Sahabat Sejati

Thursday, 10 July 2014

Bicara santai : Kurma dan solat

Bulan Ramadhan tidak lengkap rasanya tanpa kurma. Memang Ramadhan dan kurma sangat sinonim. Bukan hanya di negara kita, malahan di luar negara pun sama sahaja situasinya. Hampir masuk sahaja bulan Ramadhan, kelihatan lambakan kurma di kedai-kedai bahkan kedai bukan Islam pun ada menjual kurma. Mereka tahu, bila Ramadhan orang ramai akan mencari kurma buat berbuka puasa. Boleh anda bayangkan Ramadhan tanpa kurma? Tentu semacam ada kekurangan kerana sudah terbiasa dengannya. 

Seingat saya semasa kecil-kecil dahulu, yang ada hanya kurma timbang. Memang cukup 'femes' kurma timbang ini dahulu. Biasanya ia diletakkan di dalam balang kaca yang besar. Kemudian tuan kedai akan menimbang kurma mengikut kemahuan pembeli. Rasanya tidaklah sedap sangat, biasa sahaja. Sekarang ini berbagai-bagai jenis kurma yang terdapat di pasaran. Ada yang bernama ajwah, mariami, safawi, mabrum, kurma tangkai, kurma Mesir, kurma madu dan sebagainya. Rasanya pun agak berlainan di antara satu sama lain dan dengan bungkusan yang menarik. 

Kalau dulu agak asing untuk melihat negara kita ditumbuhi pokok kurma. Malah, ramai yang akan berkata mustahil, usah bermimpi untuk melihat pokok kurma tegak di Malaysia. Tetapi sekarang tidak lagi. Impian tersebut sudah pun menjadi kenyataan. Beberapa tempat telah pun ditanam dengan pokok kurma. Malah ada yang telah mengeluarkan hasil. Contohnya yang berlaku di negeri Kelantan. Geram juga melihat gambar tandan-tandan kurma yang bergayutan buah nan kekuningan di dalam FB. Di masjid tempat saya juga turut ditanam dengan dua pohon kurma. Tetapi masih kecil dan belum cukup umur lagi untuk berbunga. Insya-Allah, mudah-mudahan sempat untuk melihatnya mengeluarkan hasil. 

Berbuka puasa dengan kurma sememangnya sunnah Rasulullah. Daripada Anas ra berkata, "Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (tamar basah) sebelum solat, jika tiada rutab Baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air." (Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Kata Tirmidzi ia hadis hasan] 

Pokok kurma yang di perkarangan masjid  berhampiran taman perumahanku

Masuk sahaja Ramadhan, berpusu-pusu kita mencari kurma. Alhamdulillah, maknanya masyarakat kita hari ini ingin mengikuti sunnah dalam berbuka. Ini satu perkembangan yang amat bagus. Tetapi apa yang harus diperhatikan, Rasulullah berbuka dengan kurma dan air kemudian mendirikan solat. Kita pula selepas sambung dengan nasi, kuih-muih dan sebagainya sehingga terdampar di sofa kerana kekenyangan. Siang hari melepek kerana kelaparan, malam hari pula melepek kerana kekenyangan. Sedangkan Rasulullah saw bersabda:

"Tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan." (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih) 

Lebih teruk lagi dek kekenyangan sampai tertinggal sembahyang maghrib. Ini juga sesuatu yang penting untuk difikir-fikirkan. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak sembahyang. Pelik ye, menahan lapar dan dahaga lebih 12 jam, tidak mampu bangun untuk sembahyang yang hanya selama 5 minit. Ada yang lagi melucukan, sembahyang fardhu tidak buat tetapi sembahyang terawih duduk di saf hadapan sekali. Memang pelik bin ajaib. Entahlah apa makna puasa dan Ramadhan bagi mereka. 

Fikir-fikirkanlah setakat mana iman kita kepada Rasulullah saw. Adakah kita benar-benar menuruti sunnahnya, atau melakukan bidaah atau meremehkan sunnahnya? Saya menulis berdasarkan pemerhatian dalam masyarakat hari ini. Mungkin anda mengiakan atau boleh jadi menidakkannya. Tetapi itulah hakikat yang berlaku. Mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada kecelaruan pemikiran dunia hari ini. 

Ingatan buat diriku~abuikhwan

0 comments:

Post a Comment