke rahmatullah - moga Allah membalas jasa kebaikan mereka semua)

Demikianlah, kata-kata yang lembut dan nasihat yang baik melenturkan hati kami. Walaupun selepas itu kami masih lagi bermain, biasalah budak-budak, tetapi kerana kata-kata yang lembut menyebabkan hati kami melekat pada surau dan masjid sehingga sekarang. 

Jadikan masjid mesra kepada semua lapisan usia, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa maupun orang tua.

2 comments:

Warisan Petani said...

Ibu bapa yang membawa anak2 ke surau juga kena ambil peranan supaya mengingatkan anak2 mereka agar tidak sampai mengganggu kekhusukan jemaah bersembahyang.

abuikhwan said...

Assalamualaikum wp, benar ibu bapajuga kena ambil peranan mengingatkan anak-anak, dan saya percaya setiap ibu bapa sentiasa memainkan peranan itu. Namun setelah ibu bapa bersolat di hadapan, manakala anak-anak berada di belakang dan apabila bertemu dengan rakan sebaya maka.. Apa yag mahu saya sampaikan ialah uslub dan qaedah dalam memberi nasihat..wallahua'lam

Post a Comment