Sahabat Sejati

Thursday, 31 July 2014

Bicara santai di 4 Syawal


Assalamualaikum warahmatullah

Alhamdulillah. Hari ini telah pun 4 Syawal, dengan kemeriahannya yang masih lagi terasa. Kuih-muih masih banyak di atas meja, manakala saudara-mara dan handai taulan masih lagi berkunjung datang. Seronok.

Menatap foto-foto sambutan hari raya di dalam blog dan FB sahabat-sahabat, menjadikan saya turut berkongsi kegembiraan tersebut. Saya sangat suka melihat suasana hari raya di desa. (terutama jika ada sawah padi) Ia benar-benar mendamaikan hati. Anak desa memang begitu lagaknya. Walau kemana jauh rantaunya, desa tetap di sanubari.

Saya sendiri, pulang ke desa untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda. Selebihnya berkunjung ke rumah saudara dan rakan-rakan. Generasi tua baya-baya orang tua saya ramai yang telah tiada, begitu juga di kalangan sahabat seangkatan dengan saya. Manakala generasi muda yang sedang menginjak usia, ramai yang tidak saya kenali. Ada di antaranya anak sahabat-sahabat saya. Itu pun selepas bertaaruf bagai, nama apa, tinggal dimana, anak siapa? Hmm.. kesimpulannya, sudah tua saya rupanya.

Kadang-kadang, semakin hari saya merasakan syawal sedikit demi sedikit sudah terhakis kemeriahannya. Tidak seperti ketika zaman saya kanak-kanak dahulu. Saya rasa anda boleh bersetuju dengan saya. Tidak perlu saya senaraikan apa yang kurang meriah itu. Anda sendiri boleh merasainya. Tepuk dada tanya selera, kata peribahasa melayu.

Apa pun, meriah atau tidak hari raya pada hari ini, ia mesti diraikan kerana disyariatkan untuk kita menyambutnya. Sekurang-kurangnya ia menjadi hari untuk kita kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan kerana pada hari yang lain mungkin agak janggal untuk melakukannya. Salam aidilfitri 1435H.

6 comments:

Staff Administrator said...

hari raya memang ditujukan untuk suka cita menyambut kemenangan atas sebulan berpuasa..

kemeriahan kiranya selalu ditemui hampir dimana2 :)

cik neto said...

generasi baru generasi gadjet. kurang berinteraksi :)
selamat hari raya

paridah said...

walau apa keadaannya hari raya tetap perlu dirai dgn gembira...salam lebaran..

abuikhwan said...

purnomo# selamat hari raya aidilfitri, sememangya hari raya adalah hari untuk bergembira, namun kemeriahannya semakin hari kian pudar...saya merasakannya..

abuikhwan said...

Cik neto# selamat hari raya...benar, generasi gadjet itulah yang sesuai. masing-masing dengan dunia sendiri...aku,aku, kamu,kamu...

abuikhwan said...

paridah# selamat hari raya...walaupun apa pun kondisinya hari raya tetap diraikan kerana disyariatkan untuk kita menyambutnya..cuma suasana yang kadang-kadang tidak mengundang roh aidilfitri itu sendiri...

Post a Comment