“Pheww...panasnya,” saya mengomel sendirian. Jam di tangan sudah pun menghampiri 3.30 petang. Sambil membetulkan cermin mata hitam di atas hidung, saya menoleh kiri dan kanan. Bahang panas terasa meruap, menambahkan lagi rasa haus. Cair air liur melihat air yang beraneka warna yang dijual di Bazar Ramadhan Jalan Mahkota. Perasaan mahu ditelan semua air yang dijual di situ. Ishh, sabar-sabar, nafsu.
Jalan raya sesak dengan kenderaan yang bertali arus menuju destinasi masing-masing. Banyak pula kenderaan di bandar Kuantan hari ini. Mujurlah saya bermotosikal, mudah mencelah ke kiri dan ke kanan, ‘mencilok’ bahasa anak muda hari ini. Kalau tidak tentu terperangkap sama dalam kesibukan lalu lintas.
Bersebelahan bazar Jalan Mahkota adalah Padang Majlis Perbandaran Kuantan. Cukup ‘femes’ tatkala tibanya bulan Ramadhan. Ia menjadi lokasi pilihan warga Kuantan dan sekitarnya berbuka puasa beramai-ramai. Ada juga orang dari luar daerah Kuantan yang datang untuk merasai keseronokan menikmati juadah di tengah padang yang terbuka itu. Saya pernah juga beberapa kali membawa keluarga berbuka di situ. Lepas berbuka, terus ke Masjid Negeri untuk sembahyang maghrib, yang juga terletak di sebelah padang.
Dari Jalan Mahkota berhadapan Masjid Negeri saya membelok ke Jalan Besar. Situasi yang sama, deretan kenderaan bergerak perlahan membelah aspal jalan. Setelah menongkat motosikal, saya bergegas menuju ke kedai buku yang biasa saya kunjungi. Pemiliknya berketurunan India Muslim. Hajat di hati ingin mendapatkan beberapa majalah bulanan yang masih belum dibeli. Sekurang-kurangnya sepuluh jenis majalah yang menjadi langganan tetap setiap bulan. Ketika melintasi kedai ‘Tipu Orang Tiada Otak’ atau ringkasnya TOTO, saya perasan beberapa orang yang masuk ke dalamnya.
“Eh, itu muka orang melayu...” getus saya di dalam hati. Jika disebutkan orang melayu pada umumnya tentu seorang Islam.
Ya! Tidak silap lagi, tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang, dengan selamba, dengan kulit muka tebal entah berapa inci mereka membeli nombor ekor. Langsung tiada perasaan malu serta hormat kepada bulan Ramadhan. Ada yang usia menghampiri senja. Usia yang sepatutnya bukan dihabiskan dengan perbuatan yang keji ini.
Hairan sungguh. Sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal, saya mengucap panjang. Allah, saya pula yang merasa malu dengan perbuatan mereka.
Pelik, jangan pelik
Tentu ramai yang merasa pelik. Bukankah ia telah tertambat sepanjang Ramadhan. Ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi Rasulullah saw sendiri mengkhabarnya: Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat."(Bukhari dan Muslim)
Jadi, mengapa masih ada yang melakukan perbuatan dosa di bulan Ramadhan?
Mari kita beranalogi sebentar. Bagaimana jika kita mendapati seekor anjing yang garang lagi ganas sedang tertambat. Apakah anjing itu boleh menggigit? Tentu tidak jika kita tidak mendekatinya. Tetapi bagi yang menghampirinya serta mengacah-acah pula, tidak mustahil mereka bakal menjadi mangsa terkamannya. Begitulah keadaannya jika syaitan sudah tertambat tetapi kita pula menghampiri lokasi lagha tempat syaitan berpesta. Jika syaitan sudah terikat, kita pula mencari-cari syaitan. Perbuatan keji di bulan Ramadhan adalah perbuatan pilihan manusia. Manusia yang memilih untuk menjadi jahat, sedangkan hampir tiada campur tangan syaitan pada tindak-tanduk kejahatan dirinya.
Demikianlah seadanya. Ramadhan sekadar mengurangkan potensi syaitan. Sedangkan kitalah yang memilih untuk melakukan kejahatan atau sebaliknya. Saya mengingati diri...
2 comments:
sudah lama x ke kontan...syaitan2 terbelenggu tapi otak kita yg xmampu mengawal prilaku diri spt...toto tulah..heh..heh..
Syaitan dalam diri (aduh berat betul bunyinya) hehe...
Post a Comment